Sunday, 7 September 2014

Nelayan mula keluar


Oleh Muhammad Nadir Al-Nuri Didah
Selepas lebih seminggu episod berdarah di bumi Gaza dihentikan berikutan termeterainya perjanjian gencatan senjata jangka panjang antara Hamas dan Israel, kehidupan sudah ‘dikembalikan’ kepada rakyat bumi ini.

Pelabuhan sudah dibuka semula.



Rakyat Gaza yang bergelar nelayan sudah kembali ke laut biarpun hanya dibenarkan mencari hasil laut sejauh enam kilometer dari pantai Gaza, namun ia sudah cukup memadai untuk membekalkan hasil laut kepada penduduk Gaza.

Maka, benarlah, rahmat Allah itu tidak terhitung, tidak kira di mana jua kita berada, jika ia rezeki, pasti kita akan menerima rezeki itu walaupun dalam apa jua keadaan sekalipun.

Itulah yang berlaku kepada nelayan di Gaza.

Mereka tidak punya peralatan sonar canggih untuk menjejak ikan mahupun peralatan perikanan terkini untuk memerangkap hasil laut, tetapi hasil tangkapan mereka jauh lebih lumayan daripada nelayan yang menggunakan teknologi ciptaan manusia.

Saya sempat melawat ke pelabuhan beberapa hari lalu.


Melihat tangkapan nelayan Gaza selepas lebih 40 hari dikepung rejim Zionis.

Alhamdulillah, saya lihat begitu banyak hasil laut yang ditangkap.


Ini semua rezeki Allah, tidak mengira tempat, jika itu rezeki rakyat Gaza, pasti ia milik mereka.

Saya lihat ada rakyat Gaza yang mengalirkan air mata ketika nelayan bumi ini pulang membawa hasil tangkapan mereka.

Ia satu suasana yang amat manis buat rakyat Gaza, selepas sekian lama hak mereka dinafikan oleh rejim Zionis.

Seorang nelayan yang saya temui Omer Yosuf, 36, turut menzahirkan rasa gembiranya terhadap suasana baru di Gaza dan menjelaskan bahawa ia suatu sinar harapan baru untuk pembinaan semula semenanjung itu yang lumpuh akibat peperangan lalu.

“Ini semua rezeki Allah bagi kepada rakyat Gaza, kami turun ke laut untuk mencari hasil ikan.

Matlamat kami hanya satu iaitu memberi bekalan makanan kepada semua penduduk Gaza.

Soal jual beli itu urusan kedua.

“Yang penting semua rakyat Gaza mendapat makanan yang secukupnya dan tidak ada yang kelaparan.

Mungkin sebab itu juga Allah bantu kami mendapat tangkapan hasil laut yang lumayan,” katanya ketika saya menemuinya berhampiran pelabuhan, kelmarin.

Bagi Omer, rakyat Gaza tidak meminta lebih, cukup jika diberikan ruang untuk membina semula Semenanjung Gaza dan rakyatnya diberikan hak untuk hidup bebas, sama seperti rakyat negara lain.

Kisah Omer adalah sebahagian coretan girang seorang nelayan yang diberikan hak semula untuk menuai hasil laut, banyak lagi kisah gembira yang sudah tercoret sejak gencatan senjata termeterai.

Rata-rata mereka berharap bahawa gencatan senjata yang termeterai dapat dipatuhi oleh kedua-dua pihak terutamanya rejim Zionis.

Mereka sudah lelah untuk melihat banyak lagi nyawa yang menjadi korban.

Saya secara peribadi turut merasa demikian.

Berkat doa seluruh umat Islam, keamanan di Gaza akan wujud dan bumi ini akan tertegak selepas runtuhnya kota lama mereka.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/07

No comments:

Post a Comment