Monday, 9 December 2013

Disember 1987 | Intifadhah Pertama

Disember 1987 | Intifadhah Pertama 

*****
Kebangkitan Bermakna Rakyat Palestin

Intifadhah bermaksud kebangkitan. Intifadhah Palestin merujuk kepada kebangkitan semula rakyat Palestin dalam rangka menentang penindasan dan penjajahan rejim Zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara tersebut.

Istilah ini pasti tidak asing bagi rakyat Malaysia dan juga di seluruh dunia yang cakna tentang isu umat Islam antarabangsa terutamanya isu Palestin.

Penindasan dan kekejaman berterusan rejim Zionis sejak tahun 1948 lagi telah menyebabkan kemusnahan yang amat teruk buat rakyat Palestin. Di antara penindasan yang dilakukan rejim Zionis adalah mengenakan polisi zalim terhadap rakyat Palestin, meruntuhkan rumah-rumah mereka, melakukan penangkapan dan pengusiran rakyat Palestin dari tanah mereka sendiri serta tindakan memperluaskan kawasan pemukiman pendatang haram Yahudi. Penindasan dan kekejaman berterusan ini telah menyebabkan rakyat Palestin bangkit menentang.

Selain itu, peningkatan serangan ke atas Masjidil Aqsa oleh ekstremis Zionis dalam proses meyahudikan Baitul Makdis telah mencabul kehormatan dan kesucian kiblat pertama umat Islam ini. Sekatan ekonomi secara terancang juga telah menyebabkan rakyat Palestin tersepit dan dipaksa bergantung kepada sumber kerajaan yang dimiliki oleh Yahudi.

Rentetan daripada penindasan-penindasan tersebut dan juga penindasan-penindasan lain, lahirnya satu ketumbukan rakyat Palestin yang ingin memerdekakan kembali tanah Palestin dari rejim Zionis.

Tanggal 9 Disember 1987 menjadi detik bersejarah buat rakyat Palestin tidak kira sama ada yang tinggal di Palestin mahupun bagi mereka yang terpaksa menjadi pelarian di negara-negara lain. Pencetus bagi gerakan Intifadhah Pertama ini adalah apabila pada 8 Disember 1987, pemandu sebuah trak Yahudi dengan sengaja telah melanggar dua kenderaan(kereta/trak kecil) rakyat Palestin yang telah mengakibatkan kematian 4 rakyat Palestin dan telan menderakan 9 rakan mereka.

Di awal pagi 9 Disember 1987 selepas solat Subuh, Intifadhah bermula. Ribuan rakyat Palestin hadir untuk bangkit mengembalikan hak dan maruah mereka yang telah dirampas oleh pendatang haram Zionis.

Di antara objektif utama Intifadhah Pertama dilancarkan adalah untuk menaikkan semangat dan memperkuat keyakinan umat Islam di Palestin khususnya terhadadap keadilan Allah, membuang rasa putus harapan dalam berhadapan dengan penjajahan Zionis serta menggugahpsikologi tentera-tentera rejim Zionis yang merasakan mereka cukup ampuh melawan rakyat Palestin. Selain itu, memecah benteng sekatan ekonomi Israel terhadap rakyat Palestin, memberi ancaman kepada pendatang Yahudi agar berasa tidak senang untuk berhijrah ke Palestin dan meningkatkan kesedaran umat sejagat tentang isu tanah Palestin ini agar suara mereka didengari dunia menjadi objektif utama Intifadhah dilancarkan.

*****
Batu lawan Kereta Kebal

Kanak-kanak, remaja dan para pemuda Palestin bangkit dengan penuh keberanian. Senjata tunggal yang digunakan rakyat Palestin adalah batu-batu di jalanan dan bersedia untuk menentang tentera Zionis yang lengkap dengan kereta kebal dan peralatan senjata canggih. Intifadhah ini telah menghilangkan rasa takut dan gentar di kalangan rakyat palestin dan telah membawa perubahan baru buat mereka.

