Monday 17 February 2014

Penduduk Palestin berjaya


RAMALLAH 16 Feb. - Seorang penduduk Palestin berjaya mendapatkan semula 31 lot tanah miliknya, yang dirampas rejim Zionis Israel di Tebing Barat selama beberapa tahun, dalam satu pertikaian membabitkan sistem perundangan rejim itu.
Menurut akhbar Saudi Gazette, Pusat Bantuan Guaman dan Hak Asasi Manusia Baitulmaqdis dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berjaya mengembalikan plot tanah Rateeb Na'san dari penempatan al-Moghayer, di timur laut Ramallah, baru-baru ini.
Pusat itu berkata, Jawatankuasa Rayuan Tentera Israel menerima petisyen membantah tindakan tersebut dan mengarahkan kerajaan Israel memulangkan semula tanah itu kepada tuannya.
Sebelum itu, perintah rampasan tanah itu dikeluarkan pada 2011 atas alasan tanah itu kepunyaan Israel.
Pusat itu kemudian menunjukkan dokumen bertarikh 1967 yang membuktikan Rateeb memiliki kawasan tanah itu yang merupakan sumber rezekinya.
Pusat itu menjelaskan bahawa kerajaan Israel tidak boleh merampas tanah daripada penduduk Palestin dan menyerahkannya kepada penduduk Yahudi.
"Ini merupakan tanah kami, kami tidak boleh dihalau dari sini.
"Kami tidak akan melepaskan kawasan penempatan kami dan kehidupan kami di sini," kata Rateeb, menurut kenyataan itu.
Isu penempatan antara Israel dan Palestin melengahkan rundingan damai antara kedua-dua pihak dan menyebabkan kegagalan usaha damai pada 2010 kerana Israel berdegil untuk meneruskan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.
Kira-kira 800,000 penduduk Yahudi dan 3.5 juta rakyat Palestin mendiami kedua-dua kawasan itu.
Palestin mahukan kawasan itu menjadi sebahagian daripada negaranya, menyebabkan tercetus ketegangan dan keganasan antara kedua-dua pihak.
Selama beberapa tahun, Israel berusaha membangunkan kawasan di Baitulmaqdis bagi mengukuhkan penguasaannya di Ma'aleh Adumim yang merupakan salah satu kawasan penempatan terbesar Palestin yang menempatkan kediaman 30,000 penduduk Palestin. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140217/lu_09/Penduduk-Palestin-berjaya#ixzz2tWTfYr40
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment