Tuesday 17 December 2013

Gaza terima bahan api

Gaza terima bahan apiTrak membawa bekalan bahan api memasuki Genting Gaza menerusi sempadan Kerem Shalom, kelmarin. - Foto AFP

GENTING GAZA - Stesen janakuasa elektrik tunggal di sini akhirnya kembali beroperasi selepas ia terpaksa ditutup sejak lebih tujuh minggu lalu akibat krisis bekalan kuasa di wilayah itu.

Kelmarin, sebanyak 450,000 liter bahan api yang dibiayai Qatar dihantar ke Gaza melalui laluan darat sebagai respons terhadap rayuan kecemasan selepas sebahagian besar bandar tersebut lumpuh akibat banjir.

Jurucakap Syarikat Bekalan Elektrik Gaza, (Gedco), Jamal Dirsawi memaklumkan generator pertama telah mula beroperasi.

"Bekalan bahan api tersebut membolehkan stesen ini dapat terus beroperasi untuk tempoh tiga bulan akan datang. Ia juga diharap dapat mengatasi masalah bekalan kuasa elektrik selain memanjangkan tempoh perkhidmatan itu di Gaza," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Hamas memaklumkan bahawa Qatar akan turut menghantar kapal membawa bahan api ke pelabuhan Ashdod untuk dihantar ke Genting Gaza selain memperuntukkan AS$5 juta (RM16 juta) bagi membantu penduduk di wilayah tersebut.

Sementara itu, dipetik dari Al-Jazeera Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (Ocha) melaporkan ribut musim sejuk yang melanda kebanyakan negara Timur Tengah juga menyebabkan sambungan kuasa elektrik di Mesir dan Israel gagal berfungsi.

No comments:

Post a Comment