Monday, 24 November 2014

Pendatang Yahudi serang rumah warga Palestin

Ramallah: Sekumpulan orang dipercayai pelampau Yahudi melontar koktel molotov ke arah sebuah rumah di petempatan Palestin awal pagi semalam.
Datuk Bandar Khirbet Abu Falah, Masud Abu Mura berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi (waktu tempatan) apabila pendatang haram Yahudi melontar bom api ke arah rumah berkenaan.
“Sebahagian daripada bangunan itu musnah dalam kebakaran,” katanya.
Ketika serangan berlaku, kata Masud, ada empat wanita di dalam rumah itu, tetapi mereka sempat menyelamatkan diri.
Berhampiran rumah itu pula, menurut Masud, penyerang bersorak “Mati Arab” dalam bahasa Hebrew.
Saudara mangsa, Mohammed Abdelkarim Hamayel berkata, penyerang dipercayai datang dari petempatan Shilo yang terletak beberapa kilometer di utara kampung berkenaan.
“Di tengah malam penghuni rumah dikejutkan dengan suara orang bercakap dalam bahasa Hebrew. Tidak lama kemudian pintu rumah diketuk tetapi wanita terbabit tidak membukanya kerana takut.
“Sejurus kemudian penyerang membaling satu kanister gas pemedih mata dan beberapa koktel molotov ke arah balkoni yang kemudian terbakar,” katanya.
Polis Israel yang bertanggungjawab ke atas kawasan itu berkata, penyiasat forensik dan unit jenayah berada di lokasi untuk mengumpul maklumat.
Jurucakapnya berkata, rumah dua tingkat itu mengalami banyak kerosakan di bahagian bawah. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:17 AM


SEORANG wanita menunjukkan kesan kemusnahan rumahnya yang dilontar koktel molotov di Khirbet Abu Falah, Tebing Barat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/11320#sthash.YQKENRmd.dpuf

No comments:

Post a Comment