Saturday, 10 October 2015

Lima terbunuh di Gaza


Gaza: Tentera Israel semalam melepaskan tembakan di sempadan Gaza menyebabkan lima penduduk Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera ketika mereka menunjuk perasaan menyokong bantahan diadakan di Baitulmaqdis, kata pihak berkuasa hospital di Gaza.

Demonstrasi itu diadakan sebagai menyokong penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, susulan beberapa serangan dilancarkan terhadap penduduk Israel yang turut dibalas orang Yahudi terhadap penduduk Arab.

Tentera Israel berkata, kira-kira 200 penduduk Palestin tiba di kawasan kurang 100 meter dari pagar sempadan di timur laut Gaza dan melontar batu serta menggolekkan tayar terbakar ke arah tentera Israel di seberang pagar sempadan itu.

Jurucakap tentera berkata: “Askar kami melepaskan tembakan terhadap mereka untuk menghalang kemaraan dan menyuraikan kumpulan Palestin itu. Lima penduduk Palestin ditembak.”

Pihak berkuasa hospital berkata, empat orang terbunuh dan 13 cedera. Saksi mendakwa ditembak penembak curi di pos kawalan sepanjang pagar sempadan, kira-kira 400 meter dari lokasi protes diadakan.

Israel mewujudkan zon keselamatan sepanjang 300 meter dari sempadan memasuki Gaza. Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain pula mempunyai menara tinjau serta pos kawalan tidak jauh dari zon penampan itu.

Pemimpin Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, menggesa penduduk Palestin meningkatkan tentangan terhadap Israel dengan menganggap peningkatan pertempuran di Baitulmaqdis dan Tebing Barat sebagai permulaan intifada baru.

“Ini hari Jumaat, hari kemarahan. Hari ini mewakili permulaan intifada baru di seluruh Palestin.

“Kita menyerahkan jiwa dan raga demi Baitulmaqdis. Baitulmaqdis dan Aqsa sebahagian daripada agama kita dan mereka yang menyerang orang Yahudi adalah wira.

“Gaza menyokong penuh perjuangan di Baitulmaqdis. Gaza sangat bersedia. Penduduk Palestin mesti bersatu mempertahankan pekarangan Masjid Al-Aqsa,” katanya selepas solat Jumaat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:06 AM

SEORANG penunjuk perasaan Palestin dibantu rakannya selepas cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di pagar sempadan di Semenanjung Gaza, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83932#sthash.a6UFKv6h.dpuf

No comments:

Post a Comment