Zionis ceroboh Ramallah
Ismail Haniyeh menyambut kedatangan Sheikh Yusuf al-Qaradawi di Gaza, kelmarin.
Zionis ceroboh Ramallah
Sekumpulan penduduk membantah pembinaan penempatan di Beit El.
BAITULMUQADDIS - Pihak berkuasa Israel tidak menghiraukan kritikan antarabangsa apabila meluluskan pembinaan hampir 300 rumah di kawasan penempatan Beit El dekat Ramallah.

Seorang jurucakap Israel berkata, Pentadbiran Awam Israel meluluskan pembinaan 296 buah rumah di Beit El dengan memulakan kerja-kerja pembinaan peringkat pertama.

“Kami telah mendapat kelulusan penuh untuk meneruskan projek pembinaan dan peringkat pertama pembinaan akan dimulakan secepat mungkin,” katanya.

Tindakan meluluskan pembinaan penempatan itu bakal meningkatkan ketegangan dengan Palestin ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha mencari jalan mempelawa kedua-dua pihak menyambung semula rundingan damai.

Pengumuman terbabit dikeluarkan hanya dua hari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilapor mengarahkan pembekuan tender penempatan baru sebagai usaha memberi peluang kepada AS untuk mengetuai rundingan damai dengan Palestin.

Sementara itu, polis Israel membebaskan Mufti Besar Baitulmuqaddis, Sheikh Mohammed Hussein selepas melakukan soal siasat selama enam jam.

Beliau ditahan kelmarin selepas dituduh terlibat dalam kekacauan antara penduduk Palestin dan Israel di luar Masjid al-Aqsa.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, Sheikh Mohammed akan disiasat dari masa ke semasa untuk melengkapkan siasatan penuh berhubung insiden terbabit.

Dalam perkembangan lain, Di Gaza, ulama terkemuka, Sheikh Yusuf al-Qaradawi melakukan lawatan peribadi ke bandar itu sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan kumpulan Hamas.

“Kita harus berjihad hingga akhir hayat. Kita perlu berusaha membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis,” katanya.

Kehadiran beliau disambut Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh dan pemimpin kanan kerajaan, laporan dipetik daripada Reuters.