Tuesday 25 March 2014

Pelampau Yahudi toreh tayar kereta


Baitulmaqdis: Puak pelampau Yahudi disyaki bertanggungjawab membocorkan tayar berpuluh-puluh kereta penduduk Palestin di timur bandar raya ini Serangan berlaku di Beit Hanina, kawasan penempatan rakyat Palestin di sektor utara dan timur Baitulmaqdis dengan grafiti bahasa Ibrani pada sebuah bas tertulis ‘Bangsa lain di muka bumi adalah musuh’.

Polis berkata, tayar 34 kenderaan dibocorkan, namun wakil media di tempat kejadian menyatakan jumlahnya 45 buah dan keempat-empat tayar pada setiap kenderaan ditoreh.

Penduduk tempatan memberitahu, kamera pengawasan di kawasan itu menunjukkan sekumpulan lelaki melakukan jenayah itu yang melambangkan jenayah kebencian terhadap penduduk Palestin.

Pada mulanya jenayah ini dilakukan kepada masyarakat Palestin sebagai balas dendam kerana langkah rejim Zionis merobohkan penempatan haram penceroboh Yahudi.

Serangan itu bagaimanapun kini menjadi fenomena berbaur perkauman.

Pada Jun tahun lalu 21 kenderaan musnah dalam serangan serupa di bandar sama.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

No comments:

Post a Comment