Thursday 9 May 2013

Mufti Besar Baitulmaqdis ditahan



Sheikh Mohammed Hussein
BAITULMAQDIS 8 Mei - Polis Israel menahan Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Mohammed Hussein di rumahnya di sini, hari ini sehari selepas berlaku satu kekacauan antara penduduk Palestin dan Israel di luar Masjid al-Aqsa, semalam.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, Sheikh Mohammed ditahan bagi membantu siasatan tentang kaitannya dengan kejadian itu yang berlaku di pekarangan yang menempatkan Masjid al-Aqsa.
Beliau dibawa daripada rumahnya oleh pasukan penyiasat Israel ke balai polis untuk disoal siasat.
Menurut Rosenfeld, insiden itu bermula selepas polis Israel menahan seorang lelaki Arab yang mahu memasuki kawasan kompleks berkenaan, namun dia enggan menunjukkan kad pengenalannya ketika diminta berbuat demikian.
Beliau mendakwa, berlaku pergelutan selepas itu dengan orang Islam mula membaling kerusi ke arah pengunjung Yahudi di situ.
Sementara itu, Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan mengutuk tindakan Israel yang menahan Sheikh Mohammed.
Abbas pada masa sama menuntut Israel segera membebaskan Mufti Besar Baitulmaqdis itu dan menyifatkan penangkapan Sheikh Mohammed merupakan satu cabaran terhadap kebebasan beragama.
Penahanan Sheikh Mohammed dilakukan ketika penduduk Israel sedang merayakan Hari Baitulmaqdis yang menandakan ‘penyatuan semula’ bandar itu selepas Israel menawan bahagian timur Arab tersebut dari Jordan semasa Perang Enam Hari pada 1967. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130509/lu_03/Mufti-Besar-Baitulmaqdis-ditahan#ixzz2SlQ2IG2f
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment