Wednesday 11 November 2015

Remaja didakwa

AP
Baitulmaqdis: Seorang remaja Palestin dihadapkan ke mahkamah semalam kerana menikam dua penjajah Israel, bulan lalu.

Ahmed Manasra, 13, dan sepupunya Hasan, 15, menikam dua penjajah berkenaan di sebuah kejiranan di timur Baitulmaqdis. Hassan mati ditembak polis manakala Ahmed ditangkap selepas dilanggar kereta.

Dua lelaki Israel terbabit yang berusia 20 dan 13 tahun terselamat dalam kejadian itu.

Kes itu mencetuskan
kontroversi selepas Presiden Mahmoud Abbas membuat kesilapan dalam kenyataannya yang disiarkan di televisyen bahawa Israel melaksanakan hukuman bunuh terhadap Ahmed, sedangkan remaja itu dirawat di sebuah hospital di Israel.



Israel bertindak balas menuduh Mahmoud mencetuskan keganasan dengan komen yang mengapi-apikan kemarahan.

Pada masa sama, orang Palestin berang dengan video disiarkan di media sosial menunjukkan Ahmed terbaring di atas jalan dengan kepalanya berdarah manakala orang ramai dilihat memaki hamunnya dalam bahasa Ibrani.

Sejak pertengahan September, 12 rakyat Israel terbunuh dalam serangan oleh orang Palestin yang kebanyakannya membabitkan tikaman.

Sementara itu, 75 orang Palestin mati ditembak pasukan keselamatan Israel termasuk 48 yang dituduh Yahudi terbabit dalam serangan atau cubaan melakukan serangan. Selebihnya maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Isnin lalu, media Palestin menyiarkan rakaman menunjukkan polis Baitulmaqdis menyoal siasat Ahmed.

Dalam video itu, anggota polis menunjukkan rakaman Ahmed dan Hassan mengejar seorang lelaki dengan pisau. Seorang polis terbabit menjerit ‘Adakah ini kamu?’ berulang kali kepada Ahmed yang menangis dan berkata dia tidak ingat.

Tidak jelas bagaimana media Palestin mendapat video itu atau siapa yang merakamkannya.

Sementara itu, peguam bela Ahmed, Lea Tsemel berkata, dia akan mempertikaikan soal siasat terhadap Ahmed berdasarkan video itu.

“Polis tidak boleh mendapatkan pengakuan melalui paksaan atau menakutkan suspek,” katanya.

Jurucakap polis Luba Samri berkata, siasatan dijalankan secara profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 10:02 AM

KANAK-kanak Palestin membawa gambar bekas pemimpin, Yasser Arafat dan Presiden Mahmoud Abbas dalam perhimpunan memperingati ulang tahun ke-11 kematian Arafat di Hebron.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92163#sthash.XK0mOHSC.dpuf

No comments:

Post a Comment