Resolusi itu yang mendapat sokongan negara-negara Arab menetapkan November 2016 sebagai tarikh akhir bagi pengunduran Israel dari wilayah Palestin dengan 15 anggota badan itu akan membuat undian pada satu tarikh kemudian.
“Kami akan menghantar projek kami (resolusi) kepada Majlis Keselamatan PBB, hari ini,’’ kata Nimr Hammad, penasihat kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Keputusan itu ekoran beberapa siri pertemuan antara Setiausaha Negara AS, John Kerry, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, perunding Palestin dan menteri-menteri Eropah.
Kerry mencadangkan satu resolusi PBB boleh memberi kelebihan kepada kumpulan pendesak Israel ketika Israel bakal mengadakan pilihan raya pada Mac ini.
“Kebanyakan kita berkongsi perasaan yang kuat tentang perkara ini perlu disegerakan. Namun, kami sedar kita perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah yang diambil dalam keadaan sukar di rantau itu,’’ kata Kerry.
Rakyat Palestin mula mengedarkan draf rancangan itu pada September lalu selepas Mahmoud memaklumkan kepada Perhimpunan Agung PBB bahawa sudah tiba masanya bagi menyegerakan penubuhan negara Palestin.
Resolusi itu yang dikemukakan kumpulan negara-negara Arab meminta ‘pengunduran penuh Israel dari semua wilayah Palestin yang dikuasai Israel sejak 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur. – AFP