HEBRON – Satu keganasan tercetus kelmarin di titik pertempuran bandar Hebron, Tebing Barat ketika sekumpulan rakyat Palestin mengebumikan lima remaja yang terbunuh dalam gelombang serangan dan pertempuran dengan tentera Israel.
Remaja berkenaan ditembak mati oleh pengawal sempadan Israel di pusat pemeriksaan antara Tebing Barat dan Israel selepas dia didakwa cuba menikam salah seorang daripada mereka, kata polis.
Peningkatan pergolakan sejak awal Oktober lalu telah mencetuskan kebimbangan terhadap kebangkitan Intifada ketiga Palestin ke atas pendudukan Israel oleh generasi yang dicengkam kekecewaan dan kemarahan terhadap usaha damai yang terhenti.
Seramai 66 penduduk Palestin, sembilan Israel dan seorang berbangsa Arab Israel telah terbunuh sejak keganasan tercetus bulan lalu.
Keganasan juga telah merebak ke Tebing Barat dengan protes dan serangan harian terhadap tentera rejim, manakala di Semenanjung Gaza berlaku pertempuran dengan tentera Israel di sepanjang sempadan wilayah itu.
Beribu-ribu rakyat Palestin yang sedih menghadiri pengebumian lima remaja berkenaan termasuk dua daripada mereka yang terkorban adalah perempuan.
Mereka mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan slogan ‘Kami akan mati tetapi Palestin akan terus hidup’.
Menurut sumber perubatan Palestin, pertempuran mula berlaku sebaik sahaja acara pengebumian berlangsung. Kebanyakan mereka bertindak membaling batu ke arah tentera Israel yang kemudian melepaskan tembakan menyebabkan 12 orang tercedera.
Ziad Natsheh yang kematian anaknya, Tareq, 17, dalam insiden tersebut menyifatkan itu satu pengebumian bermaruah.
“Hidup di dalam sebuah negara yang sentiasa bergolak, semua orang menjangkakan kematian, kecederaan atau kehilangan anak,” katanya. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3qHTALbJr
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment