Tuesday 10 December 2013

Palestin, Jordan, Israel meterai perjanjian air


WASHINGTON 10 Dis. - Palestin, Jordan dan Israel menandatangani satu perjanjian bersejarah inisiatif perkongsian air di Bank Dunia di sini, semalam, langkah yang dilihat dapat melindungi Laut Mati daripada permintaan air yang semakin meningkat di rantau itu.
Projek tersebut bakal menyaksikan pembinaan sebuah kilang penyulingan baharu di Aqaba, Jordan, sebagai pusat utama perkongsian air yang menghubungkan Laut Mati, Laut Merah serta Tasik Tiberias yang tertakluk dalam perjanjian itu.
"Perjanjian ini memberi sedikit harapan bahawa kita boleh mengatasi lebih banyak halangan pada masa hadapan,'' kata Menteri Tenaga dan Sumber Air Israel, Sylvan Shalom.
Menteri Air Palestin, Shaddad Attili pula berkata, persetujuan itu menunjukkan bahawa ketiga-tiga pihak tersebut boleh bekerjasama walaupun diselubungi masalah politik.
Perjanjian itu menamatkan rundingan selama 11 tahun yang dicapai sewaktu Amerika Syarikat (AS) berusaha memeterai satu perjanjian damai baharu antara Palestin dan Israel.
Intipati perjanjian itu antara lain menyaksikan Jordan menyediakan sebanyak 50 juta liter padu air suling kepada pusat peranginan Eilat milik Israel di Laut Merah.
Sebagai pertukaran, Israel akan menyediakan jumlah air yang sama kepada kawasan utara Jordan yang diambil dari Tasik Tiberias, manakala Israel juga akan meningkatkan jualan airnya kepada Palestin sebanyak 20-30 juta meter padu setahun.
Sementara itu, Israel difahamkan akan membenarkan semula penghantaran bahan-bahan binaan bagi projek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Genting Gaza selepas, mencapai persetujuan dengan badan dunia tersebut.
Larangan penghantaran bahan-bahan itu berkuatkuasa pada 13 Oktober lalu selepas tentera Israel menemukan terowong canggih yang terletak di antara sempadan Israel-Gaza.
"Satu perjanjian ke atas cara-cara pengawalan dan pemeriksaan bahan-bahan import yang digunakan untuk projek PBB di Genting Gaza dicapai semalam dan berkuatkuasa hari ini,'' kata jurucakap unit Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab dalam hal ehwal awam di wilayah Palestin, Penyelaras Aktiviti Kerajaan Wilayah-Wilayah Israel (COGAT). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131211/lu_03/Palestin,-Jordan,-Israel-meterai-perjanjian-air#ixzz2oOZfzH4y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment