Laman web Press Tv me­laporkan, Mahkamah Agung Israel meluluskan permohonan Pejabat Pentadbiran Awam untuk memusnahkan khemah dan rumah di Kampung Khirbet Susiya, berhampiran bandar Hebron.
Ketua kampung, Jihad al-Nawajaa berkata, Israel mahu menghapuskan penempatan berkenaan untuk membina taman bagi penempatan haram, sambil menambah ini bukan kali pertama kampung mereka dihancurkan.
“Kami tidak akan menyerahkan tanah ini kepada rejim Zionis. Kami akan tetap tinggal di sini sama seperti 30 tahun lalu,” jelas Jihad.
Menurut Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Israel telah memusnahkan hampir 42 buah bangunan milik penduduk Palestin di Ramallah, al-Quds, Jericho, dan al-Khalil sejak 20 Januari lalu.
Dalam perkembangan lain, sekumpulan tentera veteran Israel dalam satu pengakuan, hari ini menyelar tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh rejim Zionis ketika menyerang Gaza tahun lalu, tindakan yang disifatkan sebagai menyebabkan banyak orang awam terkorban.
Pengakuan yang terkandung di halaman 237 dalam laporan yang dipanggil sebagai This is how we fought in Gaza itu, dihasilkan daripada temubual secara rambang bersama 60 orang tentera dan pegawai yang terlibat dalam peperangan 50 hari di Gaza.
Temubual berkenaan dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Israel yang dikenali sebagai Breaking the Silence, yang juga merupakan rakan kepada saksi yang pernah menyaksikan dan terlibat dalam operasi ketenteraan menakluk Palestin.
Laporan itu turut menyatakan, terdapat lebih daripada 100 salah laku dilakukan semasa peperangan berlaku. – AFP/AGENSI