TEBING BARAT 27 Nov.- Pasukan keselamatan Israel menembak mati tiga pejuang Palestin selepas cuba menahan mereka berhampiran bandar Hebron di Tebing Barat di sini semalam.
Menurut kenyataan agensi keselamatan Israel, Shin Bet, dua daripada anggota pejuang itu, ditembak mati selepas didakwa berbalas tembakan dengan anggota keselamatan Yahudi ketika mahu ditahan.
Seorang lagi mangsa pula terkorban dalam satu insiden berbalas tembakan berasingan, juga dengan pasukan keselamatan Israel.
Menurut laporan AFP pula, tentera Israel mengepung lokasi kejadian dan berbalas tembakan dengan ketiga-tiga pejuang Palestin yang ketika itu berada di dalam sebuah kereta.
Penduduk tempatan menamakan tiga pejuang yang maut itu sebagai Moussa Abdelmajid Fanasheh dari Yatta, Mahmud Khaled Najjar dari bandar Dura dan Mohamed Neirukh dari Hebron yang masing-masing merupakan pelajar berusia lingkungan 20-an.
Dalam pada itu, tentera Israel memberitahu mereka telah menemukan dua pucuk pistol dan beberapa bahan letupan di dalam kereta berkenaan.
Sementara itu, bahagian Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pejabat PBB menyatakan, kematian tiga lagi pejuang itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat dan Gaza pada tahun ini meningkat kepada 24 orang. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131128/lu_06/Tiga-pejuang-Palestin-maut-ditembak-Israel#ixzz2lvFUrdZ9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment