Tuesday 23 December 2014

Gaza umpama bom jangka



Gaza City: Hanya empat bulan selepas konflik berdarah di Gaza, penganalisis menjangkakan perang baru boleh tercetus jika proses pembinaan semula di wilayah berkenaan tidak dipercepatkan, selain konflik berpanjangan dalam kepemimpinan Palestin gagal diselesaikan.



Sejak peperangan 50 hari antara Israel dan Hamas yang mengakibatkan kematian hampir 2,200 penduduk Palestin dan 73 warga Yahudi, tidak banyak yang berubah di Gaza.



Puluhan ribu orang masih tiada tempat tinggal dan kemusnahan dapat dilihat di serata wilayah itu.



Malangnya, pembinaan semula masih tidak dilaksanakan, manakala usaha menghidupkan kembali rundingan damai sejak Ogos lalu berulang kali tertangguh.





Keadaan itu menyebabkan penduduk Gaza semakin diselubungi kekecewaan dan ia membuka kepada risiko tercetusnya semula keganasan baru.



Hujung minggu lalu, sejak perang berakhir pada 26 Ogos lalu, pesawat pejuang Israel membedil selatan Gaza selepas pejuang Hamas menembak roket melepasi sempadannya - kali ketiga ini berlaku dalam tempoh empat bulan lalu.



Walaupun tiada kecederaan dilaporkan di kedua belah pihak, kejadian itu dibimbangi menjejaskan damai.



Cabang tentera Hamas, Ezzedine al-Qassam dilaporkan berkata, jika kehancuran dilakukan Israel di Gaza tidak diperbaiki, “akan ada yang meletup nanti.”



“Jika tuntutan kami tidak diendahkan, tengok sajalah balasannya pada musuh kami, tidak kiralah rakyat mahupun pemimpinnya,” katanya.



Pembinaan semula yang terlalu lembap menjadi isu paling membimbangkan di Gaza.



Sejak lapan tahun kebelakangan ini, Gaza dikenakan sekatan menyeluruh oleh Israel - dan Mesir - sehingga menghalang kemasukan pelbagai bahan keperluan untuk pembinaan.



Penganalisis politik, Avi Issacharoff berkata, keadaan semasa di Gaza tidak ubah seperti sebelum perang tercetus.



“Jika sekatan masih dilaksanakan, sempadan terus ditutup dan pembinaan tetap lembap dalam tempoh enam bulan ini, Hamas akan mengambil tindakan.



“Ia mungkin mencetuskan perang baru,” katanya.



Profesor politik di Universiti al-Azhar, Naji Sharab berkata, memang ada kemungkinan perang tercetus semula.



“Populariti Hamas pasti merudum jika pembangunan tersekat dan isu kewangan tidak diselesaikan. Semakin proses damai terjejas, semakin tinggi kemungkinan perang berlaku,” katanya. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:04 AM

SEORANG wanita Palestin menunggu mendapatkan kebenaran untuk memasuki Mesir di sempadan di Rafah.


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18327#sthash.jTNZL61W.dpuf

No comments:

Post a Comment