Monday, 12 October 2015

Pemuda Palestin lancar hashtag intifada


ANGGOTA tentera melepaskan gas pemedih mata ke arah sekumpulan remaja yang membaling batu di sebuah penempatan di Bet El, utara Ramallah pada Isnin lalu. - AFP


RAMALLAH – Golongan muda Palestin kini melancarkan hashtag intifada me­lalui laman-laman sosial sebagai salah satu kebangkitan menentang kezaliman rejim Zionis di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.
Sebuah video tersebar secara meluas dalam media sosial yang menunjukkan beberapa pemuda Palestin menikam penduduk Israel serta membaling batu ke arah anggota tentera selepas beberapa hari berlakunya pertempuran.
Satu halaman Facebook yang dibuka me­nunjukkan satu logo dan seorang pemuda melindungi sebahagian wajahnya dengan melilit sehelai kain sambil membaling batu dan tertera tulisan Intifada yang berwarna merah dan hitam serta bendera Palestin.
Malah, hashtag #Jerusalem intifada turut dikongsi secara meluas dalam media sosial.
Pertempuran dengan tentera Israel sema­kin merebak di beberapa kawasan walaupun pemimpin Palestin dan Israel menggesa supaya semua pihak bertenang.
Ketegangan dan kebangkitan penentangan terhadap Israel akhir-akhir ini semakin me­ningkat selepas intifada kedua yang dilancarkan pada September tahun 2000.
Rakyat Palestin kini memiliki pelbagai alat media sosial untuk menyebarkan gambar mengenai penunjuk perasaan dan pertempuran.
Malah, gambar dan klik video beberapa remaja Palestin termasuk Dia al-Talahmeh, Mohannad Halabi dan Samir Alloun yang ditembak mati oleh tentera Palestin turut dimuat naik di Facebook.
Video berkenaan kini mencatatkan lebih 100,000 kali tontonan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1010&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oIpxknHv 
Hakcipta terpelihara 

Kekejaman Israel ke atas Palestin semakin berleluasa



RAKAMAN video menunjukkan tentera Israel mengacukan senjata api mereka ke arah Isra yang cuba bersenjatakan pisau. - AGENSI


BAITULMUQADDIS – Sebuah klip video kekejaman Israel tersebar luas di dalam internet yang menunjukkan beberapa anggota polis Israel menembak seorang wanita Palestin di sebuah terminal bas di Afula kelmarin.
Mangsa berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Isra Abed itu dikatakan ditembak kerana dia cuba menikam seorang pengawal keselamatan Israel dengan sebilah pisau.
Rakaman video menunjukkan dia ditembak beberapa kali oleh beberapa tentera Israel yang mengepungnya meskipun Isra jelas tidak mampu memberi ancaman besar.
“Dia tidak pun memberi sebarang ancaman kepada sesiapa,” kata seorang doktor, Belal Dabour yang dikatakan memuat naik video itu menerusi laman sosial, Twitter.
Ada laporan menyebut wanita itu terbunuh, manakala ada sumber menyatakan Isra kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di sebuah hospital.
Sementara itu, ketegangan semakin merebak di Gaza, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat semalam apabila sebanyak 17 penduduk Palestin terbunuh dalam tempoh 11 hari keganasan berlaku.
Kebanyakan mereka terbunuh selepas ditembak oleh tentera Israel dalam gerakan baharu menikam pendatang haram Yahudi dan tentera Zionis.
“Lebih 80 penduduk Palestin cedera, 10 daripada mereka parah,” kata anggota perubatan itu.
Golongan muda Palestin kini me­lancarkan intifada ketiga selepas kebangkitan intifada pe­rtama pada 1987 dan tahun 2000. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3oIpJ1M4u 
Hakcipta terpelihara 

Israel bom wanita hamil, anak kecil


SEORANG bapa, Yehya Hasan menangisi pemergian anak perempuannya, Rahaf yang maut dalam serangan udara rejim Zionis semalam. - AFP


BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Satu serangan udara Israel membunuh seorang wanita mengandung dan anak kecilnya di Gaza, manakala seorang wanita Palestin meletupkan sebuah bom kereta di Tebing Barat semalam.
Keganasan yang meningkat sejak beberapa hari lalu menimbulkan kebimbangan gelombang kebangkitan atau intifada ketiga akan meletus di Palestin.
Gaza dilanda keganasan sejak Jumaat lalu dengan pertempuran di sempadan menyebabkan sembilan warga Palestin maut terkena bedilan rejim Zionis termasuk beberapa remaja. Tentera Israel kelmarin mengebom dua fasiliti pembuatan senjata Hamas selepas pejuang-pejuang di Gaza melepaskan dua bedilan roket disusuli percubaan untuk menyeberangi sempadan oleh pejuang Hamas.
Sebuah roket itu mengenai kawasan padang di selatan Israel sementara roket kedua berjaya dipintas.
Serangan balas Israel pula memusnahkan sebuah rumah di Zeitun, utara Gaza dan membunuh Nur Hassan, 30 serta anak perempuannya yang berumur dua tahun, Rahaf, kata pasukan perubatan Gaza.
Pertempuran di sempadan yang bermula Jumaat lepas berlaku selepas ketua Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh menggesa penduduk Palestin melancarkan gelombang intifada ketiga.
Sementara itu, satu letupan bom dekat Baitulmuqaddis berlaku selepas seorang anggota polis melihat sebuah kenderaan mencurigakan dekat kawasan penempatan haram Yahudi di Maale Adumin dan mengarahkan wanita berusia 31 tahun itu supaya berhenti.
“Dia keluar dari kereta dan meletupkan bahan letupan di dalam kenderaan itu.
“Penyerang parah sementara anggota polis itu cedera ringan dalam serangan tersebut,” kat jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1012&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oIoJ8dTz 
Hakcipta terpelihara 

2 warga Palestin terbunuh serangan udara Israel di Gaza

 2 warga Palestin terbunuh serangan udara Israel di Gaza ANTARA mangsa yang terkorban dikenal pasti Rahaf Hassan, 2. - Foto AFP
AHAD, 11 OKTOBER 2015 @ 10:46 AM



 GAZA, Palestin: Seorang ibu mengandung dan anaknya terbunuh dalam serangan udara Israel yang memusnahkan rumah mereka di Semenanjung Gaza, kata sumber perubatan hari ini. Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Nur Hassan, 30, dan anak perempuannya, Rahaf Hassan, 2. Pasukan perubatan berkata, tiga lagi masih terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka di kawasan Zeitun, selatan Gaza. Dalam pada itu, Israel berkata, ia menyasarkan 'dua kemudahan pengeluaran senjata Hamas' sebagai tindak balas kepada dua serangan roket Hamas semalam serta pelbagai cubaan warga Palestin untuk masuk ke Israel dari Gaza. Satu daripada roket berkenaan jatuh ke kawasan lapang di selatan Israel dan satu lagi dipintas, manakala sembilan rakyat Palestin terbunuh ketika pertempuran di sempadan dengan tentera Israel. Kematian terbaru itu dilihat menyemarakkan lagi keganasan antara Israel dan Palestin, yang bermula di timur Jerusalem di Tebing Barat beberapa hari lalu, akan merebak menjadi tidak terkawal. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/88117

Sunday, 11 October 2015

Serangan udara Israel korbankan 2 warga Palestin


GAZA 11 Okt. - Seorang wanita mengandung serta anaknya terbunuh dalam insiden serangan udara Israel yang memusnahkan rumah mereka di Semenanjung Gaza selepas konflik antara Palestin dan Israel semakin meruncing.
Menurut sumber perubatan, mangsa yang dikenali sebagai Nur Hassan,30, serta anak perempuannya, Rahaf Hassan, 2, manakala tiga lagi masih lagi dipercayai masih lagi terperangkap selepas rumah mereka dibedil semalam di Zeitun, selatan Gaza.
Dalam pada itu, Israel berkata, mereka telah menyasarkan dua kemudahan pengeluaran senjata Hamas sebagai tindak balas kepada dua serangan roket Hamas selain daripada pelbagai cubaan warga Palestin untuk masuk ke Israel dari Gaza.
Salah satu daripada roket itu didakwa jatuh ke kawasan lapang di selatan Israel dan satu lagi dipintas, manakala sembilan rakyat Palestin terbunuh ketika pertempuran di sempadan dengan tentera Israel semalam.
Angka korban keganasan yang tercetus sejak 11 hari lalu terus meningkat manakala lebih 1500 orang disahkan cedera setakat ini. - REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serangan-udara-israel-korbankan-2-warga-palestin-1.145144#sthash.4fTq3RHy.dpuf

Keganasan merebak di Gaza


Keganasan merebak di Gaza

11 OKTOBER 2015
Keganasan merebak di Gaza Tentera rejim Zionis bertempur dengan penduduk Palestin di Beit El berhampiran Ramallah, kelmarin. - Foto AFP

GENTING GAZA - PALESTIN.Keganasan didakwa merebak ke wilayah Gaza selepas tentera Israel menembak mati enam penduduk Palestin yang menyertai protes sebagai membantah tindakan pelampau Yahudi menikam empat lelaki Arab hingga mati di bandar Dimona.

Saksi memberitahu rejim Zionis bertindak melepaskan tembakan rambang sejurus kumpulan penunjuk perasaan tersebut menghampiri sempadan Israel dan turut mencederakan 50 mangsa.

Susulan daripada itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh memberi amaran keganasan di utara dijangka mencetuskan gelombang Intifada baharu di Palestin.

Dalam kejadian berasingan di Ramallah, seorang pembaling batu cedera selepas dirempuh jip tentera Israel.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan kira-kira 14 penduduk Palestin terbunuh manakala 1,000 lagi cedera dalam beberapa siri pertempuran di Genting Gaza dan Tebing Barat sejak awal bulan lalu. - Press TV

Wanita Hamil Dan Anaknya Terbunuh Selepas Rumah Diserang Rejim Yahudi


Diterbitkan: Ahad, 11 Oktober 2015 10:33 AM

GAZA: Seorang wanita hamil dan anak perempuanya terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan Israel bagi merampas penempatan Islam di semenanjung Gaza pada Ahad.
Mangsa kekejaman rejim Yahudi itu ialah Nur Hassan, 30, dan anaknya, Rahaf hassan, 2.
Pihak perubatan melaporkan, mayat kedua-dua beranak itu terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka yang dibedil bom.
Israel memberi alasan, serangan itu dilakukan bagi mensasarkan pejuang Hamas yang menyimpan senjata dan melancarkan dua roket ke arah penempatan Yahudi.
Roket tersebut dilancarkan selepas tentera Israel membunuh sembilan rakyat Palestin dalam pertempuran di sempadan.

Saturday, 10 October 2015

Kembali tegang


Baitulmaqdis: Keganasan terbaru kembali menggegarkan bandar ini semalam selepas dua kejadian serangan menyebabkan seorang lelaki Palestin maut ditembak polis Israel dan seorang wanita cedera.

Kejadian berlaku ketika pemimpin Palestin dan Israel cuba meredakan ketegangan di bandar itu yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita berusia 18 tahun cedera parah akibat ditembak selepas dia menikam seorang lelaki Yahudi berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Lelaki Yahudi berkenaan bersenjata api menembak wanita itu yang menikam belakangnya dengan pisau.

Lelaki berusia 35 tahun itu dilaporkan cedera ringan manakala wanita terbabit parah.

Dalam satu kejadian berasingan di Kiryat Gat, tengah Israel, polis menembak mati lelaki Arab yang menikam seorang askar dan merampas senjatanya.

Satu lagi insiden berhampiran Baitullaham di Tebing Barat, pendatang haram Yahudi menembak dan mencederakan seorang pemuda Palestin berusia 18 tahun.

Kejadian berlaku apabila sekumpulan pemuda Palestin melontar batu ke arah pendatang haram Yahudi.

Di kawasan yang sama, sekumpulan pemuda Palestin didakwa cuba memaksa seorang wanita Yahudi keluar dari keretanya.

Wanita itu terselamat selepas beberapa pendatang haram Yahudi melepaskan tembakan amaran di udara.

Keganasan terbaru itu menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menangguhkan lawatannya ke Jerman bagi meredakan ketegangan yang masuk minggu ketiga.

Pegawai keselamatan Israel dan Palestin bertemu kelmarin selepas Presiden Palestin, Mahmud Abbas mahu keganasan itu dihentikan.

Pihak berkuasa Israel semalam juga menarik balik had umur terhadap penduduk Palestin yang mahu bersolat di Masjid Al-Aqsa bagi meredakan ketegangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 9:03 AM

TENTERA Israel menahan penunjuk perasaan Palestin yang cedera dalam pertempuran berhampiran penempatan Yahudi Bet El di Ramallah, Tebing Barat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83440#sthash.yfMJjzZh.dpuf

Lima terbunuh di Gaza


Gaza: Tentera Israel semalam melepaskan tembakan di sempadan Gaza menyebabkan lima penduduk Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera ketika mereka menunjuk perasaan menyokong bantahan diadakan di Baitulmaqdis, kata pihak berkuasa hospital di Gaza.

Demonstrasi itu diadakan sebagai menyokong penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, susulan beberapa serangan dilancarkan terhadap penduduk Israel yang turut dibalas orang Yahudi terhadap penduduk Arab.

Tentera Israel berkata, kira-kira 200 penduduk Palestin tiba di kawasan kurang 100 meter dari pagar sempadan di timur laut Gaza dan melontar batu serta menggolekkan tayar terbakar ke arah tentera Israel di seberang pagar sempadan itu.

Jurucakap tentera berkata: “Askar kami melepaskan tembakan terhadap mereka untuk menghalang kemaraan dan menyuraikan kumpulan Palestin itu. Lima penduduk Palestin ditembak.”

Pihak berkuasa hospital berkata, empat orang terbunuh dan 13 cedera. Saksi mendakwa ditembak penembak curi di pos kawalan sepanjang pagar sempadan, kira-kira 400 meter dari lokasi protes diadakan.

Israel mewujudkan zon keselamatan sepanjang 300 meter dari sempadan memasuki Gaza. Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain pula mempunyai menara tinjau serta pos kawalan tidak jauh dari zon penampan itu.

Pemimpin Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, menggesa penduduk Palestin meningkatkan tentangan terhadap Israel dengan menganggap peningkatan pertempuran di Baitulmaqdis dan Tebing Barat sebagai permulaan intifada baru.

“Ini hari Jumaat, hari kemarahan. Hari ini mewakili permulaan intifada baru di seluruh Palestin.

“Kita menyerahkan jiwa dan raga demi Baitulmaqdis. Baitulmaqdis dan Aqsa sebahagian daripada agama kita dan mereka yang menyerang orang Yahudi adalah wira.

“Gaza menyokong penuh perjuangan di Baitulmaqdis. Gaza sangat bersedia. Penduduk Palestin mesti bersatu mempertahankan pekarangan Masjid Al-Aqsa,” katanya selepas solat Jumaat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:06 AM

SEORANG penunjuk perasaan Palestin dibantu rakannya selepas cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di pagar sempadan di Semenanjung Gaza, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83932#sthash.a6UFKv6h.dpuf

Aktivis Palestin isytihar intifada 3

sebahagian penuntut universiti mengibarkan bendera sambil melaungkan

Sebahagian penuntut universiti mengibarkan bendera sambil melaungkan bantahan terhadap Israel di hadapan sebuah mural memaparkan wajah bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat dan pemimpin Jihad Islam, Fathi Shaqaqi semasa satu protes di Gaza City, kelmarin. AFP
BAITULMAQDIS 9 Okt. - Sebuah laman sosial Facebook yang didakwa milik aktivis Palestin, mengisytiharkan intifada atau kebangkitan ketiga telah bermula bagi menentang penindasan dan kekejaman Israel di Tebing Barat.
Laman tersebut yang turut mempunyai logo sendiri yang menunjukkan seorang belia bertopeng melontar batu dan dibayangi warna hitam, merah dan hijau yang merujuk kepada bendera Palestin.
Selain itu, video yang menunjukkan aktivis belia Palestin bertempur dengan askar Israel, mula tersebar dalam laman sosial bagi membangkitkan semangat intifada dan perkongsian slogan #intifada Baitulmaqdis.
Perkembangan terbaharu juga menunjukkan pertempuran antara penduduk Palestin dan pihak keselamatan Israel merebak di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat, sekali gus menunjukkan intifada ketiga semakin hampir menjadi kenyataan.
Keganasan yang semakin meningkat mencetuskan kebimbangan kepada pucuk pimpinan Palestin yang tidak mahu intifada tercetus semula seperti yang berlaku pada 1987 dan 2000.
Berbanding kedua-dua intifada sebelum ini, penduduk Palestin mempunyai kelebihan rangkaian media sosial untuk menyebarkan keganasan yang dilakukan Israel dengan pantas.
Sebuah kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam turut memuat naik sebuah video yang menggalakkan serangan berani mati pada intifada kedua bagi mengekang keganasan Israel.
Video yang telah ditonton lebih 40,000 kali itu merakamkan seorang belia sedang membetulkan tali pinggang yang dipasang bom sebagai persediaan melancarkan serangan berani mati. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aktivis-palestin-isytihar-intifada-3-1.144757#sthash.TYVD4fYk.dpuf

Friday, 9 October 2015

Israel guna taktik baharu


Israel guna taktik baharu

9 OKTOBER 2015
Israel guna taktik baharu Ejen provokasi Israel menahan seorang pemuda Palestin yang membaling batu semasa pertempuran di Beit El, kelmarin.

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Tentera Israel dikatakan sengaja melancarkan provokasi berterusan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

Menurut laporan Press TV, tindakan provokasi itu dilihat taktik Israel bagi menghidupkan peluang mereka melakukan penindasan lebih teruk terhadap penduduk Palestin.

Perkara itu didedahkan menerusi satu rakaman video yang jelas menunjukkan beberapa askar yang menyamar sebagai penduduk Palestin menghasut penunjuk perasaan membaling batu ke arah pasukan keselamatan Israel.

Kejadian itu berlaku semasa tunjuk perasaan di sekitar penempatan haram yang dibina Israel di Beil El dekat Ramallah, Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, seorang pemuda Palestin cedera di kaki akibat luka tembakan yang dilepaskan ejen provokasi Israel.

Sementara itu, agensi berita Ma'an melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin cedera terkena peluru getah yang dilepaskan tentera Israel semasa pertempuran di sekitar Ramallah.

Ketegangan di rantau ini meningkat sejak beberapa hari lalu selepas Israel bertindak menyekat kemasukan rakyat Palestin ke Kota Lama dan melarang mereka menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa.

Kekejaman Israel


1,289 penduduk Palestin cedera sejak pertempuran tercetus
09 Oktober 2015 12:51 AM

Seorang lelaki Palestin yang cedera akibat ditembak tentera Israel, terpaksa diberikan rawatan selepas insiden tersebut berlaku di pusat pemeriksaan Zaim berhampiran kawasan penempatan Maale Adumim, di Baitulmaqdis, kelmarin. REUTERS

BAITULMAQDIS 8 Okt. - Sekurang-kurangnya 1,289 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis susulan keganasan terbaharu sejak lima hari lalu.
Menurut data rasmi yang dikeluarkan Palang Merah Palestin, sebanyak 76 orang daripada jumlah tersebut cedera ditembak dengan peluru, manakala 344 orang lagi akibat ditembak peluru getah.
Selain itu, sebanyak 84 orang daripada mereka mengalami masalah pernafasan akibat gas pemedih mata, dan 20 orang lagi dipukul dengan teruk.
Sementara itu, keganasan terbaharu menggegarkan Israel dan Tebing Barat hari ini melibatkan tiga kejadian tikam dan seorang penduduk Palestin ditembak mati polis ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggesa penduduk Israel lebih berhati-hati terhadap keganasan.
Di Tebing Barat, lelaki-lelaki dipercayai polis perisik Israel melepaskan tembakan terhadap sekumpulan penduduk Palestin didakwa melontar batu, yang menyaksikan tiga orang cedera.
Kejadian itu turut disaksikan oleh wartawan AFP yang melihat seorang mangsa cedera parah di belakang kepalanya.
Pegawai Israel dan Palestin dilaporkan bertemu bagi mengadakan rundingan keselamatan di Tebing Barat malam tadi dan Kesatuan Eropah (EU) hari ini menggesa keamanan dikembalikan dan dialog politik diadakan.
Seorang gadis Palestin berumur 18 tahun mati ditembak selepas menikam seorang lelaki Israel berumur 35 tahun di Old City.
Di bandar Kiryat Gat, Israel, polis menembak mati seorang lelaki Palestin selepas dia didakwa mencederakan seorang askar dengan pisau.
Rusuhan di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat sejak beberapa hari lalu menyaksikan belia melemparkan batu dan bom petrol terhadap pasukan keselamatan Israel.
Dalam pada itu, Netanyahu turut mengharamkan ahli-ahli Parlimen daripada memasuki kawasan Masjid al-Aqsa dalam usaha mengurangkan ketegangan.
“Penduduk Israel kini di barisan hadapan perang terhadap keganasan dan perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga,’’ katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kekejaman-israel-1.144441#sthash.CF3fjnU2.dpuf

Thursday, 8 October 2015

Israel terus mengganas


Remaja Palestin membaling batu ke arah anggota keselamatan Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan Israel menceroboh Masjid al-Aqsa di pusat pemeriksaan Hezma di Tebing Barat pada 30 September lalu. - AFP
BAITULMAQDIS 5 Okt. - Seorang remaja Palestin ditembak mati, manakala beratus-ratus lagi penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel dan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat, semalam.
Keganasan terbaharu itu tercetus selepas rejim Zionis menguatkuasakan larangan terhadap penduduk Palestin daripada memasuki kota lama Baitulmaqdis, tindakan yang disifatkan oleh pergerakan Hamas sebagai perkauman dan penindasan.
Menurut portal Al-Jazeera yang memetik kenyataan Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS), tentera Israel menggunakan peluru hidup dan peluru getah yang bersalut besi untuk menyuraikan penunjuk perasaan Palestin yang berang terhadap larangan itu.
PRCS berkata, remaja Palestin berusia 18 tahun, Huthaifa Suleiman ditembak mati oleh tentera rejim Zionis di pusat pemeriksaan dekat Tulkarm.
Jelas persatuan itu, hampir 400 penduduk Palestin lagi mengalami kecederaan teruk termasuk 150 orang yang cedera akibat terkena tembakan.
“Seramai 200 orang dirawat akibat menerima kesan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota keselamatan Israel.
“Perintah darurat diisytiharkan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur susulan serangan ganas tentera penjajah (rejim Zionis) dan pendatang haram Yahudi,” tambah kenyataan itu.
Selain itu, PRCS melaporkan, tentera Israel turut menyerang ambulans yang digunakan untuk membawa penduduk Palestin yang cedera dan lima anggota perubatan turut diserang ketika mereka menjalankan tugas.
“Tindakan kejam rejim Zionis itu secara jelas melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) terutamanya melibatkan Perkara Keempat Konvensyen Geneva 1949 yang menyebut tentang perlindungan terhadap orang awam semasa perang,” jelas PRCS.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-terus-mengganas-1.143373#sthash.OrnTRNvk.dpuf

Israel rancang intifada

Sengaja cetus provokasi terhadap penduduk Palestin

Seorang penduduk Palestin ditahan tentera Israel semasa satu pertempuran

Seorang penduduk Palestin ditahan tentera Israel semasa satu pertempuran tercetus di Shuafat, pinggir Baitulmaqdis, kelmarin. REUTERS
CALIFORNIA 6 Okt. - Israel sengaja melancarkan provokasi secara berterusan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dengan harapan dapat mencetuskan intifada atau kebangkitan ketiga, bagi memperluaskan kawasan jajahan rejim Zionis itu.
Berdasarkan satu wawancara antara portal Press TV dan pengasas bersama Pergerakan Kebebasan Palestin, Paul Larudee, beliau mengulas lanjut tentang isu penahanan beramai-ramai penduduk Palestin oleh rejim Israel di Tebing Barat sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Larudee, tindakan penahanan secara besar-besaran itu merupakan satu provokasi bagi menghidupkan peluang Israel melakukan penindasan yang lebih teruk terhadap penduduk Palestin.
Secara jelas katanya, rejim Zionis mahu menghapuskan rakyat Palestin melalui tindakan memusnahkan rumah, memenjarakan lebih ramai penduduk, dan memisahkan ahli keluarga selain mencetuskan keganasan yang lebih besar seperti intifada.
“Malah Israel tidak mempedulikan pihak antarabangsa yang mengutuk tindakan mereka termasuk resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu rejim itu menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya.
Ketegangan di Tebing Barat semakin memuncak ekoran pertempuran antara penduduk dan pihak keselamatan rejim Zionis susulan pembunuhan dua remaja Palestin dalam tempoh 24 jam dan tindakan kontroversi Israel melarang penduduk Palestin memasuki Kota Lama Baitulmaqdis.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengarahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk mengekang sebarang kejadian yang lebih buruk di Tebing Barat, sekali gus mengelakkan berlakunya intifada ketiga.
Seorang penasihat kanan Abbas, Nimer Hammad berkata, pucuk kepimpinan PA tidak mahu kebangkitan tersebut tercetus dan tindakan Israel hanya menunjukkan kerajaan Palestin yang mencetuskan keganasan.
Beliau turut menyalahkan Hamas berhubung ketegangan di Tebing Barat walaupun pergerakan Islam itu menguasai wilayah Palestin di Semenanjung Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, Israel memusnahkan dua buah rumah penduduk Palestin dan menyita sebuah lagi rumah kerana mendakwa penghuninya terlibat dalam serangan terhadap penda­tang haram Yahudi pada tahun lalu.
Intifada Pertama
• Tercetus pada Disember 1987 sehingga 1993 bagi menentang penjajahan Israel

Intifada Kedua
• Berlaku pada hujung September 2005 dan berakhir lima tahun kemudian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-rancang-intifada-1.143735#sthash.il67sJoi.dpuf

Al-Aqsa berjaga-jaga


Israel, Palestin elak peningkatan keganasan di kawasan suci

SEORANG pemuda Palestin membaling batu ke arah pasukan keselamatan Israel dalam pertempuran di pintu masuk di Tebing Barat Baitulaham, kelmarin, selepas acara pengebumian seorang remaja yang ditembak mati polis Zionis. AFP
BAITULMAQDIS 7 Okt. - Israel membatalkan peraturan yang mengehadkan kemasukan penduduk Palestin ke kawasan Masjid al-Aqsa ketika Presiden Pa­lestin, Mahmoud Abbas mengambil tindakan untuk menghalang peningkatan keganasan di kawasan tersebut yang bermula sejak tiga minggu lalu.
Tindakan Israel diambil selepas Mahmoud mengarahkan pasukan keselamatan dan sayap-sayap Palestin untuk menghalang sebarang peningkatan keganasan yang menimbulkan kebimbangan akan mencetuskan intifada atau kebangkitan ketiga.
Jurucakap polis Israel, Luba Samri berkata, penduduk Palestin dibenarkan semula untuk mengerjakan solat di Masjid al-Aqsa bermula hari ini.
Pegawai keselamatan Palestin dan Israel juga bertemu di sebuah lokasi yang tidak didedahkan di Tebing Barat malam tadi bagi mengadakan perbincangan, lapor media Israel.
Rentetan daripada pertemuan tersebut, Mahmoud mengumumkan usaha untuk mengekang peningkatan keganasan di sana.
“Kami tidak mahu sebarang peningkatan keganasan, tetapi kami perlu melindungi diri kami,’’ kata beliau yang dipetik sebagai berkata oleh agensi berita rasmi, Wafa.
Kawasan Masjid al-Aqsa menjadi pusat demonstrasi dan merebak sehingga ke kawasan jajahan rejim Zionis yang menyaksikan penduduk Israel berketurunan Arab memba­ling batu ke arah polis di daerah Jaffa, Tel Aviv.
Palestin bimbang, kerajaan Israel akan menukar peraturan sedia ada di al-Aqsa yang membenarkan Yahudi melawat, tetapi tidak melakukan upacara agama di sana.
Peningkatan keganasan ber­kenaan menimbulkan kebimbangan masyarakat antarabangsa tentang kemungkinan tercetus intifada terbaharu seperti yang berlaku pada awal 2000 dan 1987 hingga 1983. – AFP
Israel umum langkah kontroversi
Israel umum langkah kontroversi

