Pasukan keselamatan Israel berkawal ketika demonstrasi penduduk Palestin terhadap pembinaan tembok konkrit di sebuah perkampungan Arab, Issawiya di Baitulmaqdis Timur, kelmarin. – AFP
BAITULMAQDIS 13 Nov. – Israel tidak akan memberikan kerjasama dengan panel siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas serangan rejim Yahudi itu di Gaza City selama 50 hari baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon berkata, rejim Yahudi itu tidak akan bekerjasama dengan panel berkenaan berhubung konflik dengan Hamas tersebut.
“Suruhanjaya itu bukan satu siasatan kerana panel tersebut telah membuat kesimpulan terlebih dahulu.
“Keputusan untuk tidak memberi kerjasama diambil kerana panel itu telah mengambil tindakan bersifat permusuhan terhadap Israel dan pemimpin-pemimpinnya,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Ogos lalu melantik pakar perundangan antarabangsa dari Kanada, William Schabas sebagai ketua panel siasatan tersebut yang menimbulkan kemarahan Israel.
Rejim Yahudi itu berang dengan Schabas ekoran pakar perundangan tersebut dilaporkan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Hubungan Israel dengan UNHRC sebelum ini tegang ekoran beberapa isu berhubung rekod hak asasi manusia.
Israel pada Januari 2012, menjadi pihak pertama yang enggan menghadiri penilaian rekod hak asasi manusia dan dua bulan kemudian memutuskan hubungan dengan badan dunia tersebut ekoran rancangan ICC untuk menyiasat penindasan penduduk haram Yahudi ke atas hak Palestin.
Hamas menyambut baik penubuhan panel siasatan tersebut yang dijangka mengemukakan laporannya kepada UNHCR pada Mac tahun depan. – AFP
No comments:
Post a Comment