Sunday, 12 October 2014

Ulama Islam gesa pertahan Masjid al-Aqsa


Penduduk Palestin menunjukkan peluru getah dan bekas bom asap yang digunakan pihak berkuasa rejim Zionis bagi menghalau umat Islam yang berada di dalam Masjid al-Aqsa. - Foto AFP
Penduduk Palestin menunjukkan peluru getah dan bekas bom asap yang digunakan pihak berkuasa rejim Zionis bagi menghalau umat Islam yang berada di dalam Masjid al-Aqsa. - Foto AFP
DOHA - QATAR. Kesatuan Ulama Antarabangsa menggesa gabungan kemanusiaan Arab-Islam mempertahankan Masjid al-Aqsa daripada pencerobohan Zionis dan mengembalikan hak rakyat Palestin di wilayah diduduki Israel.

Rabu lalu, polis Israel menyerbu Masjid al-Aqsa dan menggunakan gas pemedih mata untuk menghalau mereka yang berada di dalam masjid sebelum membenarkan penduduk Yahudi memasuki bangunan itu ketika festival Sukkot.

Kesatuan tersebut dalam satu kenyataan berkata, ia diikuti kebimbangan terhadap tindakan rejim Zionis yang mula membenarkan kemasukan orang Yahudi ke dalam masjid ketiga paling suci itu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan Zionis dan pasukan keselamatan Israel yang membaling bom sehingga menyebabkan kebakaran permaidani di dalam masjid," katanya dipetik Middle East Monitor.

Menurutnya lagi, kesatuan menggesa semua negara di dunia dan organisasi antarabangsa untuk berusaha ke arah menghentikan kekejaman Zionis.

Hospital Gaza kekurangan bahan api


11 Oktober 2014

GENTING GAZA - PALESTIN. Timbalan menteri kesihatan, Yousef Abul-Rish mengeluarkan amaran bahawa krisis kemanusiaan di hospital Gaza semakin meruncing kerana kekurangan bahan api.

Menurutnya, kebanyakan hospital di Gaza bakal kehabisan bahan api dalam tempoh 48 jam.

"Kebanyakan kemudahan hospital di Gaza menggunakan generator.

"Jika bekalan habis, mesin hemodialisis  dan lain-lain mesin akan berhenti berfungsi," katanya dipetik Middle East Monitor.

Sementara itu, akhbar al-Resalah melaporkan kekurangan bahan api di hospital Gaza mungkin menyebabkan kematian dalam kalangan pesakit.

EU haramkan produk tenusu Israel


Larangan mengimport produk tenusu ke EU dari Israel akan berkuat kuasa Januari tahun depan.
Larangan mengimport produk tenusu ke EU dari Israel akan berkuat kuasa Januari tahun depan.
BRUSSELS - BELGIUM. Kesatuan Eropah (EU) memutuskan untuk mengharamkan import produk tenusu dari Israel berkuat kuasa Januari tahun depan.

Berdasarkan keputusan itu, EU tidak lagi mengiktiraf kuasa agensi pemeriksaan sejak 1967 dan tanpa pemeriksaan produk tenusu termasuk dari timur al-Quds (Baitulmaqdis) serta Golan Heights, ia tidak boleh diedarkan di Eropah.

Difahamkan, Kementerian Pertanian Israel telah memaklumkan kepada semua syarikat tenusu tentang pengharaman berkenaan.

"Bermula 1 Januari 2015, tiada lagi aktiviti mengeksport produk tenusu ke Green Line, sama ada secara langsung atau tidak langsung," menurut kementerian itu.

Menurut Press TV, kementerian tersebut juga sedang berusaha mengurangkan larangan kerana mendakwa langkah itu akan menyebabkan negara menanggung kerugian kewangan minimum berikutan eksport tenusu ke EU menyumbang sebahagian kecil kepada keuntungan Israel.

Saturday, 11 October 2014

Britain mungkin iktiraf Palestin


London: Anggota Parlimen Britain akan mengundi Isnin ini untuk menentukan sama ada negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara atau sebaliknya.

Undian itu sebahagian daripada usul yang dikemukakan anggota pembangkang, Grahame Morris dari parti Buruh.

“Jika undiannya positif, ini pasti memberi tekanan hebat kepada kerajaan sedia ada dan yang akan datang - berkemungkinan dari Parti Buruh - untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Jika United Kingdom (UK) mengiktiraf Palestin, ia mampu membuka ruang untuk negara Kesatuan Eropah (EU) lain turut berbuat demikian.


“Ia mampu menjadi mesej jelas dan sahih bahawa Britain dan negara lain mengiktiraf hak Palestin seterusnya mengesahkan pendudukan Israel ke atas tanah milik rakyat Palestin tidak berasas,” katanya.


Tindakan ini menyusuli pengumuman Perdana Menteri baru Sweden Stefan Loefven awal bulan ini yang mengumumkan negara itu mengiktiraf Palestin hingga mencetuskan kemarahan Israel.

Parti Buruh berkata ia akan menyokong usul Morris itu. Beberapa ahli Parlimen dari parti Konservatif yang memerintah Britain juga menyuarakan sokongan.

Setakat ini, kira-kira 112 negara sudah mengiktiraf kewujudan negara Palestin.

Pada 2012, Britain mengambil sikap berkecuali dalam undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi status negara pemerhati kepada Palestin.

