Wednesday 4 December 2013

Pemimpin Hamas, Fatah lakar sejarah duduk semeja


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 melakar satu sejarah apabila pemimpin serta wakil dua parti terbesar Palestin iaitu Hamas dan Fatah duduk semeja sepanjang tempoh forum itu diadakan.
Pengerusi forum, Datuk Dr. Norraesah Mohamad ketika mengulas perkembangan itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai titik permulaan kepada Kuala Lumpur ke arah mengusahakan proses perdamaian melibatkan antara kedua-dua belah pihak.
Malah beliau berkata, dari arah pentas jelas kelihatan kedua-dua pemimpin terlibat iaitu Khaled Meshaal (Hamas) dan Dr. Abdullah MI (Fatah) memberi reaksi yang cukup positif ketika menyentuh isu perdamaian Hamas-Fatah semasa sesi penggulungan forum itu hari ini.
"Ini yang kita mahukan. Saya melihat mereka cukup gembira apabila saya sentuh mengenai satu Palestin dalam ucapan rumusan forum sebentar tadi. Ini merupakan satu perkembangan positif.
"Saya sebenarnya telah diberitahu ada dalam kalangan wakil mereka mahu mengikut Gagasan 1Malaysia yang kini menjadi tagline kepada negara kita,'' katanya ketika ditemui selepas selesai forum berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Forum yang bermula semalam itu membincangkan pelbagai isu serta perkembangan yang berlaku di seluruh dunia antaranya mengenai kepentingan konsep kesederhanaan dalam mewujudkan keamanan dunia.
Mengenai konsep kesederhanaan yang menjadi topik utama forum, Norraesah berkata, semua anggota mengakui pentingnya konsep kesederhanaan bagi mewujudkan keamanan serta keharmonian di seluruh dunia.
Beliau berkata, kesederhanaan bukan bermaksud pengecut tetapi merupakan satu usaha mencari jalan tengah berasaskan kepada kompromi dan perundingan bertujuan mahu mendapatkan hasil terbaik demi kepentingan semua pihak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131204/dn_07/Pemimpin-Hamas,-Fatah-lakar-sejarah-duduk-semeja#ixzz2oOopJ1qH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment