Thursday 27 March 2014

Arab tolak negara Yahudi


Kuwait: Pemimpin negara Arab semalam menyokong penuh keengganan Palestin mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi dalam tindakan yang mungkin menggugat usaha damai Amerika Syarikat (AS).

Deklarasi itu diisytiharkan dalam kenyataan hasil perjumpaan dua hari di sini.


“Kami menolak sepenuhnya gesaan untuk mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi,” kata kenyataan itu, semalam.

Palestin mengiktiraf Israel ketika permulaan proses damai pada awal 1990-an, namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkeras mahukan pengiktirafan negara itu sebagai tanah air orang Yahudi.


Ini dilihat menghancurkan sebarang hak pelarian Palestin untuk kembali ke negara asal mereka.


Liga Arab sebelum ini menyatakan pendiriannya menolak tuntutan berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Kaherah, awal bulan ini.

Setiausaha Negara AS John Kerry berdepan pelbagai kesukaran untuk menyambungkan semula rundingan damai selepas 29 April ini - tarikh akhir ditetapkan untuk perbincangan - berikutan pelbagai isu berbangkit.

Presiden Palestin Mahmud Abbas sebelum ini menegaskan pihaknya tidak sekali-kali akan melayani tuntutan Netanyahu.

Pemimpin rejim Zionis itu meletakkan perkara itu sebagai syarat utama bagi proses rundingan kerana mendakwa perkara itu yang paling asas dalam pertelingkahan dengan Palestin.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/27

No comments:

Post a Comment