7 OKTOBER 2015
Israel umum langkah kontroversi Pihak berkuasa rejim Zionis meletupkan rumah milik dua penduduk Palestin yang disifatkan sebagai hukuman kolektif.

TEL AVIV - ISRAEL. Kerajaan Israel mengumumkan langkah lebih ketat kononnya sebagai usaha untuk menangani keganasan yang semakin meningkat selepas seorang remaja Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera rejim Zionis berhampiran bandar Baitulaham, kelmarin.

Dalam satu kenyataan sebelum mesyuarat tersebut, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan Israel akan bertindak balas dengan segera terhadap penghasut dan ancaman keganasan.

"Sebanyak empat lagi batalion tentera telah dikerah di Tebing Barat dan ribuan  polis turut ditempatkan di Baitulmaqdis.

"Anggota keselamatan juga akan menyerbu kejiranan Arab dan merobohkan rumah mana-mana individu yang terlibat dalam insiden keganasan," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan juga membenarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pembaling batu dan bom api.

Sementara itu, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menyatakan langkah seumpama itu tidak akan menghentikan protes penduduk Palestin yang berang dengan pencabulan ke atas Masjid al-Aqsa sejak akhir-akhir ini.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa rejim Zionis dilaporkan meletupkan rumah milik dua penduduk Palestin, Ghassan Abu Jamal dan Mohammed Jaabis yang didakwa menyerang penduduk Israel pada tahun lalu. - al-Arabiya

Monday, 5 October 2015

Wartawan cedera teruskan liputan dengan berbalut‎


Wartawan cedera teruskan liputan dengan berbalut

4 OKTOBER 2015
Wartawan cedera teruskan liputan dengan berbalut

PALESTIN - Wartawan stesen TV Lubnan, Al-Mayadeen, Hana Mahameed cedera setelah terkena serpihan peluru gas yang ditembak tentera Israel ketika sedang membuat liputan pertempuran antara polis Israel dengan penunjuk perasaan Palestin di bandar As-Sawiya, semalam.‎

Melalui video yang disiarkan Al-Mayadeen, sekumpulan lelaki dilihat berlegar-legar di satu kawasan sebelum mereka kemudiannya dihujani beberapa butir peluru gas.

Kemudian salah satu peluru tersebut meletup dan serpihannya mengenai bahagian kiri muka Hana yang ketika itu sedang membuat liputan.

‎Jeritan Hana yang kesakitan mengejutkan semua orang yang berada di lokasi.

Dia kemudiannya segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Sebaik dibenarkan keluar hospital setelah lukanya dirawat, Hana dilaporkan berkata, polis Israel menembak peluru gas itu tepat ke arah kumpulan media yang sedang membuat liputan.

Kemudian Hana dilihat muncul di kamera dengan keadaan muka dan lehernya berbalut untuk meneruskan liputan.

Pelampau Yahudi tembak budak Palestin


Pelampau Yahudi tembak budak Palestin

5 OKTOBER 2015
Pelampau Yahudi tembak budak Palestin Polis menghalang penyokong pelampau sayap kanan Israel dalam satu demonstrasi di pusat bandar Baitulmaqdis. - Foto AFP

TEBING BARAT - Seorang kanak-kanak Palestin parah selepas ditembak pendatang haram Yahudi di bahagian barat laut Tebing Barat, kelmarin

Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Yousef Bayan al-Tabib, 6, sedang berdiri di tepi jalan di kampung Izbeit at-Tabib, terletak 10 kilometer di timur Qalqiliya, sebelum seorang pendatang haram menghentikan kenderaan dan menembaknya di bahagian perut.

