Monday, 30 December 2013

Hari Ini Dalam Sejarah | 30 Disember 1989 | Solidariti Yang Menggerunkan Rejim Zionis Israel



Pada hari ini, 24 tahun yang lalu, berlaku satu perhimpunan luar biasa yang tidak pernah digambarkan oleh pihak rejim Zionis Israel. Lebih 15,000 rakyat Palestin dan Yahudi membuat rantaian manusia di sepanjang tembok Kota Lama Baitul Makdis (Jerusalem) sebagai tanda solidariti kepada penderitaan rakyat Palestin dan keinginan mereka untuk melihat keamanan kembali dinikmati di wilayah tersebut.

Projek yang merupakan inisiatif NGO Peace Now telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga Palestin dan Yahudi di Jerusalem. Mereka melaungkan slogan “1990-Time for Peace”. Peace Now menganggarkan jumlah yang terlibat sebenarnya jauh lebih besar iaitu 35,000 orang. Wakil Palestine Liberation Organization (PLO) pula mengakui bahawa jumlah ini mampu mencapai angka yang lebih besar sekiranya tiada sekatan dikenakan oleh pihak tentera rejim Zionis Israel, IDF, ke atas jalan-jalan masuk ke Jerusalem.

Pasca Intifada 1 pada Disember 1987, ramai pihak mula bersedia untuk mendengar testimoni rakyat Palestin yang hidup di bawah pendudukan rejim Zionis sejak An-Nakbah (Perang 6 Hari) 1967. Peace Now mengambil inisiatif untuk melihat sejauh mana solidariti antara Palestin dan Yahudi dapat dikempenkan dan ia dijawab oleh warga Jerusalem dengan sokongan yang luar biasa. Rantaian manusia yang mula dibina pada 29 Disember dengan kira-kira 5,000 orang peserta bertambah menjadi lebih 15,000-35,000 orang pada keesokan harinya apabila lebih ramai warga Jerusalem turun untuk menyatakan solidariti mereka. Rantaian dianggar berukuran lebih 4 kilometer panjang dengan lebar 12 barisan.

Pihak IDF telah bertindak menyesarkan peserta dengan menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah. Lebih 60 peserta dimasukkan ke hospital dan 50 orang ditahan.

********************

Terbaru, pada 25 November 2013 yang lalu, PBB telah mengisytiharkan bahawa tahun 2014 sebagai “Year of Solidarity with the Palestinian People.” Ini bagi menggalakkan lagi usaha dan meraih sokongan warga antarabangsa ke atas usaha menyelesaikan konflik Palestin-Israel yang telah berlarutan lebih 65 tahun.

Justeru, ayuh kita warga Malaysia menyahut pengisytiharan ini dengan usaha yang lebih gigih pada tahun 2014. Ayuh kita pertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kemanusiaan di Palestin seterusnya mensasarkan sumbangan yang lebih besar dan konsisten untuk para mujahid kita di sana. Mari kita tunjukkan bahawa solidariti kita tidak pernah surut dan padam.

[KJ]

Sumber:

1. JEWS JOIN IN RALLY WITH PALESTINIANS
http://www.nytimes.com/1989/12/31/world/jews-join-in-rally-with-palestinians.html

2. INTERNATIONAL DAY OF SOLIDARITY WITH THE PALESTINIAN PEOPLEhttp://unispal.un.org/unispal.nsf/solidarity.htm

3. UN declares 2014 the ‘Year of Solidarity with the Palestinian People’http://rt.com/news/un-palestinians-year-solidarity-349/
 

No comments:

Post a Comment