Pemimpin Israel terbabit, Dov Khenin berkata, pendedahannya itu bersandarkan kepada tindakan Israel memusnahkan rumah-rumah serta bangunan-bangunan milik penduduk Palestin di wilayah berkenaan.
Tegas beliau, tindakan memusnahkan struktur di kawasan yang digelar Kawasan C di Tebing Barat bertujuan membina penempatan haram Yahudi.
“Israel melakukan pembersihan etnik dengan cara yang amat terancang di wilayah Tebing Barat yang dihuni penduduk Palestin,” dakwanya kepada portal berita Sky News, semalam.
Kawasan C yang dikuasai sepenuhnya oleh Israel, meliputi kawasan seluas 360,000 hektar, bersamaan 60 peratus kawasan keseluruhan Tebing Barat.
Mengikut Perjanjian Oslo 1993, Tebing Barat dibahagi kepada tiga bahagian iaitu Kawasan A di bawah penguasaan Palestin, manakala Kawasan B dan C dikongsi oleh kedua-dua pihak.
Tuduhan Khenin itu, bagaimanapun dinafikan Israel dan memberi alasan aktiviti merobohkan rumah-rumah di Tebing Barat dilaksanakan kerana struktur terbabit tidak mempunyai permit.
Namun, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tebing Barat, Matthew Ryder berkata, usaha penduduk Palestin untuk mendapatkan permit pembinaan bangunan dianggap sebagai mustahil kerana Israel tidak akan meluluskannya.
“Menurut statistik yang direkodkan antara 2010 dan 2014, hanya 33 permit atau 1.5 peratus permohonan diluluskan kepada penduduk Palestin oleh rejim Zionis,” katanya.
Berdasarkan laporan PBB, baru-baru ini, usaha memusnahkan kawasan penduduk Palestin di wilayah itu meningkat tiga kali ganda sejak tiga bulan lalu dan secara puratanya sebanyak 165 buah struktur dirobohkan setiap bulan.
Lebih sejuta penduduk Yahudi tinggal di 230 buah kawasan pe­nempatan haram yang dibina sejak Israel menjajah wilayah Tebing Barat dan Baitulmaqdis pada 1967.