25 Januari 2017 12:24 AM
TEL AVIV 24 Jan. – Kemunculan ikan jerung di pantai berhampiran sebuah loji tenaga elektrik di utara Israel memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi perairan berkenaan.
Berpuluh-puluh ekor ikan jerung yang di antaranya berukuran tiga meter panjang ‘berkumpul’ di loji janakuasa Hadera yang menggunakan air laut untuk menyejukkan turbin pusat itu sebelum air panas berkenaan dilepaskan semula ke laut.
Kehadiran haiwan pemangsa ke perairan yang hangat itu sebaliknya mendorong penyelam berenang dan mengambil gambar bersama ikan tersebut.
Pihak Berkuasa Taman dan Alam Semula jadi Israel serta Pihak Berkuasa Menyelam Israel kemudiannya mengeluarkan amaran bagi melindungi ikan dan orang ramai supaya tidak berada terlalu dekat dengan haiwan tersebut yang merupakan spesies dilindungi.
Walaupun jumlah ikan jerung semakin meningkat, namun pakar masih belum mengetahui punca sebenar yang menarik kehadiran haiwan pemangsa berkenaan ke perairan tersebut.
“Kami tahu haiwan ini menggemari perairan yang hangat namun tidak pasti mengapa ikan jerung berkenaan berbuat demikian,” kata ahli ekologi marin, Ruth Yahel.
Yahel berkata, selain faktor perairan, kewujudan makanan, perlindungan daripada parasit atau faktor mengawan berkemungkinan menarik ikan jerung ke kawasan tersebut.
“Bagaimanapun ini hanya teori dan kita tidak tahu sebab ikan-ikan tersebut berkumpul di perairan itu,” katanya. – AFP