Tabib kini dirawat di sebuah hospital di Qalqiliya, dan difahamkan tentera Israel juga telah melancarkan siasatan bagi menyiasat kejadian itu.

Dalam perkembangan berasingan, polis Israel dilaporkan menutup akses ke Kota Lama di Baitulmaqdis untuk rakyat Palestin yang bukan penduduk di kawasan itu, selepas dua serangan berlaku kurang daripada 12 jam, meragut nyawa dua rakyat Israel dan dua Palestin.

"Akses ke Kota Lama kini terhad kepada penduduk di kawasan itu sahaja, pemilik perniagaan, pelajar yang bersekolah di kawasan itu, penduduk Israel dan pelancong. Sekatan akan dikenakan selama dua hari,"  kata pihak berkuasa Israel. -- al-Jazeera

Sekat pergerakan Palestin

 AFP
Baitulmaqdis: Israel semalam mengharamkan penduduk Palestin memasuki Bandar Lama Baitulmaqdis selama dua hari berikutan dua serangan terhadap penduduk Yahudi yang turut menyebabkan penyerang terbunuh.

Tindakan itu membabitkan penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis yang dijajah yang tidak menetap di Bandar Lama.


Hanya rakyat Israel, pelancong, penduduk kawasan berkenaan, peniaga dan kanak-kanak dibenarkan memasuki bandar itu.

Dalam pada itu, hanya jemaah berusia lebih 50 tahun dibenarkan menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa sementara tiada had umur ditetapkan untuk jemaah wanita.

Malam kelmarin, seorang penduduk Palestin didakwa militan membunuh dua lelaki Israel dan mencederakan seorang wanita dalam serangan di Bandar Lama.

Polis menembak mati penyerang berkenaan.

Dalam kejadian berasingan sebelum itu, seorang lelaki menikam seorang Yahudi di barat Baitulmaqdis sebelum dia juga ditembak mati ketika melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa hanya cedera, kata polis Israel.

Kejadian berlaku ketika polis dan tentera Israel diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pertempuran di sekitar Masjid Al Aqsa beberapa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:07 AM

SEKUMPULAN remaja Palestin membantu mengangkat rakan mereka yang cedera ketika bertempur dengan tentera Israel selepas askar rejim Zionis itu menyerbu bandar Jenin di Tebing Barat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82415#sthash.jW3Pomvi.dpuf

Israel larang masuk Masjid al-Aqsa

Penduduk Palestin tidak dibenar ke kota lama Baitulmaqdis selama dua hari

seorang anggota polis Israel berkawal di atas bumbung sebuah bangunan

Seorang anggota polis Israel berkawal di atas bumbung sebuah bangunan bagi mengawasi penduduk Palestin dari memasuki Masjid al-Aqsa, selepas polis Israel mengeluarkan larangan ke atas penduduk Palestin memasuki Kota Lama Baitulmaqdis selama dua hari , mulai semalam. AFP
BAITULMAQDIS 4 Okt. - Keganasan di Tebing Barat semakin memuncak ekoran tindakan Israel melarang penduduk Palestin memasuki kota lama di Baitulmaqdis, selepas insiden dua serangan ke atas penduduk Yahudi.
Polis Israel hari ini mengumumkan hanya penduduk Israel, pelancong, penduduk setempat, pemilik perniagaan dan kanak-kanak sekolah dibenarkan memasuki kawasan itu.
Namun, penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis yang tidak tinggal di kota lama itu dilarang sama sekali memasuki kawasan berkenaan selama dua hari.
Hanya penduduk lelaki Islam berumur 50 tahun ke atas dan wanita dibenarkan memasuki Masjid al-Aqsa. Mereka hanya dibenarkan memasuki masjid tersebut menerusi sebuah pintu yang dikhaskan untuk mereka.
Tindakan kejam rejim Zionis itu diambil selepas seorang pejuang Palestin membunuh dua lelaki Israel dan mencederakan dua yang lain dalam dua serangan berasi­ngan di kota lama itu, semalam.
Penyerang terbabit kemudian ditembak mati oleh pasukan ke­selamatan Israel.
Serangan itu berlaku selepas pasukan keselamatan rejim Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa dan bertempur dengan penduduk Palestin di sekitar kota lama dan pembunuhan sepasang suami isteri Yahudi di Tebing Barat.
Sementara itu, kerajaan Palestin dalam kenyataannya mengutuk tindakan Israel tersebut yang disifatkan sebagai memperluaskan jajahan terhadap wilayah Palestin.
“Kami mengutuk dasar penjajahan Israel yang menindas rakyat Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat,” jelas kenyataan itu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-larang-masuk-masjid-al-aqsa-1.142864#sthash.A7wQBBNM.dpuf