HAIFA 1 Dis. - Lebih seribu komuniti Arab Badwi dan penyokong mereka bertempur dengan pasukan keselamatan Israel, dalam tiga kejadian berasingan, semalam sebagai bantahan terhadap rancangan rejim Zionis itu mahu mengusir kira-kira 40,000 kaum itu yang tinggal di kawasan perkampungan di selatan gurun Negev.
Rancangan itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan masyarakat Badwi, malah mendorong banyak belia Arab Israel yang menyokong pembentukan negara Palestin mengaitkan langkah rejim Zionis itu menduduki Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.
Aktiviti di kawasan bersejarah Haifa, bandar pelabuhan utara Israel terjejas selepas beratus-ratus penduduk Arab Israel bergelut dengan pasukan keselamatan Israel.
Polis melepaskan meriam air ke arah kumpulan belia itu yang membuat halangan jalan raya dan melaungkan slogan, 'Dengan jiwa dan darah kami, kami akan mempertahankan anda, Palestin'.
Dalam kejadian berasingan di Hura, lebih 1,000 orang mengadakan demonstrasi di Gurun Negev dan melontar batu ke arah polis yang menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan tunjuk perasaan.
Menurut saksi, beberapa penunjuk perasaan cedera dengan polis Israel menganggarkan sekurang-kurangnya 28 orang ditahan di Haifa dan Hura, manakala 15 anggota keselamatan Israel turut cedera.
Satu rang undang-undang yang menunggu undian terakhir di Parlimen sebelum penghujung tahun ini mencadangkan 40,000 masyarakat Arab Badwi dari kampung-kampung yang tidak diiktiraf oleh Israel dipaksa berpindah ke tujuh kawasan perbandaran.
Penduduk Badwi, Arab Israel dan Palestin di kawasan yang diduduki Israel di Tebing Barat berkata, rancangan rejim Zionis itu akan memberi manfaat kepada penduduk Yahudi dan menyalahkan kelewatan dalam kemajuan rundingan damai Palestin-Israel, tajaan Amerika Syarikat.
''Kami berada di sini sebelum Israel. Apa yang mereka sedang lakukan di Negev adalah sama dengan apa yang mereka lakukan kepada kita semua,'' kata Haneen Zoabi, seorang anggota Parlimen Arab Israel semasa menyertai bantahan di Haifa.
Sementara itu di bandar lama Baitulmaqdis Timur, satu lagi bandar Arab di tengah Israel dan kawasan bersebelahan sebuah penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, polis turut menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131202/lu_04/Komuniti-Arab-Badwi-anjur-bantahan#ixzz2mHCjJwTO
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment