Wednesday 22 April 2015

Tesco UK Rugi £6.38 Bilion, Yang Terbesar Dalam sejarah


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 6:47 PM

LONDON: Tesco United Kingdom (UK) mengumumkan yang ia telah mengalami kerugian sehingga £6.38 bilion – iaitu yang terbesar dalam sejarah 97 tahun kewujudannya.
Ia juga adalah antara kerugian yang terbesar dalam sejarah korporat UK.
Bukan sahaja Tesco yang berhadapan dengan kerugian besar ini malah gedung-gedung peruncitan yang lain sekitar UK turut menyaksikan para pelanggan setia mereka telah beralih kepada pesaing yang menawarkan harga rendah seperti Aldi dan Lidl.
Mereka bersaing sengit untuk menjadi siapa yang mampu menawarkan harga paling rendah untuk barangan asas harian seperti susu, roti dan juga telur.
Ini sekaligus menjejaskan garis keuntungan.
Tesco UK pada Selasa telah mengumumkan bahawa keuntungan pra-cukai tahunan mereka sekitar £961 juta, turun 68 peratus walaupun jualan total tahunan di UK antara Februari tahun lalu sehingga Februari tahun ini adalah £44.6 bilion.
Jumlah ini adalah menurun 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keuntungan urus niaga Tesco UK adalah sekitar £1.4 bilion, tetapi jumlah ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan apa yang dicapai pada tahun sebelumnya sebanyak £3.3 bilion.
Penurunan ini adalah untuk tahun yang ketiga berturut-turut.
Tetapi kerugian tahunan keseluruhannya adalah didorong menerusi item 'one-off' bernilai  £7 bilion termasuklah £3.8 bilion daripada kajian semula keseluruhan potfolio gedung ekoran penurunan keuntungan.
Ini termasuklah pembatalan projek yang sedang berjalan bernilai £925 juta ekoran keputusan Tesco Januari lalu untuk tidak meneruskan hasrat membina 49 gedung kecil dan besar baru di seluruh UK kerana pasaran yang lembab.
Tesco turut mendedahkan yang ia kini menanggung hutang bersih sebanyak £8.5 bilion dan defisit pencen bernilai £3.9 bilion.
Bekas pengerusi Persatuan Pembekal-Pembekal Makanan, Lord Haskins menyifatkan kerugian besar yang dialami oleh Tesco adalah kerana kegagalan mereka meneruskan pendekatan yang inovasi.
"Tesco adalah sebuah syarikat yang pernah dikenali sebagai syarikat inovatif...pada hari anda tidak lagi menjadi inovatif, anda akan mati," ujarnya.
Seorang pakar runding peruncitan, John Ibbotson pula berkata, keputusan kewangan tahunan ini adalah petanda berakhirnya era kegemilangan Tesco sebagai raja gedung peruncitan UK.
Bagaimanapun, ketua pegawai eksekutif Tesco yang baru, Dave Lewis menegaskan yang syarikat itu kini telah menggariskan sempadan antara kisah lama dan yang baru malah telah terdapat petanda yang menunjukkan mereka mampu kembali pulih.
"Pasaran yang ada hari ini adalah pasaran yang masih mencabar tetapi keutamaan kami kini adalah untuk memperbaiki perkhidmatan kami untuk pelanggan," ujarnya.
Katanya Tesco memerlukan perubahan dan itulah pendekatan yang sedang mereka ambil sekarang.
Para penganalisa berkata, sebahagian besar kerugian Tesco terletak pada bank tanah yang dimilikinya yang kini didapati nilainya jauh lebih rendah daripada apa yang mereka anggarkan sebelum ini.
Tesco menghabiskan berbilion wang untuk membina gedung-gedung besar tetapi kemudiannya mendapati para peruncit enggan membeli-belah lagi di tempat-tempat seperti itu sebaliknya memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa di kedai-kedai runcit kecil dan sederhana.
Akibatnya, Tesco terpaksa membatalkan hasrat untuk membina lebih daripada 100 gedung baru malah di sesetengah tempat terpaksa menutup gedung besar sedia ada dan dalam kes yang lebih teruk terpaksa menjual tanah milik mereka kepada projek lain termasuk perumahan.
Mereka juga terpaksa memberhentikan kerja beribu kakitangan apabila mengambil keputusan untuk menutup gedung sedia ada. Dari ibu pejabat sahaja, sejumlah 6,000 kakitangan akan kehilangan pekerjaan.
Keseluruhannya Tesco bercadang untuk memberhentikan 10,000 pekerja mereka.
Kos hangus akibat pemberhentian kerja ini telah menelan belanja sehingga £300 juta sepanjang tahun lalu.
Sepanjang tiga tahun yang lalu, Tesco telah berhadapan dengan pelbagai isu dan krisis termasuklah skandal perakaunan yang menyaksikannya membuat deklarasi keuntungan yang tidak wujud berjumlah £263 juta.
Insiden itu menyaksikan sembilan eksekutif kanan Tesco sama ada digantung kerja atau dipaksa meninggalkan syarikat itu dengan segera.
Mereka turut mengantikan ketua pegawai eksekutif Philip Clarke dengan yang baru iaitu Dave Lewis September lalu yang diparacutkan dari Unilever.
Lewis buat masa ini telah memperbaiki hubungan Tesco dengan para pembekal dan terdapat juga tanda-tanda yang kejatuhan jualan berjaya dikurangkan.
Ketika puncaknya, Tesco adalah gedung peruncitan yang ketiga terbesar di dunia.
Tesco bagaimanapun masih menguasai 29 peratus daripada pasaran peruncitan UK.
Para penganalisa juga berkata yang Tesco juga berkemungkinan akan menjual gedung-gedungnya di Asia sebagai usaha untuk mengurangkan hutang dan beban semasa.

No comments:

Post a Comment