Monday, 29 July 2013

Rundingan damai, satu helah?

Rundingan damai, satu helah?
AMERIKA Syarikat (AS) dan Israel berterusan mengesahkan proses rundingan damai akan berlangsung seperti dirancang pada minggu ini di Washington, di mana delegasi kedua-dua negara dijangka bertemu untuk menjayakan usaha itu.

Pada 19 Julai lalu, Setiausaha Negara AS, John Kerry membuat pengumuman dari Amman, Jordan yang mendakwa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk kembali semula ke meja rundingan.

Walaupun pemimpin AS dan Israel berasa perkara itu telah dimuktamadkan, Palestin tetap menyatakan masih belum ada keputusan dibuat.

Mereka berkeras menafikan tiada perjanjian dicapai dan Palestin hanya akan menghantar wakil ke Washington untuk membincangkan perkara berkaitan bantahan dan prasyarat bagi memulakan rundingan tersebut.

Ketika ini juga, beberapa pihak mempersoalkan sama ada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas patut bersetuju untuk duduk dan berbincang dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang merupakan sekutu kuat AS.

Terdapat kisah lain di sebalik perkembangan baru berhubung rundingan semula ini yang sebenarnya hanya dijadikan alasan oleh AS untuk mengaburi mata masyarakat antarabangsa.

Netanyahu dikatakan berkompromi dengan Palestin hanya selepas AS berjanji memberi komitmen berhubung keperluan pertahanan.

Tanpa mendapat liputan meluas media, Timbalan Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter berkunjung ke Israel untuk bertemu dengan pegawai tentera rejim Zionis tidak lama selepas Kerry membuat pengumuman pada 19 Julai lalu.

Ketika lawatan rasmi pertama itu, Carter mengesahkan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara itu lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Selain itu, Carter juga mengadakan lawatan di pangkalan dan latihan tentera di Tel Aviv untuk memantau keupayaan dan operasi taktikal tentera rejim Zionis.

Ketika lawatan itu, tentera Israel juga sedang mengadakan simulasi senjata kimia dan latihan serangan peluru berpandu konvensional.

Dalam satu kenyataannya yang disiarkan menerusi laman rasmi pertahanan AS, beliau berkata, melindungi AS bermakna melindungi Israel dan kerana itu mereka sentiasa di belakang rejim Zionis.

Ia jelas menunjukkan pendirian AS yang sentiasa menyokong sekutu kuat mereka itu dan usaha untuk menjadi orang tengah bagi menyambung semula rundingan damai Palestin-Israel hanya satu helah.

Kerjasama pertahanan antara AS dan Israel dimeterai secara rahsia kerana masyarakat antarabangsa lebih memberi fokus kepada proses perdamaian yang tertangguh lebih tiga tahun.

Jika Kerry berjaya menyambung semula rundingan itu, ia kononnya dilihat sebagai kejayaan terbesar AS sebagai ‘orang tengah’ dalam proses damai di Timur Tengah.

Pada hakikatnya, ia sebenarnya bertujuan untuk menutup kegagalan dasar luar Presiden AS, Barack Obama.

AS semakin hilang pengaruh sejak revolusi kebangkitan rakyat pada 2011 dan mereka menggunakan peluang ini untuk mengembalikan semula kredibiliti negara Barat itu sebagai ‘orang tengah’ yang akan menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Ini kerana, sekutu kuat Israel tersebut menganggap kerjasama diplomatik antara kedua-dua negara itu sangat penting hingga tentera AS menunjukkan komitmen mereka sejurus selepas pengumuman Kerry.

Israel juga memerlukan sokongan AS untuk menyerang loji kimia dan sistem senjata canggih Syria yang dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara itu.

Satu daripada objektif utama Israel adalah untuk menghentikan bekalan senjata yang dihantar oleh Rusia dan Iran kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Jika Israel dan Palestin kembali ke meja rundingan, rejim Zionis melihat ia kononnya sebagai salah satu cara yang dapat menghalang Iran melancarkan serangan ke atas mereka.

Sehingga kini, Netanyahu masih tidak memberi sebarang tawaran yang dikhuatiri akan menggugat keselamatan dan mencetuskan perang saudara antara penduduk serta pendatang Yahudi.

Jika beliau bersetuju dengan perjanjian sempadan 1967, ia dilihat sebagai punca utama yang akan membunuh kerjaya politiknya.

Satu lagi kelebihan daripada rundingan damai itu adalah untuk melenyapkan aspirasi Eropah selepas Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan garis  panduan baru terhadap dana untuk entiti Israel di Garisan Hijau.

Di bawah garis panduan itu, EU menyatakan bahawa mereka tidak mahu terlibat dengan program Israel terletak di dalam sempadan tersebut dan keputusan terbabit telah mencetuskan kemarahan rejim Zionis yang menganggap negara Eropah cuba untuk melemahkan inisiatif damai Kerry.

Kejayaan rundingan damai itu akan menjadi jaminan untuk mengukuhkan lagi hubungan pertahanan strategik dengan AS.

Bagaimanapun, hanya masa akan menentukan sama ada AS akan mengotakan janji mereka terhadap Israel kerana segalanya bergantung kepada rundingan semula tersebut.

Persoalannya kini, adakah rundingan Palestin-Israel seperti yang diuar-uarkan AS akan berlangsung semula seperti yang telah ditetapkan tanpa sebarang helah dari rejim Zionis?

Sebarang pandangan dan cadangan boleh diemelkan kepada meja.global@sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment