Thursday 9 October 2014

Pertempuran di Masjid al-Aqsa



Baitulmaqdis: Pertempuran berlaku di pekarangan Masjid al-Aqsa semalam selepas penduduk Palestin memprotes tindakan rejim Tel Aviv membenarkan sekumpulan Yahudi memasuki pekarangan masjid itu.

Jurucakap polis Israel Luba Samri berkata, puluhan pemuda Palsetin melontar batu dan bom minyak terhadap anggota polis ketika kumpulan Yahudi itu tiba di pekarangan masjid sempena perayaan Sukkot yang diraikan selama seminggu.


Polis Israel sebelum ini menghalang penduduk Palestin memasuki masjid itu menyebabkan mereka berang dan melontar batu serta bom petrol, menyebabkan empat polis cedera ringan.

Menurut Luba, penganut Yahudi terbabit berjaya meneruskan lawatan mereka.


Katanya, lima penunjuk perasaan ditahan manakala anggota pasukan kesihatan Palestin berkata 17 cedera dalam kejadian itu.


Pengarah Wakaf Islam Azzam al-Khatib yang bertanggungjawab terhadap masjid berkenaan berkata, dia sebelum ini merayu polis menghalang penduduk Yahudi datang ke situ untuk mengelak bertempur dengan sekumpulan pemuda Islam yang tidur semalaman di sana.

“Polis bagaimanapun tidak menghiraukan permintaan saya dan inilah akibatnya,” katanya.

Pekarangan Masjid al-Aqsa sering melihat pertempuran kecil antara polis Israel dengan penduduk Palestin.

Masjid ketiga paling suci umat Islam itu turut dianggap tempat paling suci oleh penganut Yahudi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

No comments:

Post a Comment