Sunday 24 January 2016

Wanita Palestin maut ditembak askar Israel

24 JANUARI 2016

Mayat wanita Palestin yang ditembak mati tentera Israel di daerah Anatot, semalam.


BAITULMAQDIS - PALESTIN. Tentera Israel menembak mati seorang wanita muda Palestin di timur laut Baitulmaqdis selepas dia didakwa cuba menikam seorang askar Yahudi, semalam.
Mangsa ditembak berhampiran daerah Anatot, lapor agensi berita Safa.
Rejim Zionis sering menjadikan serangan terbabit sebagai alasan bagi membunuh puluhan rakyat Palestin di Tebing Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin mengalami luka tembakan semasa bertempur dengan askar Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Pasukan perubatan berkata, seramai 15 rakyat Palestin ditembak dengan peluru hidup manakala sekurang-kurangnya dua lagi ditembak menggunakan peluru keluli bersalut getah di kejiranan al-Faraheen di Khan Yunis.
Salah seorang yang cedera dilaporkan ditembak di bahagian abdomen dan berada dalam keadaan kritikal.
Di utara Kafr Qaddum, tentera Israel menembak dan mencederakan tiga rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun.
Sementara itu di Qalqilya seorang pemuda berusia 20 tahun buta sebelah mata selepas terkena peluru getah dilepaskan askar Israel.
Lebih 160 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak maut di tangan tentera Israel sejak awal Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment