TEBING BARAT - PALESTIN. Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata, mereka tidak bertolak ansur dan akan membawa kes serangan ganas peneroka haram Yahudi terhadap rakyat Palestin ke Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Dalam kejadian kelmarin, seorang bayi rentung dan empat ahli keluarganya cedera selepas kediaman mereka di kampung Duma dekat Nablus dibakar.

Serangan ganas itu berlaku dua hari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan pembinaan 300 kediaman baharu peneroka haram Yahudi di Tebing Barat.

"Saya telah mengarahkan Menteri Luar, Riyad al-Maliki untuk memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). "Kami mahukan keadilan, tapi saya ragu-ragu bahawa Israel akan memberi kerjasama penuh," kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berhubung serangan terbabit.

Menurut beberapa pegawai keselamatan Palestin, seramai empat penyerang dipercayai peneroka haram Yahudi membakar rumah berkenaan ketika penghuninya sedang tidur.

Mereka turut menconteng dinding sebelum melarikan diri ke penempatan haram Yahudi berdekatan. - Al-Jazeera