Rejim Israel tidak berdiam diri. Mereka telah bingkas bertindak terhadap rakyat Palestin khususnya remaja dengan menangkap mereka atau menembak mereka secara membabi buta. Tindakan balas kejam rejim Israel ini telah menjadi kemenangan besar buat rakyat Palestin apabila tindakan ini disiarkan di dada akhbar dan di kaca televisyen antarabangsa. Kecaman demi kecaman dari masyarakat dunia dilemparkan kepada kerajaan haram Zionis tetapi Zionis hanya memekakkan telinga terhadap kecaman tersebut.

*****
Pendekatan Gila Yitzhak Rabin

Sekutu kuat rejim Israel, Amerika Syarikat turut meminta Israel untuk tidak menembak remaja Palestin yang tidak bersenjata. Namun permintaan tersebut ditolak mentah-mentah.
Menteri Pertahanan Israel pada ketika itu, Yitzhak Rabin telah mengumumkan kaedah terbaru untuk mematikan semangat Intifadhah iaitu dengan mematahkan tulang-tulang para remaja dan pemuda Palestin yang ditangkap.

Rejim Israel tidak berhenti di situ. Mereka terus mengganas dengan merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin, meluaskan kawasan pendatang haram Yahudi dan mempergiat penangkapan dan pemenjaraan rakyat Palestin.

Walaupun seksaan dan penangkapan secara tersusun dilakukan rejim Israel, ianya tidak mematahkan semangat juang rakyat Palestin. Semangat juang rakyat Palestin terus membara untuk menuntut hak dan keadilan manusia. Rakyat Palestin terpaksa membayar dengan harga yang mahal, namun melalui Intifadhah ini, penyakit-penyakit sosial dalam hati rakyat palestin dapat dibersihkan dan satu kelompok baru rakyat Palestin terbentuk.

*****
Kesan Jangka Panjang Intifadhah Pertama

Intifadhah telah membuka tembelang rejim Israel di mata dunia. Dunia telah dipersembahkan dengan kezaliman demi kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Isu Palestin yang pernah sejuk sebelum ini kembali hangat dibincangkan di dalam forum antarabangsa.

Rakyat Palestin mengambil peluang Intifadhah ini untuk menyusun semula ekonomi mereka dalam menghadapi perjuangan panjang selepas ini. Produk Israel yang membanjiri pasaran mereka telah diboikot dan digantikan dengan produk alternatif dari negara lain. Ianya telah membuka peluang-peluang pekerjaan baru kepada rakyat Palestin. Buktinya, peratus tenaga buruh Palestin yang bekerja sebagai buruh harian di Israel berkurang daripada 39% kepada 12%(terpaksa bekerja dengan Israel) selepas Intifadhah Pertama. Lebih memeranjatkan Israel, lebih 4000 pasar raya terpaksa ditutup akibat daripada boikot yang dilancarkan rakyat Palestin.

Buat pertama kalinya rejim Israel berasa tergugat keselamatan mereka dan semakin ramai pendatang haram Yahudi berhijrah semula ke negara asal mereka di Poland, Rusia, Amerika Syarikat dan lain-lain. Berita penghijrahan Yahudi ke negara asal tidak dihebahkan di media massa kerana ianya akan menjatuhkan maruah rejim Israel di mata dunia.

Intifadhah Pertama berterusan sehingga tahun 1993 dan ianya menjadi titik tolak kepada usaha membebaskan bumi Palestin secara lebih agresif walaupun pada dasarnya, mereka hanya mempertahankan hak-hak mereka yang dirampas. Perjanjian demi perjanjian dilakukan dengan Israel, namun, setiap kali perjanjian damai termeterai, setiap kali itulah Israel mencabuli perjanjian tersebut.

Rakyat Palestin yang bergerak di bawah pergerakan HAMAS(Harakat a-Muqawamah al-Islamiyah) terus berusaha mempertahankan tanah air mereka dari terus dijajah. Dunia menyaksikan usaha mereka untuk terus bertahan dengan setiap serangan yang dilakukan rejim Israel.

Ayuh terus menyalurkan sumbangan kepada mereka dalam bentuk bantuan kewangan, sokongan moral dan doa. Setiap sumbangan anda amat berharga dalam usaha pembebasan tanah Palestin.

Admin HR

No comments:

Post a Comment