Wednesday, 25 June 2014

PENCULIKAN 3 REMAJA DARI GUSH ETZION

ANALISIS STRATEGIK PACE (2) | PENCULIKAN 3 REMAJA DARI GUSH ETZION

Minggu lalu, pada 12 Jun 2014, dunia dikejutkan dengan berita penculikan 3 remaja Israel Naftali Frankel (16), Gilad Shaer (16), and Eyal Yifrah (19) dari kawasan berhampiran Gush Etzion. Gush Etzion merupakan penempatan haram Yahudi yang terletak di selatan Al-Quds dan Bait Lahm di Tebing Barat. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa bahawa HAMAS adalah dalang di sebalik penculikan ini.

Sungguhpun tiada bukti yang jelas, Israel menggunakan ucapan Ismael Haniyeh beberapa bulan yang lalu sebagai asas kepada tuduhan ini. Pemimpin HAMAS di Gaza itu pernah berikrar untuk menawan lebih ramai tentera Israel agar dapat ditukarkan dengan ribuan rakyat Palestin yang masih ditahan di penjara Israel. HAMAS ingin mengulangi kejayaan menukar Gilat Shalit dengan 1,027 orang rakyat Palestin dari penjara Israel pada 2011. Justeru, Israel dengan tidak ragu-ragu menuduh HAMAS melakukan penculikan ini dengan motif yang sama.

Ketua Biro Politik HAMAS, Khalid Misyal walau bagaimanapun tidak menidak mahupun mengiyakan dakwaan penglibatan HAMAS dalam penculikan ini. Namun, beliau menganggap tindakan tersebut sebagai sebahagian daripada perjuangan rakyat Palestin dalam usaha membebaskan sebanyak mungkin rakyat Palestin yang masih ditahan tanpa bukti dan bicara di penjara-penjara Israel.

Presiden Mahmoud Abbas dan Saeb Erekat, Ketua Jururunding Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga mengakui bahawa Israel masih gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa HAMAS adalah dalang di sebalik penculikan tersebut.

Di sebalik tuduhan dan pembelaan ini, wujud beberapa kebarangkalian bagi menjelaskan kes penculikan yang berlaku:

1. Penculikan ini telah dirancang oleh Israel.

Pada 23 April 2014, HAMAS dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah menandatangani Perjanjian Al-Shati’ yang menyaksikan rekonsiliasi antara HAMAS dan Fatah, menamatkan perseteruan 7 tahun 2 fraksi besar di Palestin ini. Penyatuan rakyat Palestin merupakan berita buruk bagi Israel kerana ia bakal menyukarkan rancangannya melalui "Framework for Peace” dengan sokongan John Kerry, Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Penglibatan HAMAS dalam PA membimbangkan Israel kerana HAMAS tidak pernah mengiktiraf keabsahan negara Israel. Penculikan ini menyaksikan HAMAS telah dikambing hitamkan sebagai pesalah bagi mengganggu proses rekonsiliasi HAMAS dan Fatah dan pembentukan Kerajaan Perpaduan Palestin.

2. Penculikan dirancang oleh golongan anti-rekonsiliasi

Penculikan ini dirancang oleh golongan anti-rekonsiliasi yang menerima impak negatif melalui perdamaian HAMAS dan Fatah. Perdamaian ini secara tidak langsung telah menghapuskan status kuo yang wujud sebelum ini. Pihak yang menerima laba daripada status kuo sebelum ini ingin memastikan perdamaian ini gagal dan golongan mereka kembali mendominasi politik di Palestin. Kemungkinan golongan ini ditaja oleh pihak-pihak berkepentingan (termasuk Israel) juga tidak boleh diketepikan.

3. Penculikan dirancang oleh HAMAS

Penculikan ini dirancang oleh HAMAS bagi meneruskan strategi menukar tawanan Israel dengan rakyat Palestin yang ditahan tanpa bukti dan bicara di penjara-penjara Israel. HAMAS pernah menikmati kejayaan menukar 1,027 tahanan Palestin dengan seorang tawanan Israel (Gilat Shalit) pada tahun 2011. Lebih 5,000 rakyat Palestin masih meringkuk di penjara Israel. Sebahagian daripada mereka telah dipenjarakan lebih 20 tahun.

*****

Penculikan ini telah menyaksikan Israel melancarkan Operation Brother’s Keeper bagi menjejaki mangsa dan dalang penculikan. Wilayah Hebron dikenakan perintah berkurung, rumah-rumah di sekitar Tebing Barat digeledah, para pemimpin dan penyokong HAMAS ditangkap dan Gaza dibedil dengan mortar dan peluru berpandu. Dalam tempoh 10 hari, lebih 800 rumah digeledah, 437 orang ditangkap dan 5 orang terkorban di tangan tentera Israel (IDF).

Sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri Yitzhak Rabin, Israel telah merangka polisi yang jelas berhubung urusan pengendalian kes penculikan oleh kumpulan pengganas. Jika wujud peluang untuk mangsa penculikan diselamatkan, Israel akan berbuat apa sahaja untuk menyelamatkan mereka biar pun terpaksa membayar harga yang mahal. Jika tiada kepakaran dan kapasiti untuk menyelamatkan mereka, barulah Israel akan berkompromi untuk mengadakan proses pertukaran banduan. Hal ini menjelaskan sedikit sebanyak senario yang berlaku pada hari ini.

Walaubagaimanapun, tindak-balas keterlaluan Israel pada hari ini jelas menunjukkan bahawa ia adalah lebih daripada sekadar operasi menyelamatkan mangsa penculikan. Dalam tempoh 10 hari, operasi Israel di Tebing Barat dan Gaza telah menatijahkan beberapa perkara:

1) Dengan menyalahkan HAMAS atas kejadian ini, Israel dapat mengambil tindakan keras ke atas pemimpin dan penyokong mereka. Pemimpin dan penyokong HAMAS ditangkap manakala Gaza, kubu kuat HAMAS dikepung dan dibom. Israel berharap operasi ini dapat melumpuhkan operasi HAMAS dan membuatkan rakyat menghentikan sokongan ke atas HAMAS.

2) Israel mengenakan tekanan kepada Presiden Abbas dan menyalahkannya kerana berdamai dengan HAMAS sungguhpun pertubuhan itu dianggap sebagai pengganas oleh Israel. Kesediaan Presiden Abbas menerima HAMAS menyebabkan beliau perlu menanggung kesemua dosa dan kesalahan HAMAS ke atas Israel. Tekanan ini diharapkan dapat menggagalkan rekonsiliasi HAMAS dan Fatah juga Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk.

3) Operasi Brother’s Keeper telah memberi Israel alasan untuk memposisikan semula tenteranya di wilayah-wilayah Tebing Barat terutamanya di sekitar Zon A yang dikuasai PA dan di Jordan Valley.

4) Operasi ketenteraaan terbaru ini dimanfaatkan oleh Israel untuk mengingatkan generasi muda Palestin pasca Intifada 2 bahawa Tebing Barat berada di bawah penguasaan Israel dan bukannya PA.

5) Operasi ketenteraan ini menjawab persoalan rakyat Israel ke atas kerajaan pimpinan Netanyahu yang dilihat hilang arah dan bertindak terlalu pasif selepas perdamaian HAMAS dan Fatah. Ia juga satu cubaan mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan terhadap Netanyahu yang dilihat gagal mempengaruhi keputusan melantik Presiden baru Israel 2 minggu lalu.

6) Kerancakan media massa melaporkan kes penculikan ini telah menutup isu-isu yang lebih besar seperti mogok lapar tahanan Palestin yang kini memasuki bulan ketiga juga projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

7) Penculikan ini dijadikan alasan untuk Israel terus menuduh HAMAS sebagai pengganas dan mengajak semua pihak menolak PA yang didukung oleh HAMAS.

8) Penculikan ini menjadi alasan untuk menagih simpati antarabangsa terhadap rakyat Israel di penempatan Yahudi di Tebing Barat yang sentiasa terdedah dengan ancaman kumpulan pengganas seperti HAMAS

9) Israel cuba mendedahkan kelemahan HAMAS, FATAH mahupun badan-badan antarabangsa yang tidak mampu mengekang tindakan-tindakan unilateral Israel ke atas wilayah Palestin.

[AK]

***

Teruskan bersama PACE untuk perkembangan terkini di Palestin.

#pacemalaysia #analisisstrategikpace
 

No comments:

Post a Comment