Saturday, 25 October 2014

Dunia aman jika Israel dihapuskan



Oleh Mohd Shauki Abd Majid

KEMUSNAHAN bangunan di Gaza dan jutaan rakyat Palestin menjadi korban akibat bedilan bom dan roket tentera Israel. - Foto hiasan
HUBUNGAN Islam (lebih tepatnya Muslim) dan Kristian secara umumnya adalah sejarah yang amat panjang dalam tamadun dunia. Dalam ajaran Islam, agama Kristian adalah agama yang cukup istimewa seperti juga al-Quran dengan jelas memberi gambaran positif terhadap sosok Maryam, ibu kepada Jesus (Nabi Isa).
Begitu juga sebaliknya di mana orang pertama yang melihat ciri kenabian dan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul adalah ahli kitab, Waraqah Ibn Nawfal, yang juga sepupu Khadijah, isteri Nabi Muhammad. Keyakinan dan pengakuan Waraqah ini adalah interaksi awal yang menandai hubungan Islam dan Kristian pada awal-awal kelahiran Islam.
Pada peringkat awal, hubungan Islam dan Kristian tidak pernah menjadi masalah. Telah berlaku dialog dan hubungan yang cukup rapat antara agama samawi itu. Malah, Nabi Muhammad menandatangani perjanjian dengan golongan Kristian (dikenali sebagai Testamentum) bagi melindungi pihak Kristian pada awal perkembangan Islam.
Kandungan perjanjian ada menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW dan umat Islam akan mempertahankan agama mereka daripada diserang dan dimusnahkan oleh mana-mana pihak, bebas menjalankan agama dan bebas pergi ke gereja dan tidak ada paksaan dalam memeluk agama Islam. Sekiranya mereka disakiti, Nabi juga akan terasa sakitnya dan akan membela mereka daripada disakiti mana-mana pihak.
Bagaimanapun, hubungan Islam dan Kristian memasuki fasa kedua yang mula dicemari dengan konflik terutama pasca Rasulullah SAW wafat. Ini selepas Islam mula berkembang dan tersebar ke berbagai tempat, bermula dari tanah jazirah Arab ke Afrika, Parsi hingga mencapai kawasan lautan Mediterranean dan kawasan Eropah (Sepanyol), hubungan Muslim dan Kristian mula bermasalah. Orang Kristian yang menguasai dataran Eropah mula tercabar dengan perkembangan Islam dan memberi reaksi negatif.
Stigma Islam agama keganasan, peperangan
Pada masa itu Islam muncul menjadi penguasa baharu dan ini membuat orang Kristian berasa terancam. Mereka mula mempersoalkan dan menghina Islam khasnya ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan mula memberi stigma Islam sebagai agama keganasan dan peperangan.
Penguasa Kristian di Eropah mula membuat rancangan untuk memperluaskan kuasa mereka. Hubungan Muslim dan Kristian semakin tegang dan semakin memuncak dengan tercetusnya Perang Salib. Padahal, kalau diteliti secara lebih mendalam, isu sebenar daripada punca peperangan ini adalah isu kuasa. Bukan kerana adanya pertentangan ajaran agama (secara teologi).
Mereka menggunakan agama sebagai modal untuk mereka terus berkuasa dan memberi justifikasi melancarkan Perang Salib terhadap Islam. Dalam Perang Salib, mereka tidak hanya membunuh askar Islam yang menjadi musuhnya, tapi mereka turut membunuh orang Yahudi di Baitulmaqdis. Malah, jumlah mangsa bunuh orang Yahudi oleh askar Kristian lebih besar berbanding jumlah askar Islam.
Begitu juga halnya dengan perkembangan semasa di mana kuasa-kuasa besar melancarkan peperangan di Iraq dan Afghanistan adalah semata-mata berpunca kepada perebutan kuasa. Peperangan ini seolah-olah mengulang episod sejarah perang Salib dengan kuasa sebagai punca peperangan dan didorong oleh keinginan untuk menjajah negara Islam.
Akan tetapi, isu utama hari ini dalam melihat hubungan Muslim dan Kristian adalah isu kewujudan Israel. Isu ini tidak wujud ketika perang Salib dan mereka berperang bukan kerana membela Yahudi. Jika dahulu orang Kristian berperang kerana agama mereka, maka hari ini peperangan di Iraq adalah kerana kepentingan Israel. Selain kerana ingin menguasai sumber minyak di Iraq, Amerika Syarikat menggulingkan Saddam Hussein kerana Saddam dianggap kuat menentang Israel.
Israel telah menjadi pertimbangan utama dalam strategi dan agenda penguasaan Barat terhadap dunia hari ini. Begitu juga dengan apa yang berlaku di Syria. Penentangan Amerika terhadap Syria adalah berkaitan dengan keinginan Israel untuk menguasai Bukit Golan. Tempat itu kawasan yang strategik dari beberapa aspek. Salah satunya adalah bagi membekalkan air kepada Israel di mana satu pertiga keperluan air Israel berasal dari Bukit Golan.

ISRAEL miliki peluru berpandu dan senjata nuklear. - Foto EPA
Pertahan Bukit Golan daripada diceroboh Israel
Pada masa kepemimpinan Hafez al Assad dan diteruskan oleh anaknya, Bashar al Assad, Syria mempertahankan Bukit Golan daripada sebarang cubaan pencerobohan Israel di kawasan itu. Perkara sama juga berlaku terhadap Iran ketika Israel dengan sokongan Amerika cuba untuk menyerang negara mullah itu dengan alasan isu nuklear. Padahal Israel adalah negara yang memiliki 400 senjata nuklear.
Dalam konteks dunia hari ini, peperangan yang berlaku di beberapa tempat punca utamanya adalah Israel. Sejak penubuhan negara haram Israel inilah, konflik dan perang berlaku disebabkan Israel. Oleh itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dunia akan aman dan konflik akan berkurangan sekiranya Israel tidak wujud di dunia. Isu Israel ini yang dilihat menjadi penghalang kepada terciptanya hubungan dan dialog antara Islam dan Kristian yang positif. Ini terutama dengan kewujudan sebuah kumpulan yang disebut sebagai Zionis Kristian. Kumpulan ini percaya bahawa dunia ini akan dikuasai oleh Kristian dengan syarat Israel menguasai kawasan Asia Barat.
Penistaan ke atas Muslim
Hubungan Muslim dan Kristian memasuki fasa ketiga dengan perkembangan semakin mengarah ke arah pertikaian ideologi berikutan penjajahan Barat terhadap negara Islam. Penjajahan ini tidak hanya bermotifkan penguasaan kepada sumber kekayaan, akan tetapi penjajahan boleh dikatakan sebagai titik permulaan kepada era penghinaan, pengaiban dan penistaan ke atas Muslim. Buku-buku dan karangan sarjana penjajah dengan sengaja memutarbelitkan sirah Nabi, al-Quran dan ajaran Islam. Pada zaman penjajahan inilah kemuncak penghinaan terhadap Islam.
Selepas era penjajahan, keadaan hubungan Muslim dan Kristian agak baik. Bagaimanapun, hubungan ini masih dibayangi oleh cabaran yang masih mengintai berikutan hasrat dan matlamat pihak Kristian Barat tetap ingin menguasai dunia melalui penjajahan bukan fizikal sama ada melalui penguasaan ekonomi, pemikiran, budaya dan sebagainya. Mereka mula menjajah negara-negara Islam secara tidak langsung atau apa yang dikenali dalam sains politik sebagai neo-kolonialisme. Melalui ekonomi, mereka menguasai lembaga kewangan dunia seperti Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan WTO.
Melalui politik, mereka menubuhkan PBB. Perkara ini dapat dilihat secara jelas dengan sistem veto di mana mereka mempunyai kuasa mengawal organisasi itu untuk kepentingan mereka. Meskipun kemudian hari, kuasa-kuasa besar dunia (negara yang mempunyai kuasa veto) pecah kongsi dan tidak menjadi pak turut Amerika, akan tetapi dominasi dan penguasaan terhadap negara Islam masih terus berjalan.
Islam masih dianggap sebagai cabaran bagi mereka terutama selepas berakhirnya perang dingin. Meskipun sebahagian besar daripada mereka sudah tidak percaya kepada agama (ateis), tetapi mereka masih menginginkan agama mereka menjadi anutan kepada penduduk seluruh dunia. Itulah sebabnya mereka masih memperkecil dan menghina Islam.

ISRAEL menguasai tanah Palestin dengan membina penempatan. - Foto AP
Cabaran umat Islam
Cabaran berikutnya adalah meskipun negara Islam sudah merdeka, namun umat Islam berdepan dengan realiti di dunia ini yang masih menggunakan dan melaksanakan idea dan pemikiran Barat sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan budaya. Kita (umat Islam) hidup dalam alam yang dikuasai oleh mereka. Minda kita masih dijajah dan dikuasai oleh pemikiran Barat.
Ruang dialog antara Islam dan Kristian juga boleh dimainkan menerusi kerangka bahawa berlakunya penjajahan ini tidak berkaitan dengan dogma dan doktrin keagamaan. Namun, isunya adalah soal dominasi dan hegemoni pihak tertentu kepada pihak lain. Bagi mereka yang mengetahui punca yang sebenar, mereka akan bersedia berdialog seperti antara Barat dan Timur, Islam dan Kristian. Malangnya, kumpulan dan ahli fikir yang menentang dasar penjajahan ini adalah golongan minoriti, yang tidak mempunyai kuasa menghentikan penjajahan tersebut. Begitu juga halnya dengan golongan mengetahui punca sebenar konflik Muslim-Kristian yang bersedia untuk dialog adalah segelintir dalam masyarakat.
Penulis ialah Setiausaha Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

No comments:

Post a Comment