Status itu diberi kepada Palestin walaupun dibantah keras AS dan Israel selain beberapa negara lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

EU haram kemasukan produk Israel


LONDON 10 Okt. - Kesatuan Eropah (EU) mengambil keputusan mengharamkan import produk tenusu dari Tebing Barat, kawasan yang diduduki secara tidak sah oleh Israel bermula Januari tahun depan, lapor laman web presstv.ir.
"Bermula 1 Januari 2015 tiada lagi jalinan kerjasama untuk membawa masuk produk tenusu yang dibuat dari kawasan yang dinyatakan, sama ada secara langsung atau tidak langsung," kata Kementerian Pertanian Israel dalam satu kenyataan.
Jelas kementeri itu, semua firma tenusu yang terbabit sudah diberitahu tentang keputusan pengharam berkenaan.
Pada Jun lalu, EU turut mengambil keputusan mengharamkan kemasukan ayam dari wilayah itu yang masih tidak diiktiraf itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141011/lu_06/EU-haram-kemasukan-produk-Israel#ixzz3FmhfhvK5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, 10 October 2014

Kabinet perpaduan di Gaza


GAZA CITY 9 Okt. - Barisan kepimpinan baharu kerajaan perpaduan Palestin mengadakan mesyuarat Kabinet yang pertama di Genting Gaza, hari ini, sekali gus menandakan tamatnya pemerintahan pergerakan Hamas di wilayah ini.
Menurut jurucakap kerajaan, seramai 12 Menteri Kabinet akan dibawa ke lokasi yang musnah akibat serangan Israel selama lebih 50 hari, sebelum mereka memulakan mesyuarat bagi membincangkan usaha mendapatkan bantuan bagi membangunkan semula wilayah tersebut.
Kerajaan perpaduan Palestin di Gaza dibentuk empat bulan lalu bagi menggantikan pemerintahan Hamas di Gaza dan Fatah di Tebing Barat, tetapi pentadbiran baharu itu masih belum beroperasi ekoran perselisihan berlarutan antara kedua-dua pergerakan terbabit. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_08/Kabinet-perpaduan-di-Gaza#ixzz3Fh6ztX9B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israel perlu bantu bangun Gaza


Penduduk Palestin mencari barangan penting di kawasan perumahan dan bangunan yang musnah akibat serangan tentera Israel di Genting Gaza, baru-baru ini. - AFP
WASHINGTON 9 Okt. - Israel perlu memainkan peranan penting bagi membangunkan semula Genting Gaza, tegas seorang pegawai tinggi AS, Jen Psaki, hari ini menjelang rundingan membibcangkan bantuan utama kepada Gaza, di sini yang turut menekankan tentang perlunya semua pihak terbabit melaksanakan gencatan senjata berkekalan.
Setiausaha AS, John Kerry akan menghadiri persidangan bagi membincangkan pembangunan semula Gaza itu, Ahad ini yang dianjurkan dengan kerjasama Mesir dan Norway dan dikendalikan oleh AS, sebagai 'bantuan kemanusiaan dan usaha pembangunan semula' selepas tamatnya serangan Israel ke atas Gaza selama 50 hari yang berakhir Ogos lalu.
Kerajaan Palestin mengumumkan rancangan pembangunan semula Gaza, setebal 76 muka surat dan memohon dana berjumlah AS$4 bilion(RM13 juta) untuk kos membangunkan semula wilayah Palestin itu.
Daripada bantuan tersebut, kira-kira 100,000 buah rumah akan dibina semula untuk penduduk Palestin yang hilang tempat berlindung akibat serangan Israel.
Dalam serangan Israel itu hampir 2,200 penduduk Palestin terkorban dan kira-kira 73 tentera Israel terbunuh.
Keganasan Israel itu berakhir dengan gencatan senjata sementara dan rundingan tidak langsung untuk melaksanakan gencatan senjata kekal itu dijangka disambung di bawah pengantaraan Mesir, akhir bulan ini.
Sebelum ini, Washington berjanji untuk menyalurkan bantuan berjumlah AS$118 juta (RM385.8 juta) bagi membantu penduduk Palestin di Gaza, dan Psaki menjangkakan banyak negara dan masyarakat antarabangsa akan menyumbang kepada dana tersebut dalam rundingan di Kaherah, nanti. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_04/Israel-perlu-bantu-bangun-Gaza#ixzz3Fh5PduLH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, 9 October 2014

Pertempuran di Masjid al-Aqsa



Baitulmaqdis: Pertempuran berlaku di pekarangan Masjid al-Aqsa semalam selepas penduduk Palestin memprotes tindakan rejim Tel Aviv membenarkan sekumpulan Yahudi memasuki pekarangan masjid itu.

Jurucakap polis Israel Luba Samri berkata, puluhan pemuda Palsetin melontar batu dan bom minyak terhadap anggota polis ketika kumpulan Yahudi itu tiba di pekarangan masjid sempena perayaan Sukkot yang diraikan selama seminggu.


Polis Israel sebelum ini menghalang penduduk Palestin memasuki masjid itu menyebabkan mereka berang dan melontar batu serta bom petrol, menyebabkan empat polis cedera ringan.

Menurut Luba, penganut Yahudi terbabit berjaya meneruskan lawatan mereka.


Katanya, lima penunjuk perasaan ditahan manakala anggota pasukan kesihatan Palestin berkata 17 cedera dalam kejadian itu.


Pengarah Wakaf Islam Azzam al-Khatib yang bertanggungjawab terhadap masjid berkenaan berkata, dia sebelum ini merayu polis menghalang penduduk Yahudi datang ke situ untuk mengelak bertempur dengan sekumpulan pemuda Islam yang tidur semalaman di sana.

“Polis bagaimanapun tidak menghiraukan permintaan saya dan inilah akibatnya,” katanya.

Pekarangan Masjid al-Aqsa sering melihat pertempuran kecil antara polis Israel dengan penduduk Palestin.

Masjid ketiga paling suci umat Islam itu turut dianggap tempat paling suci oleh penganut Yahudi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/09

Militan IS mula berundur dari Kobani


BEIRUT 8 Okt. - Militan Negara Islam (IS) berundur dari beberapa kawasan di bandar Kobani yang terletak bersempadan antara Syria dan Turki selepas tentera bersekutu diketuai Amerika Syarikat (AS) menggempur kedudukan kumpulan tersebut sepanjang malam tadi.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, militan IS berundur dari kawasan di timur Ain al-Arab (Kobani) dan barat daya bandar berkenaan selepas serangan udara memusnahkan empat kenderaan kumpulan tersebut.
Menurut Rami, selepas berundur, militan terbabit berkumpul semula di bahagian timur dan selatan bandar strategik itu tetapi tidak berada pada kedudukan barat kawasan berkenaan.
"Serangan oleh tentera bersekutu juga menyebabkan kematian yang banyak dalam kalangan pengganas IS," katanya tanpa memberi jumlah sebenar kematian anggota militan terbabit. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_11/Militan-IS-mula-berundur-dari-Kobani#ixzz3FclvywlK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israel sekat bahan binaan masuk ke Gaza


BAITULMAQDIS 8 Okt. - Israel dilapor menghalang berpuluh-puluh trak yang membawa muatan bahan binaan daripada memasuki Genting Gaza walaupun sebelum ini berjanji akan memberi akses kepada sebarang usaha itu.
"Kami dimaklumkan oleh Syarikat Nasional Palestin bahawa Israel telah menangguhkan kemasukan 60 buah trak ke Genting Gaza,'' kata Mounir al-Ghalban dari pihak berkuasa sempadan Gaza kepada agensi berita Anadolu, sebagaimana lapor PressTV, semalam.
Pegawai Palestin itu kemudiannya memaklumkan bahawa sekatan itu dibuat di sebalik 'janji' oleh pihak berkuasa Israel yang akan membenarkan kemasukan bekalan bahan binaan ke wilayah Palestin.
Beliau turut melahirkan kebimbangan Palestin tentang kekurangan bahan binaan bagi membangunkan semula Gaza selepas perang selama 50 hari antara Israel dan pergerakan Hamas, baru-baru ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_09/Israel-sekat-bahan-binaan-masuk-ke-Gaza#ixzz3FclkTm88
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hezbollah beri amaran pada Israel


BEIRUT 9 Okt. - Kumpulan bersenjata Hezbollah melancarkan satu serangan ke atss Israel di sempadan Lebanon semalam menyebabkan dua anggota tentera Israel tercedera, kata timbalan ketua kumpulan Hezbollah.
Menurutnya, serangan itu merupakan satu pesanan yang menunjukkan bahawa kumpulan Hezbolllah sentiasa bersedia dalam menghadapi musuh lamanya walaupun berhadapan dengan peperangan bersama Syria.
Anggota tentera itu cedera akibat letupan sebuah bom yang ditanam anggota kumpulan Hesbollah di bukit Shebaa, sekali gus menyebabkan pasukan tentera artileri Israel terpaksa bertindak balas melancarkan serangan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_01/Hezbollah-beri-amaran-pada-Israel#ixzz3FcaYQw5E
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 6 October 2014

Penduduk Gaza lawat Masjid al-Aqsa


Baitulmaqdis: Beratus-ratus warga emas Palestin dari Gaza semalam mengunjungi Masjid al-Aqsa, masjid ketiga paling suci umat Islam selepas rejim Tel Aviv mengendurkan sekatan sempena cuti sambutan Aidiladha.

Ini kali pertama penduduk dari Gaza dibenar melawat masjid berkenaan sejak 2007.



Langkah mengendurkan sekatan itu diumumkan Israel sebulan selepas gencatan senjata menamatkan perang 50 hari di Gaza yang menyebabkan hampir 2,200 penduduk Palestin terbunuh.

Menurut syarat perjanjian, Israel bersetuju mengendurkan sekatan terhadap pergerakan penduduk Palestin.

Dalam kenyataannya, rejim itu berkata, ia memberi permit kepada 500 penduduk Gaza berusia 60 tahun ke atas untuk mengunjungi Masjid al-Aqsa dan perkarangannya dan mereka hanya dibenarkan untuk berada di situ hingga jam 3 petang (waktu tempatan) sebelum dibawa pulang ke sempadan Gaza.

Ramai penduduk Palestin di Gaza sudah sekian lama tidak melawat masjid itu sehingga ada yang mengucup lantai perkarangan masjid berkenaan sebaik menjejakkan kaki mereka.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Sunday, 5 October 2014

palestin

Dome of the rock...mashaAllah..

masjid Al Aqsa

Kegembiraan, keceriaan dan kebahagiaan tetap terpancar pada keluarga Gaza ini di hari pertama 'Idul Adha.

Kegembiraan, keceriaan dan kebahagiaan tetap terpancar pada keluarga Gaza ini di hari pertama 'Idul Adha.

Di saat kita meraikan Hari Raya Korban di tempat sendiri, luangkanlah masa walau sebentar cuma untuk menghayati pengorbanan besar rakyat Palestin dan Gaza dalam mempertahankan bumi yang diberkati ini.

Marilah kita tumpahkan segenap rasa penghargaan dan kasihsayang kita kepada mereka. 

Kita semua bertanggungjawab untuk memastikan impian, harapan dan cita-cita mereka berjaya dikecapi dalam sebuah negara Palestin yang berdaulat, merdeka dan bebas untuk menentukan masa depan sendiri.

Itu seharusnya menjadi ikrar dan lafaz cinta kita kepada mereka!

Solat raya di Gaza


Pembangunan semula Gaza perlu AS$4 bilion


GAZA CITY 4 Okt - Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyatakan Gaza memerlukan perbelanjaan AS$4 bilion (RM13 bilion) untuk pembangunan semula, berikutan peperangan yang berlangsung selama 50 hari di antara Israel dan Hamas baru-baru ini.
Negara penyumbang kini sedang menimbangkan untuk menyampaikan bantuan kepada Gaza pada 12 Oktober ini.
Pegawai Palestin berkata, lebih 60,000 rumah dan lebih 5,000 perniagaan dan kilang musnah atau rosak. Nilai kerosakan dan permohonan bantuan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk pembangunan semula yang dikemukakan oleh kerajaan Abbas. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_13/Pembangunan-semula-Gaza-perlu-AS4-bilion#ixzz3FDSVH2CC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sweden iktiraf negara Palestin


STEFAN LOFVEN
STOCKHOLM 4 Okt. - Perdana Menteri baharu Sweden semalam mengumumkan bahawa negara ini mengiktiraf kewujudan Palestin, sekali gus menjadi negara pertama di barat Eropah berbuat demikian.
Pemimpin Parti Sosial Demokrat, Stefan Loefven yang memenangi pilihan raya umum lalu berkata, Sweden menyokong supaya konflik antara Palestin dan Israel ditamatkan segera.
"Penyelesaian konflik antara Palestin dan Israel memerlukan pengiktirafan secara bersama dan kemahuan daripada kedua-dua belah pihak untuk mewujudkan keamanan.
"Perkara seperti ini perlu dilakukan bagi menghormati tuntutan rakyat Palestin dan Israel yang berhak menentukan nasib dan keselamatan mereka," jelas Loefven ketika berucap di Parlimen.
Tindakan Sweden mendapat reaksi negatif daripada Washington yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘tidak matang’, manakala Palestin menyifatkan pendirian Sweden sebaga satu tindakan ‘berani’ dan menggesa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain mengikut jejak langkah Sweden itu.
"Kami percaya pengiktirafan daripada negara-negara dunia ke atas Palestin merupakan satu tindakan tidak matang. Pengiktirafan diberikan melalui rundingan, resolusi isu-isu dan pengiktirafan bersama oleh kedua-dua pihak," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki.
Sebanyak tujuh negara EU di timur Eropah dan negara-negara Mediterranean sudah mengiktiraf Palestin termasuk Bulgaria, Cyprus, Hungary, Malta, Poland and Romania.
Sementara itu, Menteri Luar Sweden, Margot Wallstroem berkata, negara berkenaan tidak berseorangan dalam isu ini kerana hampir 130 buah negara sudah mengiktiraf kewujudan Palestin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141005/lu_02/Sweden-iktiraf-negara-Palestin#ixzz3FDQjK24K
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, 4 October 2014

palestin

palestin

'When I asked my colleague in Gaza about her biggest dream, her answer made an impression on me: “I dream of what life would be like with 24-hour electricity.”' 

Read more at: http://mondoweiss.net/2014/10/gaza-wait-dark#sthash.7wzCzQ0e.dpuf'When I asked my colleague in Gaza about her biggest dream, her answer made an impression on me: “I dream of what life would be like with 24-hour electricity.”'

Palestin beri amaran heret Israel ke ICC


Israel bakal berdepan dakwaan melakukan jenayah perang susulan daripada Operasi Perlindungan Sempadan pada 8 Julai lalu.
Israel bakal berdepan dakwaan melakukan jenayah perang susulan daripada Operasi Perlindungan Sempadan pada 8 Julai lalu.
RAMALLAH - PALESTIN. Palestin memberi amaran bahawa mereka akan mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika Majlis Keselamatan PBB gagal meluluskan tarikh akhir bagi memastikan Tel Aviv berundur dari wilayah yang diduduki oleh mereka.

Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah mengemukakan tuntutan kepada agensi antarabangsa tersebut supaya memberi tekanan kepada Israel agar mematuhi rangka masa ditetapkan.

"Kami berharap Majlis Keselamatan PBB dapat mengeluarkan draf resolusi yang membawa kepada pengunduran Israel dari wilayah Palestin termasuk Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur menjelang November 2016.

"Jika mereka gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak mengambil langkah menyertai ICC untuk mendapatkan pengadilan sewajarnya," katanya dipetik Press TV

Menurutnya lagi, Palestin tidak akan berputus asa kerana objektif utama mereka adalah mencari cara yang paling efektif untuk menamatkan pendudukan Israel bagi mendapatkan kemerdekaan.

Pada 29 November 2012, Palestin diiktiraf sebagai negara pemerhati bukan anggota PBB yang membolehkan mereka mengemukakan tindakan undang-undang ke atas Israel atas dakwaan melakukan jenayah perang di ICC. 

Sehingga kini, Tel Aviv masih enggan mematuhi perjanjian garis sempadan 1967 dan terus berdolak-dalik dalam setiap rundingan damai bersama Palestin.

RM13 bilion bina semula Genting Gaza


BAITULMAQDIS 3 Okt. - Kerajaan Palestin memerlukan bantuan berjumlah AS$4 bilion (RM13 bilion) untuk membangunkan semula wilayah Gaza yang musnah teruk akibat operasi ketenteraan Israel selama 53 hari pada Julai dan Ogos lalu.
Dalam laporan setebal 76 muka surat yang didedahkan menjelang sidang khas pada 12 Oktober ini, kerajaan Palestin berkata, jumlah tersebut melibatkan proses membaikpulih infrastruktur awam dan swasta yang dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$1.9 bilion (RM6.18), manakala AS$1.2 bilion (RM3.9 bilion) lagi untuk pemulihan ekonomi Gaza.
Namun, kerajaan memberi keutamaan terhadap proses mengalihkan runtuhan dan memusnahkan kira-kira 5,000 bom serta peluru berpandu yang tidak meletup di seluruh Gaza.
“Stesen janakuasa juga akan dibaiki, selain sistem perairan, kesihatan dan pendidikan, manakala perbelanjaan terbesar akan digunakan untuk membina semula rumah selepas lebih 100,000 penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat serangan ganas Israel," tambah laporan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_08/RM13-bilion-bina-semula-Genting-Gaza#ixzz3F7TU0Gs0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Enggan jadi tentera: Remaja Israel dipenjara


TEL AVIV 3 Okt. - Kumpulan anti tindakan ketenteraan, New Profile melaporkan, dua remaja Israel yang enggan berkhidmat sebagai tentera dihantar semula ke penjara.
Sumber, electronicintifada.net melaporkan, dua remaja berkenaan, Udi Segal, 18, yang pernah dipenjara empat kali serta Uriel Ferera, 19, yang pernah dipenjara lapan kali dijatuhi hukuman penjara selama 10 hari pada Isnin lalu.
Segal dan Fererea merupakan antara 50 orang remaja Israel yang menandatangani surat terbuka kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu awal tahun ini menyatakan keengganan mereka berkhidmat dalam tentera kerana hal itu melanggar hak asasi rakyat Palestin.
Dalam satu rakaman video, Segal berkata, mereka enggan berkhidmat dalam tentera bagi menamatkan penjajahan Israel ke atas Palestin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_09/Enggan-jadi-tentera-Remaja-Israel-dipenjara#ixzz3F7S46Vzt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, 3 October 2014

Maafkan Kami, Palestin



Kami, kakitangan Aman Palestin telah berjanji kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Al-Aqsa, Syria dan Lubnan untuk memberikan kepada mereka 71 ekor lembu dan 240 ekor kambing.

Namun, hingga kini kami hanya mampu memberikan 41 ekor lembu dan 100 ekor kambing kepada anda.

Kami masih berharap masa berbaki dua hari lagi sebelum tarikh tutup 5 Oktober ini, kami mampu merealisasikan hasrat tersebut.

Biar pun masa amat suntuk saat ini, tapi kami masih punya keyakinan ramai rakyat Malaysia akan mencuba sedaya mampu mereka untuk membantu anda di sana yang sedang berjuang.

Dengan rasa rendah diri, kami kakitangan Aman Palestin memohon jutaan kemaafan atas kegagalan kami menunaikan janji.

Maafkan kami Palestin
----------------------
Qurban 1 bahagian lembu RM1400
Qurban 1 ekor kambing RM1400
Sedekah Qurban RM350

Bank Islam:12029010047880
Maybank:562263010787
CIMB: 8600460353
Muamalat:12070005133717
RHB Bank:21245760004907
Bank Rakyat: 220806195922

Emel: amanpalestin@yahoo.com
Web: www.amanpalestin.com
 

Pembangunan semula Gaza perlu AS$4 bilion

BANDARAYA GAZA: Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata pembinaan semula Gaza memerlukan perbelanjaan AS$4 bilion berikutan peperangan 50-hari di antara Israel dan Hamas baru-baru ini.
Negara penyumbang kini sedang menimbangkan untuk menyampaikan bantuan kepada Gaza pada 12 Oktober depan.
Pegawai Palestin berkata lebih 60,000 rumah dan lebih 5,000 perniagaan dan kilang musnah atau rosak. Nilai kerosakan dan permohonan bantuan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk pembangunan semula yang dikemukakan oleh kerajaan Abbas. - AFP

Rejim Zionis ceroboh Genting Gaza

Beberapa kereta kebal milik tentera Israel dilihat memasuki wilayah selatan Genting Gaza pada jarak 200 meter, kelmarin.
Beberapa kereta kebal milik tentera Israel dilihat memasuki wilayah selatan Genting Gaza pada jarak 200 meter, kelmarin.
GENTING GAZA - PALESTIN . Tentera Israel, kelmarin didakwa menceroboh selatan Genting Gaza dan turut melepaskan tembakan ke kawasan pertanian milik penduduk Palestin.

Tindakan itu dilihat sebagai pencabulan gencatan senjata terbaharu sejak ia dikuatkuasakan pada 26 Ogos lalu.

Saksi memberitahu beberapa penduduk terpaksa meninggalkan kawasan pertanian mereka di Khan Yunis sejurus pencerobohan itu berlaku, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Awal minggu lalu, seorang penduduk Palestin dilaporkan cedera ditembak tentera rejim Zionis berhampiran pagar pemisah di utara Gaza.

Dalam perkembangan lain, Amerika Syarikat (AS) didakwa sengaja memberi tekanan kepada Presiden Mahmoud Abbas supaya menarik balik rancangannya mengemukakan tuntutan kepada Majlis Keselamatan PBB untuk mengeluarkan resolusi bagi menamatkan sekatan haram Israel.

Menurut Mahmoud, Washington turut mengancam untuk menyekat dana bantuan berjumlah AS$700 juta (RM2.3 bilion) setahun jika mereka tetap meneruskan usaha tersebut.

"Kami tidak akan berganjak dengan keputusan itu dan bakal menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika AS menggunakan kuasa veto mereka," tegasnya, menurut laporan Press TV.

