BAITULMAQDIS 27 Okt. – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (gambar) semalam menghantar sepucuk surat kepada Washington bagi mendesak campur tangan Amerika Syarikat berhubung keganasan yang semakin menjadi-jadi di timur Baitulmaqdis sejak kebelakangan ini.
Portal berita Al-Arabiya News melaporkan, Mahmoud dalam surat itu memberi amaran, keadaan akan bertambah buruk sekiranya peneroka haram Yahudi terus dibenarkan memasuki kawasan Bandar Lama Baitulmaqdis yang turut menempatkan kompleks al-Aqsa.
Presiden Palestin itu menyalahkan pihak berkuasa Israel berhubung beberapa pertempuran yang tercetus baru-baru ini di antara pasukan keselamatan Israel dan penunjuk perasaan Palestin di timur Baitulmaqdis.
Satu lagi pertempuran berlaku semalam ketika beratus-ratus penduduk Palestin mengadakan satu perarakan memperingati kematian beberapa penduduk di Silwan di sini.
Sementara itu, pihak berkuasa Palestin meminta Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) melantik sebuah suruhanjaya siasatan yang tidak berat sebelah, untuk menyiasat kes kematian lapan orang penduduknya yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel bermula awal tahun ini.
Kematian terbaharu penduduk Palestin berlaku Jumaat lalu, apabila seorang remaja yang dikenali sebagai Orwah Hammad dari kampung Silwad ditembak mati selepas terlibat dalam satu rusuhan.
“Kami menggesa PBB, Kesatuan Eropah dan AS mengambil tindakan segera supaya Israel bertanggungjawab ke atas penggunaan senjata api dan tindakan membunuh rakyat Palestin yang dilakukan oleh mereka,” kata anggota PLO, Hanan Ashrawi.
No comments:
Post a Comment