Thursday, 4 August 2016

Sengketa mazhab, Palestin terkesan


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 OGOS 2016
Sengketa mazhab, Palestin terkesan

Sengketa mazhab, Palestin terkesan Konflik di Timur Tengah diburukkan lagi dengan campur tangan ketenteraan pihak asing.
Konflik di Timur Tengah diburukkan lagi dengan campur tangan ketenteraan pihak asing.
RANTAU Arab telah diuji dengan pelbagai bentuk pergolakan, dan yang paling ketara adalah dari sudut agama, puak dan bangsa serta geopolitik.

Sebahagian daripada pergolakan ini sudah berlanjutan selama beberapa generasi dan ada antaranya sudah lama berakhir, namun kembali bertiup kencang sejak akhir-akhir ini.

Malangnya, pergolakan yang masih belum reda ini merebak dengan pantas dan terpecah kepada masalah lebih rumit.

Sebagai contoh, pergolakan di Syria yang bermula dengan perbalahan politik, kemudiannya merebak kepada masalah lain dan menjadi lebih kompleks.

Antara pergolakan yang sedang melanda negara tersebut kini ialah perbalahan mazhab antara puak Syiah-diketuai Iran yang mana pembentukannya terdiri daripada campur tangan beberapa negara, pertubuhan dan kumpulan militan yang majoritinya pengikut fahaman syiah, sementara puak sunni yang dikepalai kerajaan Arab Saudi dan dianggotai beberapa negara serta pertubuhan.

Sejarah pergolakan

Segelintir pihak merujuk punca perbalahan mazhab yang berlaku sekarang berlatarbelakangkan kepada sejarah lampau.

Namun, perlu dijelaskan dalam konteks ini bahawa turun naiknya perbalahan ini adalah berbeza dari satu tempoh ke tempoh lain, sebagaimana catatan kejayaan umat sepanjang zaman.

Meskipun berlakunya keadaan yang buruk pada masa lalu, namun gelombang pergolakan pada hari ini mula menunjukkan bahawa ia salah satu daripada keadaan paling buruk dan teruk, malah diumpamakan sebagai peperangan secara menyeluruh. Ia adalah peperangan  melawan semua, selepas terjadinya pergolakan antara tokoh (perseorangan) menentang tokoh lain.

Pergolakan mazhab pada masa lalu berlaku antara negara dengan negara yang lain; seperti yang berlaku antara empayar Uthmaniyah dan wangsa Safawiyah. Begitu juga apa yang terjadi antara khulafa' Fathimiyah dan dinasti Ayubiyah.

Semakin seriusnya pergolakan ini juga seiring dengan perluasan kawasan geografi berlakunya konfrontasi, di mana pertembungan berlaku di seluruh tempat di seluruh dunia Islam pada banyak peringkat dalam bentuk yang berbeza.

Pada kurun ke-20 menyaksikan keadaan tenang secara relatif perhubungan antara puak sunni-syiah, namun berselang seli secara tidak menentu dengan pertempuran; seperti yang berlaku antara Iran-Iraq.

Keadaan ini mungkin disebabkan kesinambungan arus sekularisme yang mewarnai landskap politik di rantau Arab.

Tambahan pula, dari suatu sudut adanya pengaruh hubungan yang baik antara aliran utama fahaman Syiah dan Sunni telah memberi kesan yang besar serta mengurangkan pertelingkahan, malah banyak membuka pintu dialog dan persefahaman.

Rantau Arab terkesan

Sementara yang menjadi mangsa perbalahan dan pertelingkahan mazhab di rantau Arab adalah isu Palestin.

Tidak dinafikan kemudaratan ini memberi kesan terhadap setiap negara rantau Arab, namun artikel ini memfokuskan kepada kesan kelompok mazhab terhadap isu Palestin secara khususnya. Isu yang dihadapi Palestin, ditambah pula dengan kegetiran pendudukan Zionis secara berterusan mewujudkan cabaran baharu antaranya:

Pertama: Kemerosotan kepentingan isu Palestin terhadap sensitiviti pihak berkuasa  sama ada di peringkat antarabangsa, serantau mahupun tempatan.

Kuasa besar pula disibukkan dengan isu-isu ‘yang lebih rumit’ seperti pergolakan di Syria yang menyebabkan jutaan rakyatnya terpaksa mendapatkan perlindungan di Eropah.

Sementara negara-negara berkenaan pula disibukkan dengan dilema keganasan yang kian meningkat kesan daripada Arab-Spring, sekali gus menyebabkan masyarakat Eropah umpama bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletus.

No comments:

Post a Comment