Saturday 26 April 2014

Israel henti rundingan dengan Palestin


Dari kiri, ketua delegasi Fatah, Azzam al-Ahmed, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh dan timbalan pemimpin Hamas, Musa Abu Marzuk menyatakan persetujuan membentuk kerajaan perpaduan dalam rundingan di Gaza City, Rabu lalu. - AFP
BAITULMAQDIS 25 April - Israel menghentikan sebarang proses rundingan dengan pihak berkuasa Palestin ekoran perjanjian perpaduan yang dicapai antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Hamas, ketika rundingan damai tajaan Amerika Syarikat (AS) menghampiri tarikh tamatnya pada 29 April ini.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam perjanjian antara PLO dan Hamas itu dengan menyifatkan tindakan berkenaan ‘membunuh keamanan' namun pegawai kanan Palestin, Saeb Erakat sebaliknya menuduh kegagalan itu berpunca daripada aktiviti penempatan haram Yahudi.
"Pakatan dengan pergerakan Hamas membunuh keamanan,"kata Netanyahu kepada televisyen NBC sejurus Kabinet Israel selesai bermesyuarat, semalam.
Mesyuarat keselamatan Kabinet Israel, sebelum itu memutuskan bahawa mereka ‘tidak akan berunding dengan pegawai kerajaan Palestin yang disokong Hamas, sebuah pertubuhan ‘keganasan’ yang menyokong kemusnahan Israel.
Malah, Kabinet Israel turut berjanji ‘akan mengambil langkah-langkah’ sebagai tindakan balas terhadap kerajaan perpaduan Palestin itu tanpa mendedahkan sebarang butiran.
Langkah-langkah baharu itu menyusul selepas sekatan kewangan diumumkan pada bulan ini berikutan tindakan Palestin memohon untuk menyertai 15 organisasi antarabangsa.
Sementara itu, Erakat berkata, kerajaan Netanyahu telah diminta untuk memilih antara keamanan dan penempatan haram Yahudi sejak bertahun-tahun lalu dan beliau memilih penempatan haram Yahudi tersebut.
Kepemimpinan Palestin, katanya akan melihat kepada sebarang kemungkinan bagi bertindak balas kepada keputusan kerajaan Israel yang menentang pihak berkuasa Palestin.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Liga Arab, Nabil al-Arabi dalam satu kenyataan berkata, liga itu ‘menyokong penuh Pre­siden Palestin, Mahmoud Abbas dalam menghadapi sebarang tekanan yang dikenakan ke atasnya oleh Israel.
Rabu lalu, pemimpin pergerakan Hamas dan PLO mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan perpaduan dalam tempoh lima minggu akan datang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140426/lu_03/Israel-henti-rundingan-dengan-Palestin#ixzz2zwA4iTK1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment