Friday 25 April 2014

Kabinet Israel bincang kerajaan perpaduan Palestin


BAITULMAQDIS 24 April - Kabinet Israel, hari ini mengadakan mesyuarat untuk membincangkan maklum balas ke atas perjanjian perpaduan yang diadakan antara kepimpinan Palestin dan pergerakan Hamas semalam, termasuk rundingan damai antara rejim Yahudi itu dengan Palestin.
Radio tempatan melaporkan menteri-menteri Kabinet Israel dijangka mengumumkan pendekatan keras, selain mengenakan sekatan kewangan kepada Palestin yang diumumkan pada bulan ini apabila Palestin memohon untuk menyertai 15 organisasi antarabangsa.
“Bagaimanapun, menteri-menteri Kabinet Israel dilihat tidak akan mengarahkan menamatkan rundingan damai dengan Palestin tajaan Amerika Syarikat (AS),'' lapor radio tempatan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam menyuarakan kemarahannya berhubung perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan yang dicapai antara Hamas dan Fatah.
Netanyahu menuduh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memilih Hamas yang menolak semua rundingan damai dengan rejim Zionis Israel itu, dan bukan keamanan.
Beliau turut mengarahkan rundingan damai dengan Palestin yang sepatutnya diadakan malam tadi dibatalkan, namun Palestin pula menyatakan tiada sebarang pertemuan dijadualkan.
Israel pada 10 April lalu mengumumkan pembekuan pemindahan cukai berjumlah 80 juta euro (RM3.62 bilion) yang dikumpul untuk Pihak Berkuasa Palestin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140425/lu_04/Kabinet-Israel-bincang-kerajaan-perpaduan-Palestin#ixzz2zqKpR8oW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment