NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Asia Barat, semalam mendedahkan, tiada rumah yang dibina semula di Genting Gaza lapan bulan selepas Israel menamatkan perang di kawasan kepungan itu.

Jurucakap UNRWA, Chris Gunness berkata, setakat ini, 9,161 rumah pelarian Palestin musnah sama sekali, 5,066 rumah rosak teruk, 4,085 mengalami kerosakan besar dan 124,782 hanya rosak kecil.

"Tiada sebuah rumah pun yang dibina semula sejak serangan akhir rejim Zionis di wilayah bergolak itu pada musim panas tahun lalu," katanya.

Menurutnya lagi, agensi PBB telah menerima pembiayaan untuk membina semula 20 daripada 9,161 rumah yang musnah.

Dalam perkembangan lain, ribuan rakyat Palestin berkumpul di wilayah diduduki Israel sebagai memperingati ulang tahun ke-67 Hari Nakba (malapetaka), apabila tentera rejim memindahkan ratusan ribu penduduk dari tanah mereka. - Press TV