Thursday 30 September 2010

Israel Guna Peluru Beracun Hadapi Konfrontasi Di Silwan

Imej30 September 2010 - Al-Quds - Para peserta Persidangan yang diadakan oleh Jawatankuasa Pembela Silwan dan Pusat Informasi al-Quds, Rabu, meminta dibentuk pasukan penyiasat antarabangsa untuk menyelidiki jenis peluru yang digunakan oleh penjajah Zionis dalam usahanya membubarkn demonstrasi oleh warga Palestin ketika berlakunya konfrontasi di bandar al-Quds seminggu yang lalu.

Dalam Persidangan ini didedahkan bahawa pasukan penjajah Zionis telah didapati menggunakan tembakan gas yang meninggalkan kesan yang nyata berupa keletihan yang luar biasa, kepanasan badan yang tinggi, muntah-muntah, sukar bernafas dan kesan-kesan jangka panjang yang boleh mempengaruhi alam sekitar.

Ketua Dewan Tertinggi Islam, Syaikh Ikrimah Sabr, mengatakan, "Tidak ada bezanya antara kumpulan pemukim pendatang Zionis dan pasukan penjajah Israel. Tindak-tanduk kedua-duanya mencerminkan satu strategi yang sama bertujuan untuk meYahudian bandar al-Quds serta menguasai tempat-tempat sucinya."

Dia menegaskan yang tindakan Zionis bertentangan dengan semua bentuk undang-undang dan ukuran antarabangsa yang mengharamkan penggunaan gas dan senjata beracun. Dia menegaskan juga tentang betapa pentingnya pendirian teguh dan kesatuan dalam menghadapi serangan Zionis.

Anggota Jawatankuasa Pembela Tanah Silwan, Fakhri Abu Diyad, menjelaskan bahawa patut diperhatikan keadaan kesihatan yang dialami oleh penduduk setempat setelah serangan gas tersebut. Mereka mengalami keletihan yang amat sangat, suhu panas badan yang tinggi dan muntah-muntah. Ketika sebahagian dari mereka dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan, mereka diberitahu yang mereka mengalami keracunan.

Abu Diyab menambah, "Kami telah mengumpulkan bekas peluru yang ditembak untuk mengetahui jenisnya dan ternyata peluru-peluru tersebut telah tamat tempoh sejak setahun atau 6 bulan yang lalu. Para doktor menegaskan bahawa gas yang ada di dalamnya boleh menimbulkan ancaman besar bagi manusia dan alam sekitar."

Sementara itu para pemukim pendatang Zionis dan pengawal mereka juga telah menggunakan senjata masing-masing terhadap warga Palestin. Akibatnya, seorang warga Palestin, Samir Serhan, telah gugur. Penyelidikan membuktikan yang korban telah dibunuh dengan zalim.

No comments:

Post a Comment