|
GAZA - Tentera Israel melanjutkan tempoh gencatan senjata di Gaza selama 24 jam lagi, kata para pegawai kelmarin tetapi pejuang Hamas meneruskan serangan roket dan memberi amaran sebarang gencatan senjata adalah tidak sah selagi kereta kebal tentera Yahudi tidak berundur dari wilayah berkenaan.
"Kabinet Israel meluluskan permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu tempoh gencatan senjata kemanusiaan dilanjutkan sehingga tengah malam esok (semalam)," kata seorang pegawai Israel kelmarin.
Bagaimanapun, Hamas dalam satu kenyataan menegaskan tiada sebarang gencatan senjata dapat dijalankan selagi kereta-kereta kebal Israel tidak berundur dari Gaza.
Kata kenyataan itu lagi, gencatan senjata tidak berguna sekiranya penduduk Gaza tidak dapat pulang ke kediaman mereka dan ambulans yang membawa mangsa serangan tidak dapat bergerak bebas di bandar tersebut.
Sayap bersenjata Hamas, briged Ezzedine al-Qassam kelmarin mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket ke selatan Israel dan Tel Aviv sejurus gencatan senjata selama 12 jam yang dipersetujui kedua-dua belah pihak berakhir.
Sejumlah 20 roket dilancarkan ke selatan Israel pada lewat kelmarin hingga pagi semalam.
Bagaimanapun, roket-roket tersebut berjaya dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome milik Israel.
Lebih 1,000 penduduk Palestin yang majoritinya orang awam maut selepas Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza pada 8 Julai lalu dengan alasan mahu menghentikan serangan roket Hamas.
Jumlah mangsa tersebut meningkat mendadak selepas pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan berpuluh-puluh mayat yang tertimbus dalam runtuhan bangunan yang di bom tentera Israel.
Seramai 42 askar Israel dan tiga orang awam turut terbunuh dalam konflik berkenaan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz38nvfm4Qw
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment