Lembah Beqaa atau Wadi-I-Biqa yang terletak kira-kira 30 kilometer dari ibu negara Lebanon, Beirut dan 30 kilometer dari kem pelarian Yarmouk di Syria menjadi tumpuan utama mangsa peperangan.
BEQAA 21 Mac - Perang yang meletus di Syria sejak 2012 bukan sahaja menyebabkan penderitaan kepada rakyat negara itu tetapi turut mengakibatkan rakyat Palestin yang berlindung di Syria menerima tempiasnya.
Kira-kira 2 juta pelarian dari Syria termasuk rakyat Palestin yang mencari perlindungan di negara itu akibat kezaliman rejim zionis Israel terpaksa menyeberangi sempadan untuk berlindung di Lebanon.
Lembah Beqaa atau Wadi-I-Biqa yang terletak kira-kira 30 kilometer dari ibu negara Lebanon, Beirut dan 30 kilometer dari kem pelarian Yarmouk di Syria mejadi tumpuan utama mangsa peperangan.
Lembah yang cantik dengan pemandangan memukau jajaran Bukit Faour serta subur dengan pertanian dan beriklim sejuk itu bagaimana pun tidak menjanjikan kehidupan yang lebih selesa kepada pelarian terutama dari Palestin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut, walaupun pelarian Palestin diberi kebenaran untuk tinggal di wilayah Lebanon namun mereka sama sekali tidak dibenarkan bekerja.
“Di Beqaa sahaja terdapat 50 kawasan perkhemahan untuk pelarian Syria yang menempatkan 500,000 pelarian Syria di sini.
“Keadaan rakyat Palestin lagi teruk. Mereka tidak dibenarkan membuat sebarang pekerjaan di sini termasuk tidak dibenarkan berniaga dan bertani. Jadi mereka terpaksa bergantung sepenuhnya bantuan yang dihulurkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Lebih malang lagi, menurut Awang Suffian, pelarian terpaksa menyewa rumah-rumah yang dibina oleh rakyat Lebanon dengan harga antara AS$100 hingga AS$300 sebulan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyampaikan bantuan kemanusiaan Misi Syria Kelapan Aman Palestin kepada 40 keluarga Palestin yang tinggal di sekitar Bukit Faour dan Bir Illyas di Beqaa.
Setiap keluarga menerima bantuan makanan bernilai AS$100 berbentuk minyak masak, ubi kentang, telur, sayur-sayuran dan lain-lain lagi.
Bekalan makanan yang disampaikan itu dijangka mampu bertahan selama sebulan.
Misi Syria Kelapan Aman Palestin yang akan berlangsung sehingga 28 Mac, dijadual masuk ke Syria Selasa ini bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan ke kem-kem pelarian yang menjadi tempat perlindungan rakyat Palestin. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment