• al-AqsaPenduduk Yahudi berterusan cuba untuk mencemari kesucian Masjid al-Aqsa.
 1 / 1 
BAITULMAQDIS - Yayasan Al-Aqsa bagi Pembiayaan dan Warisan membongkar agenda jahat golongan Yahudi yang mahu mencemari kesucian Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Menurut yayasan itu, pemimpin Yahudi cuba memujuk pihak berkuasa Israel menyertai sebuah persatuan rasmi bertujuan untuk membina saumaah (pusat keagamaan dan tempat ibadat orang Yahudi) di tenggara masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.

Penyelaras media Yayasan Al-Aqsa, Mahmoud Abu Atta memaklumkan pendaftaran persatuan rasmi yang akan mengendalikan pembinaan saumaah tersebut didakwa telah diluluskan.

"Perkara ini dirancang sejak tujuh bulan lalu selepas ribuan penganut menggesa pembinaan tempat ibadat tersebut yang dilihat sebagai satu tindakan biadab oleh mereka untuk menguasai al-Aqsa," jelasnya dipetik dari laporan PNN.

Awal bulan lalu, Mufti Sheikh Mohammad Hussein memberi amaran keras berhubung akibat yang akan ditanggung oleh rejim Zionis sekiranya mereka meneruskan rancangan membahagikan Masjid al-Aqsa.

Menurut Sheikh Mohammad, jika agenda jahat Israel itu berjaya diteruskan beliau khuatir ia akan menerima nasib sama seperti Masjid Ibrahimi di Hebron, sekali gus mencetuskan perang serantau.

Susulan daripada itu, beliau menggesa negara Islam dan rantau Arab bersatu untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa tersebut.