11 Jun 2016 1:04 AM
JERUSALEM 10 Jun – Menteri Hal Ehwal Ketenteraan Israel, Avigdor Lieberman yang baharu dilantik ke jawatan itu mengarahkan mayat penduduk Palestin yang terkorban di tangan tentera Israel ketika cuba melancarkan serangan tikaman atau rempuhan kereta, tidak akan diserahkan kepada keluarga Palestin terbabit untuk urusan pengebumian, ekoran insiden serangan tembakan di Pasar Sarona, Tel Aviv, kelmarin.
Lieberman mengeluarkan arahan itu, semalam selepas mesyuarat Kabinet Israel membincangkan pendekatan yang perlu diambil ekoran insiden tembakan di Pasar Sarona itu, yang mengorbankan empat penduduk Israel dan mencederakan enam yang lain, lapor harian Haaretz.
Menteri Keselamatan Awam Israel, Gilad Erdan turut mencadangkan supaya Israel menghentikan sepenuhnya penghantaran mayat penduduk Palestin dan urusan pengebumian penduduk Palestin yang terkorban kerana melancarkan serangan ke atas Israel semasa Intifada Kedua, yang bermula dari September 2000 sehingga Februari 2005 dan meragut kira-kira 3,000 nyawa.
Seorang pegawai kanan Israel yang memaklumkan tentang keputusan mesyuarat Kabinet Israel itu, turut berkata, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara membuat persiapan untuk urusan pengebumian penduduk Palestin yang terbunuh itu dan meneliti kesan yang bakal berlaku ekoran keputusan Kabinet Israel itu,
Laporan itu dikeluarkan ketika Timbalan Menteri Hal Ehwal Ketenteraan, Eli Ben-Dahan, awal semalam berkata bahawa pegawai Israel tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada penduduk Palestin yang tinggal di bandar Yatta yang merupakan tempat kelahiran dua penduduk Palestin yang melakukan serangan ke atas Pasar Serona.
“Kehidupan di Yatta tidak akan berjalan seperti biasa lagi,” katanya, sambil menambah kata, tentera Israel telah mengepung bandar itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rejim-zionis-enggan-serah-mayat-penduduk-palestin-1.340989#sthash.vO6GwRwR.dpuf
No comments:
Post a Comment