Tuesday, 27 August 2013

3 dibunuh tentera Israel


Ramallah: Tentera Israel semalam menembak mati tiga warga Palestin dan mencederakan 19 yang lain dalam pertempuran di kem pelarian Qalandiya, Tebing Barat.

Pegawai perubatan Palestin berkata, Rubeen Abed Fares, 30, dan Yunis Jahjouh, 22, ditembak di dada sementara Jihad Aslan, di kepala.


Polis Israel bertindak kejam ketika cuba menyuraikan penunjuk perasaan Palestin yang membantah penangkapan seorang penduduk awal semalam.

Jurucakap tentera rejim Zionis, Luba Samri berkata, anggotanya menyerbu kem pelarian berkenaan untuk menangkap seorang penduduk yang didakwa aktivis pengganas.


“Selepas menangkapnya, kira-kira 1,500 penduduk menunjuk perasaan dengan melontar batu dan bom api,” katanya. Luba turut menafikan tentera Zionis menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan penunjuk perasaan.


Keganasan Israel itu dilakukan ketika perunding rejim berkenaan dan Palestin dijadual mengadakan satu lagi rundingan damai yang secara rasminya disambung semula bulan ini selepas tertangguh selama hampir tiga tahun.

Mengulas mengenai keganasan terbaru Israel itu, jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Abu Rudeina berkata: “Apa yang berlaku di Qalandiya hari ini (semalam) menunjukkan niat sebenar Israel untuk tidak mahu rundingan damai disambung semula.


“Pembunuhan ke atas penduduk Palestin yang dilakukan hampir setiap hari dan kegiatan mereka membina penempatan haram Yahudi di bumi Palestin yang mereka jajah adalah mesej Israel yang bertujuan untuk memusnahkan proses damai,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment