Sunday 4 August 2013

Penduduk Palestin dihimpit ketakutan

Penduduk Palestin dihimpit ketakutanPuluhan haiwan sebagai persiapan Syawal terkandas dan berhadapan kesukaran susulan penutupan terowong di Gaza.

GENTING GAZA - Konflik politik berpunca daripada rampasan kuasa tentera di Mesir memberi kesan kepada Hamas kerana dituduh meningkatkan lagi sengketa antara kerajaan sementara dan Gerakan Pertahanan Islam.

Ribuan penduduk hilang pekerjaan selepas Mesir menutup sempadan manakala sebahagian daripada puluhan ribu penduduk Palestin yang belajar dan bekerja di negara tersebut juga terpaksa hidup dalam ketakutan kerana khuatir menjadi sasaran kumpulan anti-Hamas.

Menurut jurucakap persatuan kontraktor, Nabil Abu Muaeileq penutupan terowong rahsia di sempadan Gaza juga menyebabkan harga bahan binaan meningkat dan banyak projek pembinaan tergendala sejak sebulan lalu.

Pada masa ini, seramai 1,200 nelayan dilaporkan terkandas di pelabuhan selepas Mesir melarang mereka memasuki perairan negara itu mengikut sebahagian daripada langkah keselamatan kerajaan sementara tersebut.   

Sebelum ini, kerajaan sementara Mesir pernah mendakwa Hamas dan bekas Presiden Mohammed Mursi terlibat dalam konspirasi untuk menjejaskan kestabilan dan kepentingan negara itu.

Kerajaan sementara tersebut juga menggunakan alasan sama untuk menahan Mursi atas dakwaan merancang serangan di penjara Mesir bersama Hamas bagi membebaskannya dari pusat tahanan itu. - AP

No comments:

Post a Comment