KANAK-KANAK Palestin mengulang kaji pelajaran di dalam khemah sementara mereka di kawasan perumahan Johar al-Deek di Gaza City pada 7 Mei lalu. AFP
VATICAN CITY 14 Mei – Pihak berkuasa Vatican dilapor mengikat perjanjian dengan Palestin, yang pertama sejak Israel menawan Palestin, sekali gus mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, satu langkah yang membolehkan badan perundangan Gereja Katolik, Holy See mengiktiraf Palestin secara rasmi.
Perkembangan itu, sekali gus mengundang kemarahan penyokong Israel.
Perjanjian itu yang menurut Vatican dibuat bagi `meningkatkan kehidupan dan aktiviti Gereja Katolik di wilayah itu dan pengiktirafan pada peringkat kehakiman’ dibuat menjelang pertemuan pemimpin Vatican, Pope Francis dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, sekali gus mengukuhkan hubungan antara Vatican dan Palestin.
Teks perjanjian itu meliputi aktiviti Gereja Katolik di kawasan yang dikuasai Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah dirumuskan dan akan secara rasmi ditandatangani oleh pihak berkuasa masing-masing ‘dalam masa terdekat’, kata satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Vatican.
Mahmoud dijangka menghadiri satu majlis agama di Vatican pada Ahad ini bagi memperingati dua pemimpin agama itu kelahiran Palestin.
Pegawai Vatican menegaskan bahawa Holy See telah memberikan pengiktirafan rasmi kepada Negara Palestin sejak 2012.
Timbalan Menteri Luar Vatican, Monsignor Antoine Camilleri dalam satu temubual dengan akhbar rasmi majlis perundangan itu berkata, beliau berharap perjanjian itu secara tidak langsung membantu Palestin dalam hubungannya dengan Israel.
“Pengiktirafan itu akan menjadi positif jika perjanjian itu dapat membantu penubuhan dan pengiktirafan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan demokratik yang hidup dengan aman dan selamat bersama Israel dan negara berjiran,’’ katanya kepada l’Osservatore Romano.
Bagaimanapun, Presiden Kongres Yahudi Eropah, Moshe Kantor menyifatkan langkah itu ‘agak malang’ dan menambah kata, pengiktirafan itu akan ‘menyukarkan peluang satu resolusi konflik secara aman dan membuka peluang kepada pelampau’.
No comments:
Post a Comment