Kanak-kanak Palestin diseksa Zionis
Tindakan mogok lapar berlaku disebabkan tahanan menuntut hak tawanan perang, hak untuk dilawati oleh keluarga dan hak mendapatkan pendidikan. Sebelum mereka melakukan mogok tersebut, tahanan tidak kira lelaki, wanita tau kanak-kanak biasanya didera, diseksa, dipukul atau dirogol.
Proses Penangkapan
Penangkapan biasanya dilakukan di pusat pemeriksaan atau di rumah pada awal pagi. Bagi kes tangkap dari rumah, tentera Zionis akan mengepung rumah mangsa antara tengah malam dan 4 pagi lalu memaksa ahli keluarga keluar dari rumah tanpa menghiraukan pakaian ataupun cuaca ketika itu.
Selepas penangkapan, tahanan digari dengan matanya ditutup. Mereka tidak dimaklumkan sebab penangkapan dan lokasi yang bakal dibawa tetapi biasanya ia mengambi tempoh 20 minit sehingga berjam-jam.
Semasa penangkapan, tahanan dipaksa berbogel di khalayak ramai sebelum ditahan. Manakala, ahli keluarga yang lain turut dipaksa berbogel sekiranya tangkapan dilakukan dari dalam rumah.
Ketika disoal siasat, penderaan fizikal dan penghinaan adalah perkara biasa. Berdasarkan banyak afidavit, tahanan melaporkan mereka tertakluk kepada tuduhan membunuh dan rogol sebelum disepak terajang.
Pengagihan Banduan
Penjara Israel terletak dalam 1,948 kilometer dari sempadan Israel. Terdapat empat pusat soal siasat dan 21 penjara khusus buat penduduk Palestin. Lokasi penjara atau pemindahan tahanan ke lokasi di dalam wilayah Israel adalah menyalahi undang-undang antarabangsa, pelaku boleh dituduh melakukan jenayah perang.
Konvensyen Geneva Ke-4 menyatakan “orang terlindung yang dituduh melakukan kesalahan hendaklah ditahan di negara yang diduduki, dan jika sabit kesalahan, mereka hendaklah dihukum di dalamnya negaranya.” (Perkara 76).
Lawatan keluarga
Keluarga tahanan yang ingin melawat tahanan di Israel mesti mempunyai permit masuk ke Israel (kecuali bagi penduduk Baitulmuqaddis). Permit mengambil tempoh antara satu dan tiga bulan untuk mendapatkannya tetapi hanya sah untuk tiga bulan.
Permohonan permit dikemukakan melalui ICRC dan dipindahkan kepada pihak Israel. Lelaki berusia 16 hingga 45 tahun dilarang mendapatkan permit termasuk beratus keluarga atas faktor keselamatan.
Bagi yang dibenarkan melakukan lawatan, tempoh dibenarkan adalah sekali setiap dua minggu iaitu selama 45 minit. Mereka dipisahkan dengan tingkap kaca dan berbual hanya melalui telefon. Hanya tiga orang ahli keluarga dibenarkan untuk melawat tahanan pada satu-satu masa.
Sejak Jun 2007, pihak berkuasa Israel meletakkan larangan jumlah lawatan oleh ahli keluarga dari Gaza. Pengharaman ini memberi kesan kepada kira-kira 1,000 banduan dan keluarga mereka.
Keadaan penjara
Tahanan ditempatkan di penjara penuh sesak dengan keperluan terhad dan kotor. Pihak Berkuasa Penjara Israel (IPS) hanya menyediakan produk kebersihan dengan jumlah terhad. Tahanan melaporkan, IPS hanya menyediakan setengah liter cecair pembersihan lantai.
Mereka juga melaporkan makanan disediakan tidak mencukupi dari segi kualiti dan kuantiti. Kebanyakan banduan terpaksa membeli makanan sendiri dari kantin. Ada juga yang terpaksa berlapar kerana tidak dapat makanan dan tidak mampu membeli makanan.
Penjagaan kesihatan
Terdapat klinik dengan seorang jururawat di semua penjara Israel. Doktor datang ke klinik sekali atau dua kali seminggu tidak lebih daripada empat jam. Selepas itu mereka meninggalkan penjara dan banduan yang sakit tidak dirawat sehingga minggu berikutnya.
Jika tahanan memerlukan rawatan lanjut, doktor penjara akan merujuk pesakit ke hospital Penjara Ar-Ramleh. Jika pesakit perlu menjalani pembedahan mereka terpaksa menunggu giliran yang mengambil masa hingga beberapa bulan sekali gus menyebabkan komplikasi teruk lalu meninggal dunia.
Ubat tahan sakit diberikan kepada semua jenis penyakit. Pentadbiran penjara melarang akses ubat dari luar penjara, sama ada dari keluarga atau organisasi Palestin. Kebanyakan tahanan menghidapi penyakit kulit, keletihan, masalah buah pinggang dan ulser.
Pendidikan
Tahanan boleh menerima buku melalui ICRC dan keluarga ketika lawatan, tetapi jenis dan bilangan buku adalah terhad. Mereka hanya menerima akhbar dalam bahasa Arab, Ibrani atau Inggeris yang telah luput tarikh.
Tahanan Palestin dibenarkan melanjutkan pelajaran di Open University Israel. Tahanan dihalang menyertai program pengajian universiti Arab atas sebab-sebab keselamatan. Ramai tahanan gagal mendaftar di universiti-universiti Israel kerana sekatan kewangan dan bahasa.