AS kritik projek penempatan haram baharu Israel



AFP - OBAMA (kanan) berbual dengan Netanyahu ketika mengadakan pertemuan di White House kelmarin.


WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) kelmarin secara terbuka mengecam rancangan Israel membina sebuah penempatan haram Yahudi di timur Bailtulmuqaddis.
Jurucakap Obama, Josh Earnest berkata, rancangan tersebut bakal menyebabkan sekutu paling rapat Israel semakin menjauhkan diri dan menimbulkan persoalan berhubung komitmen untuk berdamai dengan Palestin.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Obama dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertemu di White House.
Kata Earnest, Obama secara peribadi menyatakan kebimbangannya kepada Netanyahu walaupun kedua-dua pemimpin tersebut tidak memberi sebarang komen kepada wartawan selepas pertemuan itu.
“Pembangunan ini hanya menyebabkan kecaman daripada komuniti antarabangsa. Ia juga menimbulkan persoalan berhubung komitmen Israel dalam rundingan damai mengenai penempatan semula penduduk dengan Palestin,” katanya.
Projek pembinaan 2,500 buah rumah itu menjadi pertikaian kerana bakal melengkapan satu kawasan penempatan haram Yahudi di satu lokasi yang memisahkan Bailtulmuqaddis dengan Baitulaham.
AS mengkritik projek penempatan haram Israel di timur Bailtulmuqaddis kerana bimbang memberi kesan terhadap rundingan damai dengan Palestin.
White House juga mengecam pendatang haram Yahudi yang merampas beberapa rumah penduduk Palestin di Silwan di timur Bailtulmuqaddis baru-baru ini. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3F1qro8Wu 
Hakcipta terpelihara 

Syarikat bas disaman kerana tolak iklan 'Hamas Bunuh Yahudi'

KHAMIS, 2 OKTOBER 2014 @ 10:29 AM

 
NEW YORK: Sebuah kumpulan pro-Israel menyaman pihak berkuasa pengangkutan semalam, dan meminta mahkamah mengarahkannya menerima iklan pada belakang bas yang mengandungi ungkapan 'Hamas bunuh Yahudi' selepas ia ditolak atas alasan boleh menimbulkan keganasan.

Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan di Manhattan oleh 'American Freedom Defense Initiative', sebuah organisasi diketuai blogger Pamela Geller yang mempamerkan iklan itu.

Saman itu meminta mahkamah mengarahkan

Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) supaya menarik balik bantahannya dan membayar pampasan kerana kerugian yang tidak dinyatakan.



Jurucakap MTA Amanda Kwan berkata agensi berkenaan tidak ada apa-apa komen untuk dibuat. Tetapi MTA ada mengeluarkan kenyataan pada 19 September lalu untuk menyatakan ia menolak iklan termasuk yang mengandungi ungkapan 'Hamas bunuh Yahudi' kerana mempamerkannya di belakang bas boleh menimbulkan serta mencetuskan keganasan.

Katanya, MTA memaklumkan kumpulan terbabit Ogos lalu bahawa ia akan mempamerkan tiga daripada empat iklan yang dicadangkan tetapi bukan yang mengandungi ungkapan 'Membunuh Yahudi adalah Ibadat yang Membawa Kita Dekat dengan Allah' kerana ia boleh mencetuskan keganasan.

Dalam iklan itu, terdapat gambar muka yang ditutup di sebelah ungkapan berkenaan dan disebut 'Hamas MTV'. Ia diikuti dengan ungkapan: 'Inilah Jihad. Apakah Perjuangan Anda?' - AP

Israel perlu berundur sebelum November 2016


NEW YORK 2 Okt. - Palestin mengemukakan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengakhiri pencerobohan Israel yang menyarankan ia perlu dilaksanakan sebelum November 2016.
Sumber diplomat PBB berkata, draf berkenaan turut disokong secara tidak rasmi oleh semua negara Arab dan beberapa negara anggota Majlis Keselamatan.
Menurut sumber itu, draf resolusi itu tidak dikemukakan kepada semua negara anggota Majlis Keselamatan, langkah yang hanya perlu dilakukan oleh satu sahaja negara anggota.
"Ekoran itu, Majlis Keselamatan PBB masih belum pasti bilakah usul berkenaan akan diundi untuk menentukan sama ada resolusi tersebut akan dikuatkuasakan atau tidak.
"Palestin melalui draf tersebut menggesa pengunduran Israel dari semua wilayah Palestin yang dijajah rejim Zionis itu sejak 1967 termasuk Timur Baitulmaqdis dengan segera dan tidak melebihi tempoh November 2016 yang ditetapkan," kata sumber itu.
Menurut laporan Reuters, draf tersebut berkemungkinan besar akan menrima tentangan daripada negara kuasa veto dan negara anggota tetap Majlis Keselamatan, Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu kuat Israel.
Duta AS ke PBB, Samantha Power berkata, Washington buat masa ini memantau pelan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk memastikan resolusi tersebut mendapat sokongan daripada negara anggota Majlis Keselamatan yang lain.
"Kami percaya, satu-satunya cara untuk menyelesaikan konflik di Asia Barat itu hanyalah melalui rundingan antara kedua-dua pihak iaitu Israel dan Palestin," katanya.
Israel menerima idea 'penyelesaian pembentukan dua negara' bagi mewujudkan negara Palestin yang bebas dan demokratik tetapi menolak penetapan sempadan 1967 sebagai penyelesaian muktamad. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141003/lu_05/Israel-perlu-berundur-sebelum-November-2016#ixzz3F1kfPWZ2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, 2 October 2014

palestin

palestin

Palestin: Pencerobohan Israel mesti dihentikan pada 2016




PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB Jumaat lalu. - Foto AP
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Palestin meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menetapkan November 2016 sebagai tarikh akhir supaya Israel keluar dari semua wilayah yang diceroboh sejak 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur.
Draf resolusi itu yang diedarkan pada ahli majlis berkenaan diikuti dengan pengumuman Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB Jumaat lalu, meminta majlis itu supaya menetapkan tarikh akhir untuk Israel keluar dan mengenakan peraturan jika perbincangan diadakan dengan pihak rejim.
Draf resolusi berkenaan akan mengesahkan kesungguhan Majlis Keselamatan untuk mencapai penyelesaian keamanan bagi menamatkan penjajahan Israel tanpa 'kelewatan' dan menyempurnakan wawasan kedua-dua negara - 'negara Palestin yang merdeka, berdaulat, demokratik, bersempadan dan berdaya maju' hidup berjiran dengan Israel dalam suasana keamanan dan keselamatan di sempadan seperti sebelum perang Asia Barat pada 1967. - AP

Lagi rumah penduduk Palestin dirampas


Peneroka haram Yahudi sering merampas rumah penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis dan mengusir mereka, sekali gus menambahkan lagi penderitaan penduduk terlibat. - AFP
BAITULMAQDIS 1 Okt. - Peneroka haram Yahudi bertindak merampas 25 buah pangsapuri di timur Baitulmaqdis semalam, mendakwa hartanah berkenaan hak milik mereka, lapor penduduk dan para pemimpin Palestin.
Rampasan terbaharu itu turut mengakibatkan berlakunya pertempuran di antara penduduk tempatan dengan peneroka haram Yahudi di kawasan perumahan Silwan yang terletak berhampiran Masjid al-Aqsa.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas saling menunding jari di antara satu sama lain di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sekali gus menyukarkan usaha penyelesaian damai dicapai.
Seorang penduduk yang memiliki tiga buah rumah di Silwan, Mohammed al-Khayat berkata, peneroka haram bertindak memecah kunci rumah terbabit sebelum menggantikannya dengan kunci baharu.
Jurucakap polis berkata, pertempuran berlaku selepas seorang penduduk Palestin cuba memasuki bangunan pangsapuri berkenaan, namun dihalang oleh peneroka haram yang turut menunjukkan dokumen bahawa mereka sudah membeli kediaman tersebut.
Sementara itu, seorang peneroka haram Yahudi yang dikenali sebagai Elad berkata, sebuah syarikat yang dikenali sebagai Kendall Finance telah membeli hartanah berkenaan, bagaimanapun perkara tersebut dinafikan oleh peguam yang mewakili penduduk Palestin.
Pegawai Perunding Palestin, Saeb Erakat menyalahkan Netanyahu berhubung kejadian berkenaan kerana sering menggalakkan peneroka haram Israel merampas tanah hak milik penduduk Palestin.
"Mereka (peneroka Yahudi) menterjemah ucapan yang disampaikan oleh Netanyahu dalam bentuk tindakan dengan merampas bangunan pangsapuri di timur Baitulmaqdis," jelasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141002/lu_02/Lagi-rumah-penduduk-Palestin-dirampas#ixzz3EvugTn6z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 1 October 2014

1,500 Penumpang Sain Petisyen Minta Penerbangan Israel Halang Penganut Fahaman Orthodoks Yahudi


Diterbitkan: Rabu, 1 Oktober 2014 6:20 PM
Salah sebuah model pesawat Boeing 747 milik Syarikat Penerbangan Israel El Al.

NEW YORK: Satu petisyen yang ditandatangani oleh 1,500 orang telah dikirimkan kepada syarikat penerbangan Israel - El Al - menggesa syarikat itu mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk menghalang penumpang-penumpang dari kalangan penganut fahaman orthodoks ultra Yahudi daripada terus 'membuli' kaum wanita dan lain-lain penumpang pada masa hadapan.
Portal berita Britain,The Mail Online melaporkan, petisyen tersebut dibuat selepas para penumpang pesawat syarikat penerbangan tersebut yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa JFK di sini ke Israel menyaksikan bagaimana penerbangan mereka terpaksa ditangguhkan selepas beratus penumpang orthodoks ultra Yahudi enggan duduk bersebelahan dengan penumpang wanita.
Mereka juga dilaporkan enggan berganjak dari laluan di dalam pesawat selagi penumpang lain tidak memenuhi permintaan mereka untuk bertukar tempat duduk.
Petisyen tersebut adalah inisiatif salah seorang penumpang wanita dari Chicago yang bernama Sharon Shapiro yang turut berada di dalam pesawat berkenaan ketika insiden kelam-kabut itu berlaku.
Sharon dalam petisyen tersebut menulis; "Kita semua sedia maklum jika ada penumpang yang bersikap agresif dan mencela ke atas mana-mana anak kapal, mereka akan dengan segera dikeluarkan dari pesawat tersebut. Begitu juga dengan penumpang yang dengan segaja bertindak melengah-lengahkan jadual penerbangan sehingga menyebabkan penerbangan terpaksa ditunda, mereka juga akan dengan segera dikeluarkan dari pesawat.
"Jika ada penumpang secara terbuka memperlihatkan diskriminasi agama atau perkauman ke atas penumpang lain, atau ke atas anak kapal, mereka juga akan dengan segera dibawa keluar dari pesawat. Oleh itu kenapakah Penerbangan El Al membenarkan diskriminasi gender iaitu ke atas wanita berlaku di dalam pesawat mereka? Kenapa Penerbangan El Al membenarkan penumpang wanita dibuli, diganggu dan dicela sehingga mereka terpaksa menukar tempat duduk yang mereka bayar yang diberikan oleh syarikat penerbangan ini sewaktu mereka membeli tiket? Hak agama seorang penganut tidak bermakna mereka boleh menindas hak sivil orang lain."
Petisyen tersebut antara lain menyebut tindakan penganut-penganut fahaman orthodoks Yahudi di dalam pesawat berkenaan telah menyebabkan penerbangan tersebut terpaksa ditunda kerana mereka enggan duduk di sebelah penumpang wanita.
Mereka mengambil penerbangan itu untuk ke Israel bagi menyambut kedatangan tahun baru dalam kalendar Yahudi.Taktik mereka itu bukan sahaja telah menjejaskan jadual penerbangan malah telah mencetuskan huru-hara dan kekacauan di dalam pesawat.
"Beratus penumpang yang lain terpaksa berdiri di lorong laluan pesawat kerana penganut-penganut fahaman orthodoks ini enggan berganjak atau bergerak ke tempat duduk masing-masing sebaik sahaja mendapati penumpang di sebelah tempat duduk mereka adalah wanita," jelas seorang lagi penumpang, Amit Ben-Natan.
"Walaupun setiap penumpang memasuki pesawat dengan nombor tempat duduk sudahpun diberikan kepada mereka sewaktu membeli tiket tetapi terdapat di antara mereka memaksa kami menukar tempat duduk malah ada yang sanggup membayar sejumlah wang kepada kami asalkan kami sanggup menukar tempat duduk dengan mereka dengan alasan mereka tidak boleh duduk bersebelahan dengan wanita," kata seorang penumpang lagi.
"Jelas sekali selagi mereka tidak duduk, pesawat tidak akan berlepas...," ujar seorang lagi penumpang.
Menurut Mail Online, walaupun kakitangan kabin menegaskan yang para penumpang lain tidak perlu melayani desakan para penganut fahaman orthodoks Yahudi itu tetapi pada masa yang sama kapten pesawat membuat pengumuman bahawa pesawat berkenaan tidak akan berlepas selagi para penumpang tidak duduk di tempat masing-masing.
Apabila mendengar pengumuman berkenaan, para penganut fahaman orthodoks Yahudi ini mengambil kesempatan dengan enggan duduk selagi penumpang lain tidak bertukar tempat duduk dengan mereka.
Seorang penumpang yang bernama Galit berkata, seorang penumpang dari kalangan fahaman orthodoks ultra itu telah mencadangkan agar dia duduk berasingan dari rakan lelakinya bagi membolehkan mereka mengambil tempat duduknya dan apabila dia enggan melayani tuntutan tersebut, penumpang fahaman ultra itu mengambil keputusan untuk berdiri di laluan pejalan kaki sepanjang penerbangan tersebut.
"Ia adalah pengembaraan 11 jam yang menyeksakan," ujar penumpang berkenaan.
El Al dalam reaksi segera kepada petisyen tersebut menyebut; "El Al sentiasa melakukan yang terbaik untuk memberi kemudahan dan memenuhi permintaan para penumpang kami dan pada masa yang sama akan memastikan setiap penerbangan tidak terjejas. Dalam hubungan ini pihak syarikat akan meneliti aduan yang dibuat menerusi petisyen ini dan jika terbukti benar terdapat penumpang yang bertindak di luar batasan, kami akan menilai kembali langkah yang perlu diambil pada masa hadapan."
Sharon Shapiro percaya masalah ini hanya akan dapat diselesaikan jika pihak penerbangan terlebih dahulu membahagi-bahagikan tempat duduk mengikut gender ketika tempahan pada masa hadapan.
mstar

Eksport pertama Gaza selepas perang

Penduduk Palestin berkumpul di pasar di Gaza City dengan ternakan masing-masing menjelang Hari Raya Aidil Adha. - Foto AFP
Penduduk Palestin berkumpul di pasar di Gaza City dengan ternakan masing-masing menjelang Hari Raya Aidil Adha. - Foto AFP
GENTING GAZA - PALESTIN . Selepas hampir 50 hari menghadapi serangan berterusan rejim Zionis, Genting Gaza kini bangkit dan mengeksport hasil pertanian buat pertama kalinya ke pasaran asing terutamanya ke Kesatuan Eropah (EU).

Pengarah Pemasaran di Kementerian Pertanian Gaza, Tahsin Al-Sakka berkata, 30 tan ubi keledek dieksport ke EU dan ia merupakan hasil eksport pertama selepas 8 Julai.

"Hasil pertanian lain yang akan dieksport selepas ini termasuk bunga dan rempah,"katanya dalam satu temu bual menerusi telefon dengan agensi berita Anadolu.

Sebelum perang berlaku, wilayah itu terkenal dengan hasil eskport seperti strawberi, bunga, tomato, kentang dan rempah melalui sempadan Kerem Shalom.

Menurut Al-Sakka, terdapat lebih 480 hektar tanah kini digunakan untuk menanam ubi keledek, bagaimanapun eksport semasa adalah hanya sebahagian kecil daripada hasil tanaman.

Katanya lgi, kebanyakan tanah pertanian mengalami kerosakan dan berdepan risiko beracun sepanjang serangan tentera Israel ke aras wilayah terbabit.

Sementara itu, pasaran ternakan di Palestin kini menghadapi waktu paling sibuk dalam tahun ini berikutan sambutan Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut seluruh umat Islam tidak lama lagi.

Kebiasaannya, pasaran ternakan dibuka dua kali seminggu, namun semakin hampir musim Aidil Adha, ia dibuka setiap hari bagi memenuhi permintaan yang tinggi, menurut laporan Middle Esat Monitor.