Parlimen Israel, Knesset, telah meluluskan rang Undang-Undang Bukit Golan (Golan Heights Law) pada hari ini bagi membolehkan undang-undang yang digunapakai di semua wilayah Israel juga digunapakai di wilayah itu. 2/3 daripada wilayah Bukit Golan kini berada di bawah kekuasaan negara haram Israel selepas perang Arab-Israel 1967.
Pihak antarabangsa terutamanya PBB tidak mengiktiraf keputusan ini sehingga ke hari ini kerana resolusi-resolusi PBB sekitar Bukit Golan, terutamanya Resolusi 497, menegaskan bahawa wilayah itu masih merupakan wilayah berdaulat Syria yang kini diduduki oleh Israel. Tindakan Israel itu jelas menunjukkan pengilhakan (aneksasi); proses merampas dan mengisytiharkan hak milik sendiri, Bukit Golan sebagai wilayah Israel. Justeru undang-undang tersebut adalah tidak sah dan terbatal dari pentafsiran undang-undang antarabangsa.
Sungguhpun Syria dan Israel bersetuju untuk mengeluarkan tentera mereka dari zon-zon bebas tentera yang ditetapkan oleh PBB bagi mengelakkan pertempuran berterusan, pihak regim Israel telah bertindak licik dengan menegakkan undang-undang kerajaannya ke atas Bukit Golan bagi meneruskan agenda penguasaannya kepada wilayah-wilayah yang ia rampas melalui jalan ketenteraan.
Keistimewaan Bukit Golan ialah ia memberikan kelebihan dari sudut ketenteraan melalui penguasaan kawasan tinggi. Dari sudut domestik, ekonomi dan politik pula ia memberi kelebihan melalui penguasaan sumber air dari Tasik Hula, Laut Galilee dan Sungai Jordan. Perseteruan antara Syria-Israel pernah mendapat julukan “Perang Untuk Air”.
Bukit Golan kini diduduki oleh lebih 20,000 orang Yahudi di kira-kira 40 penempatan Israel di sana. 10% warga tempatan, Druze, di wilayah itu kini memiliki kewarganegaraan Israel. Ini adalah sebahagian daripada proses normalisasi wilayah Bukit Golan sepertimana yang dilakukan oleh regim Israel di wilayah Tebing Barat dan Baitul Makdis.
Israel, sedikit demi sedikit merampas tanah berdaulat umat Islam. Tatkala Syria bergolak, Israel semakin mengukuhkan kedudukannya di Bukit Golan.
Esok tanah mana pula yang bakal kita hilang?
No comments:
Post a Comment