Wednesday 22 May 2013

Palestin beri peluang pada AS



GENEVA 21 Mei - Palestin sudah melengkapkan semua proses perundangan untuk menyertai 63 agensi dan perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun belum mengemukakan permohonan bagi memberi peluang kepada usaha damai dengan Israel anjuran Amerika Syarikat (AS).
Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erekat semalam berkata, penduduk Palestin telah melakukan 'segalanya' untuk membolehkan Presiden AS, Barack Obama dan Setiausaha Negara AS, John Kerry menjayakan usaha tersebut dan kini terdapat peluang yang baik.
''Kami telah melengkapkan semua instrumen akses untuk menyertai 63 agensi dan perjanjian PBB, namun belum menyerahkannya lagi kerana ingin memberi peluang kepada Obama dan Kerry serta Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, Presiden Rusia, Vladimir Putin, Kesatuan Eropah dan pihak-pihak lain mengerakkan usaha damai ke arah penubuhan dua buah negara.
''Kami melakukan semua perkara bagi membolehkan Kerry berjaya dalam usahanya ini. Ini kerana kejayaan atau kegagalan usaha Kerry akan memberi kesan kepada rakyat Palestin,'' katanya.
Perhimpunan Agung PBB pada November lalu menaik taraf Palestin kepada pemerhati PBB bukan anggota, tindakan yang ditentang oleh AS dan Israel.
Pengiktirafan tersebut membolehkan Palestin menuntut hak keanggotaan PBB dan organisasi lain termasuk membawa kes ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Saeb berkata, Israel perlu menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi yang merupakan satu kewajipan di bawah perjanjian sementara 1995 dan pelan damai 2003 ke arah penubuhan negara Palestin, bukannya satu syarat untuk menyambung semula rundingan damai.
''Israel perlu membuat pilihan sama ada penempatan haram atau perdamaian,'' katanya.
Rundingan damai Palestin-Israel terbaharu gagal pada lewat 2008.
Palestin enggan menyambung semula rundingan tersebut, manakala Israel terus membina penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130522/lu_05/Palestin-beri-peluang-pada-AS#ixzz2TyM3QEjE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment