Sunday 12 January 2014

Lagi tindakan melampau Israel


Beberapa lelaki dipercayai anggota tentera, memerhatikan kerja-kerja merobohkan kediaman penduduk Palestin menggunakan jentolak di perkampungan Khirbet Ein Karzaliyah, Lembah Jordan, Tebing Barat, kelmarin. - Agensi
TEBING BARAT 10 Jan. - Pasukan tentera Israel dilapor merobohkan sejumlah kediaman di sebuah perkampungan di wilayah Lembah Jordan, di sini semalam.
Dalam satu rakaman video yang disiarkan dalam laman web berita PressTV, tentera Israel memasuki perkampungan Khirbet Ein Karzaliyah dan memusnahkan keseluruhan kawasan termasuk saluran paip dengan menggunakan jentolak.
Tindakan melampau rejim Zionis itu menyebabkan 10 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal, termasuk 15 kanak-kanak.
Selain itu, semua organisasi kemanusiaan dan media yang ingin membuat liputan di kawasan tersebut dilarang masuk oleh tentera Israel.
Seorang aktivis kemanusiaan yang hanya dikenali sebagai Iyad Haddad berkata, semua penduduk di perkampungan tersebut sudah lama ditindas Israel.
"Penduduk kampung itu cuba menghalang kediaman mereka dirobohkan Israel dengan membawa kes tersebut ke mahkamah, namun gagal," katanya.
Dalam pada itu, cadangan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman untuk menyerahkan beberapa bandar dan perkampungan yang didiami oleh penduduk berbangsa Arab Israel kepada Palestin sebagai pertukaran dengan Tebing Barat, mengundang kemarahan kumpulan tersebut.
Hal ini kerana, penduduk Arab yang merupakan golongan minoriti di Israel beranggapan bahawa kehadiran mereka tidak diiktiraf oleh kerajaan dan dilayan sebagai penduduk kelas kedua.
Bagaimanapun, Lieberman memberi jaminan bahawa kebajikan penduduk Arab Israel akan terus dijaga biarpun pertukaran kawasan dilakukan.
Beliau juga menegaskan bahawa tidak akan menyokong usaha Amerika Syarikat (AS) berhubung rundingan damai dengan Palestin jika cadangan pertukaran kawasan itu tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Israel turut mengumumkan rancangan untuk membina lebih 1,800 kediaman baharu di kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140111/lu_03/Lagi-tindakan-melampau-Israel#ixzz2q7zMrnCA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment