Friday, 14 June 2013

Pelampau Yahudi rosak kubur Arab


Baitulmaqdis: Pelampau Yahudi merosakkan kubur penduduk Arab Kristian di Jaffa dan beberapa harta benda berhampiran dalam kejadian yang berkait dengan jenayah ‘tanda harga.’

Jurucakap polis, Micky Rosenfed berkata, batu nesan di tanah perkuburan Kristian Ortodoks di Jaffa, kawasan yang didiami masyarakat Arab dan Yahudi di selatan Tel Aviv, disembur dengan kata-kata menghina dalam bahasa Yahudi.


Kumpulan pelampau Yahudi itu juga merosakkan lima kenderaan yang diletakkan berhampiran.

“Serangan itu ada kaitan dengan ‘tanda harga’ dan balas dendam,” kata Rosenfed.


‘Tanda harga’ adalah perkataan yang digunakan pelampau Yahudi yang biasanya menyasarkan masyarakat Arab Palestin.


Serangan ‘tanda harga’ itu mula dilakukan ke atas penduduk Palestin sebagai tindak balas terhadap langkah rejim Israel meruntuhkan kediaman pendatang Yahudi yang dibina tanpa izin. Ia kemudian merebak menjadi fenomena yang lebih luas, termasuk yang tidak ada kaitan dengan sentimen antipendatang Yahudi.

Pelampau Yahudi dilihat cuba meningkatkan serangan ‘tanda harga’ itu dengan menyerang kereta, masjid dan tanaman pokok zaitun milik penduduk Palestin.


Dua minggu lalu, grafiti anti-Kristian diconteng pada Gereja Dormition, antara kawasan Kristian yang popular di kalangan penganut agama itu. - AFP

No comments:

Post a Comment